Oleh : Asmat
Puasa mestilah kena makan. Makan, makan dan makan lagi. Waktu berbuka itu masanya singkat untuk makan dan solat Maghrib, namun ramai yang terleka sekejap di meja makan menikmati makanan hingga waktu untuk solat Maghrib sampai penghujungnya. Itu cerita berbuka, kalau cerita pergi bazar, pendek kata hampir setiap gerai makanan nak dibeli. Terliur.
Memang betul, bila puasa nafsu makan kita akan memuncak, tengok apa sahaja pasti telan air liur. Tapi, harus diingat, makan biarlah berpada-pada. Jangan semberono main ambil sumbat ke dalam mulut kerana lapar dan terliur. Pernahkah kita dengar, perut Sarang penyakit? Ya betul. Disebabkan itulah kita perlu teliti apa yang kita makan dan jangan berlebihan. Makanlah secara sederhana.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Kesihatan manusia sebenarnya amat berkait rapat dengan pemakanan. Sebab itu, orang yang tidak menjaga pemakanannya mudah menghidap pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan sebagainya.
Shaykh Muhammad ‘Abd ar-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfat al-Ahwazi ketika mensyarahkan Jami’ al-Tirmidzi menyatakan, perut yang penuh dengan makanan akan menyebabkan kerosakan agama dan dunia (tubuh badan).
Apabila perut terlalu kenyang, rasa malas mula menghantui diri termasuk malas untuk melakukan amal ibadat. Disebabkan itulah yang dikatakan melewat-lewatkan solat Maghrib kerana terlalu teruja merasa semua jenis makanan ketika berbuka. Bila perut dah penuh, terus rasa malas dan tak bermaya.

Disebabkan itu jugalah Nabi Muhammad SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud:
“Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad).
Justeru, sikap kita ketika mengambil juadah yang tersedia di depan mata juga menunjukkan akhlak diri. Jangan terlalu tamak ketika mengambil makanan kerana hakikatnya perut kita tidak dapat menghabiskan semuanya. Akhirnya makanan terbuang begitu sahaja. Rasulullah SAW pernah menasihati seseorang tentang perihal makan.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah daripada apa-apa yang dekat denganmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tengok, indah sungguh Islam mengajar kita semuakan sehingga perihal adab di meja makan juga diajar supaya kita jadi insan yang lebih baik.
Jadi, kawallah pemakanan kita, malah pepatah Inggeris juga ada menyebut ‘You are what you eat’. Kalau difahami ayat itu, ia bermaksud semua yang kita makan mempengaruhi diri kita samada dari segi kesihatan atau sikap. Sebagaimana disarankan kita perlu mengambil makanan yang halal, sihat dan jangan berlebihan.
Ini kerana berkait juga dengan fakta yang ramai orang tak tahu. Lebih kurang 80% daripada sistem imun bermula daripada perut kita. Oleh itu, adalah penting untuk kita mempunyai sistem penghadaman yang baik dan dipenuhi dengan organisma baik, ataupun “probiotik”. Probiotik secara spesifiknya merujuk kepada mikroorganisma baik yang boleh dimakan serta dapat menyumbang kepada kesihatan usus.
Prebiotik pula adalah sebarang bahan kimia yang dapat menjadi ‘makanan’ kepada probiotik ini. Lazimnya, masyarakat kita telah didedahkan dengan kebaikan probiotik ini selaras dengan percambahan minuman-minuman kultur di pasaran. Minuman Yakult misalnya, mengandungi lebih daripada 6.5 bilion Lactobacillus casei, manakala sesetengah minuman kultur boleh mencapai 30 bilion probiotik.
# Ikuti sambungan akan datang mengenai penyakit yang bakal `menyerang’ jika kita tidak menjaga pemakanan kita.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.