Image by Ramón Inciarte from Pixabay
Oleh: Asmat Fikri
Fakta yang ramai tidak tahu, penyakit membabitkan perut dan usus di Malaysia menunjukkan trend peningkatan setiap tahun dengan mangsa termuda dikesan setakat ini berusia enam bulan.
Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia (MSGH), Prof Dr Lee Yeong Yeh berkata, kebiasaannya pesakit di peringkat umur 50 tahun yang didiagnosis mengalami penyakit tersebut.
“Nampaknya trend penyakit ini mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang melibatkan golongan lebih muda. Baru-baru ini, ada bayi berusia enam bulan yang dikesan mengalami penyakit berkaitan perut dan usus itu didapati hilang selera makan, kekurangan zat dan kerencatan tumbesaran,” katanya.
Menurut beliau lagi, antara penyebab utama penyakit berkenaan ialah gangguan motiliti iaitu fungsian saraf dan otot di usus dengan hampir 50 peratus daripada pesakit yang didiagnosis berpunca daripada perubahan gaya hidup yang tidak sihat terutama faktor pemakanan.
Justeru, pengesanan awal penyakit berkaitan usus sangat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat dan cepat sekaligus mengelak komplikasi yang lebih teruk.
Antara penyakit yang biasanya dialami berkaitan dengan perut adalah keradangan, angin kembung, asid dalam perut, apendik, masalah usus besar dan sembelit. Namun yang paling ditakuti adalah Kanser kolorektal. Penyakit ini adalah sejenis kanser yang bermula pada organ kolon (usus besar) atau rektum. Mereka yang menghidap kanser usus tahap 1 atau lebih awal kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang kanser seperti penyakit barah yang lain.
Lebih menakutkan, sumber dari Persatuan Kanser Amerika (ACS), 1 daripada 23 lelaki atau 1 daripada 25 wanita akan didiagnosis dengan masalah kesihatan ini sepanjang hidup mereka. Seperti masalah kanser yang lain, tahap kanser ini bergantung kepada peringkat dan perubahan patologi kanser yang dialami oleh pesakit.
Kanser kolorektal peringkat awal mungkin tidak menunjukkan simptom yang jelas dan dikenal pasti melalui saringan aktif untuk kanser kolorektal. Namun terdapat beberapa simptom atau tanda-tanda berikut yang perlu diberi perhatian kerana dikhuatiri anda mungkin berisiko mendapat kanser kolorektal.
Berikut adalah tanda-tandanya:
• Najis berdarah
• Perubahan corak usus (cirit-birit atau sembelit)
• Perubahan dalam konsistensi najis
• Kehilangan berat badan tanpa niat
• Sakit perut
• Muntah
• Merasa usus tidak dikosongkan dengan sempurna selepas membuang air besar
• Lesu
• Kerap mengalami sakit gas atau kekejangan
• Rasa kenyang atau kembung
Image by Lifestylememory on Freepik

Diagnostik kanser

Bukan mudah untuk doktor membuat keputusan seseorang pesakit itu memang mempunyai penyakit kanser. Dignostik berpanjangan dan menyeluruh diperlukan. Tidak sesenang datang sekali dan doktor terus memberitahu dengan yakin bahawa pesakit itu ada penyakit itu dan ini.  Jadi berikut adalah beberapa kaedah diagnostik yang biasanya dibuat doktor  sebelum mengesahkan penyakit seseorang.
Doktor juga akan memilih ujian diagnostik yang berbeza berdasarkan jenis kanser yang disyaki, umur dan kesihatan umum individu, tanda dan simptom, keputusan laporan perubatan yang sebelumnya dan sejarah perubatan keluarga.
Kaedah diagnostik biasa termasuk:
1. Ujian Faecal Occult (FOBT)
2. Ujian darah: Kiraan darah lengkap, penanda tumor dan enzim hati
3. Kolonoskopi
4. Biopsi
5. Ujian pengimejan: Imbasan tomografi berkomputer (CT), imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), imbasan tomografi pelepasan positron (PET)
Seperti kanser lain, kanser usus juga mempunyai tahap-tahap tertentu dari yang awal hingga yang lebih teruk. Berdasarkan kepada definisi yang diberi, berikut merupakan tahap kanser yang boleh dikira sebagai ‘peringkat awal’ bagi kanser usus:
• Tahap 0 – Tahap terawal dan ia dikaitkan dengan ketumbuhan pada lapisan mukosa atau lapisan dalam organ usus.
• Tahap 1 – Kanser usus tahap 1 merujuk kepada perubahan kanser yang telah tumbuh ke lapisan submukosa namun belum tersebar ke mana-mana kelenjar limfa
• Tahap 2A – Ketumbuhan yang dialami telah sampai ke permukaan luar organ namun ia belum menembusi sepenuhnya
• Tahap 2B – Ketumbuhan telah tumbuh melepasi permukaan luar organ dan mencecah lapisan membran yang melindungi organ abdomen. Sel kanser masih belum tersebar ke kelenjar limfa
Terdapat satu lagi kanser usus tahap 2 yang dilabelkan sebagai kanser usus tahap 2C. Namun, bagi pengelasan kanser tersebut, ia sudah mula melibatkan organ dan struktur berdekatan menyebabkan ia tidak lagi seperti apa yang didefinisikan sebagai kanser usus peringkat awal.

Penutup

Justeru, jika terdapat simptom-simptom seperti di atas, janganlah ambil ringan. Segeralah ke klinik atau berjumpa pakar di hospital terdekat untuk membuat pemeriksaan kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan bahaya yang lebih teruk. Selain itu, pastikan kita semua dapat menjaga pemakanan. Kawallah apa yang dimakan, elakkan pengambilan makanan yang diproses, makanan ringan dan makanan bergula. Begitu juga dengan makanan yang terlalu pedas, berminyak serta yang tidak berkhasiat.
Ketahuilah kita bertanggungjawab kepada tubuh badan yang diamanahkan kepada kita. Jadi jagalah tubuh badan kita sebaik mungkin. Maka, jalanilah kehidupan dengan melakukan senaman serta amalkan gaya hidup sihat agar badan kita sentiasa terkawal dari anasir luar yang berbahaya. Mudah-mudahan kita semua sentiasa sihat dan bertenaga dalam menjalani hari-hari mendatang.
Previous articleWartawan legenda menitis air mata di sebalik Norman KRU terima anugerah DPDDM
Next articleCara menghilangkan kurap di tubuh badan 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here