Oleh : Nafsiah Jani
Penyanyi popular Naim Daniel dan Khai Bahar akan menjayakan Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-13 Tahun 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Mei ini.
Naim Daniel bakal menghiburkan para graduan dan tetamu yang hadir dengan dendangan lagu popularnya iaitu Lelaki Gila dan Sumpah. Manakala Khai Bahar pula yang popular dengan gelaran King of Smule pula bakal menghiburkan tetamu dengan lagu popularnya, Luluh dan Kerana Ego.
Majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menyaksikan sejumlah 784 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2024.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP), Puan Hizatul Haliza Hashim berkata, “Kesemua graduan terdiri daripada 2 orang graduan Diploma Kemahiran Malaysia, 392 orang graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 361 orang graduan Sijil Pertanian, 17 orang graduan Sijil Veterinar Malaysia dan 12 orang graduan Sijil Perikanan.”
Tambah Hizatul Haliza lagi, dia berharap agar graduan gembira dengan kehadiran Naim Daniel dan Khai Bahar untuk majlis tersebut.
“Bukan senang graduan dapat bertemu artis kesayangan mereka yang juga sama muda dengan mereka dan diharap kehadiran kedua-dua penyanyi ini dapat memberi suntikan semangat dan menjadi sumber inspirasi kepada graduan agar cekal dan berani bagi menghadapi dunia luar yang begitu mencabar.

“Pada hari ini juga, enam graduan hebat turut diraikan bagi menerima Anugerah Khas Bagi Tahun 2024 iaitu Anugerah Pingat Emas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Anugerah Ketua Pengarah Pertanian, Anugerah Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Anugerah Ketua Pengarah Perikanan, Anugerah Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian dan Anugerah Keusahawanan AGROBANK.
“Kami juga berbangga kerana majlis akan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya yang gembira kerana Naim Daniel dan Khai Bahar dapat sama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.