Oleh Nury Kadir
Dimulai dengan firman SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23-25, Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”
Ayat di atas menunjukkan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya iaitu mendoakan kesejahteraan mereka, berbuat baik, memberi bantuan yang sewajarnya sebagai mengenang dan membalas jasa ibu bapa atas pengorbanan mereka yang tidak ternilai.
Seorang ibu bermula dari seorang anak, tanpa ibu tidak mungkin wujud istilah yang namanya anak. Di dalam Islam berbuat baik dan mendoakan ibu adalah perintah Allah seperti yang disebut di dalam al-Quran. Kalau patuh apa yang Allah SWT dan Rasulullah SAW perintah, sebenarnya tidak akan timbul masalah ibu bapa yang ditinggalkan atau terbiar sehingga perlu dicipta Hari Ibu sebagai tanda ingatan.
Bagi Muslim yang baik hari-hari adalah Hari Ibu tidak adanya hari tertentu untuk meraikan ibu. Kehebatan seorang ibu itu disebut dalam al-Quran dan hadis. Malah apabila Rasulullah SAW ditanya, siapa yang lebih utama ayah atau ibu? Baginda SAW menyebut, “ibu kamu, ibu kamu, ibu kamu barulah ayah kamu.”
Begitulah hebatnya seorang ibu hingga disebut dalam pepatah Arab bahawa ibu itu adalah madrasah pertama. Darinya lahir pemimpin agung, nabi, rasul, alim ulama, generasi soleh dan genius dunia.
Pepatah Arab menyebut: Ibu sebagai madrasah, jika kamu sediakannya dengan sebaik-baiknya, Maka sebenarnya kamu sediakan generasi yang utuh lagi hebat.
Orang Melayu juga ada pepatah yang menyentuh kehebatan seorang ibu, “Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.”
Mengapa keutamaan untuk berbuat baik diberikan kepada ibu sebanyak tiga kali, barulah ayah?
Ini adalah alasan yang dberikan menerusi catatan di dalam www.muftiwp.gov.my. Para ulama hebat telah membahaskan hal tersebut yang bersandarkan kepada al-Quran dan hadis.
Mari kita lihat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya ?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. (HR Muslim)
Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mentafdhilkan (mengutamakan) berbuat baik kepada ibu ke atas bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadis itu.
Manakala perkataan حُسْنِ الصُّحْبَةِ di dalam hadis tersebut membawa maksud berbuat baik, berlemah lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. Ini dibuktikan dengan beberapa firman Allah S.W.T, antaranya:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang…” (Surah al-Isra’ :24)
Dikongsikan di sini beberapa kelebihan berbuat baik kepada ibu seperti yang dicatatkan di dalam al-Quran dan hadis. Antaranya:
Pertama: Peribadi Akan Menjadi Santun dan Bahagia
Ini merupakan mafhum dari firman Allah S.W.T:
وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا
Maksudnya: Dan aku (Nabi Isa) berbuat baik kepada ibuku dan Allah tidak menjadikan aku ini bersikap keras dan derita. (Surah Maryam:32)
Apa yang boleh difahami dari ayat tersebut adalah bahawa Allah SWT tidak menjadikan Nabi Isa AS sebagai seorang yang keras (sombong dan bongkak) dan juga orang yang menderita, sebaliknya baginda menjadi individu yang santun dan bahagia disebabkan ketaatan baginda kepada ibunya Maryam.
Kedua: Memperoleh Kemustajaban Doa
Dalam sebuah hadis yang panjang, daripada Umar bin al-Khattab RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ
Maksudnya: “Sekiranya kamu mampu untuk meminta supaya dia (Uwais al-Qarani) memohon keampunan Allah buat kamu, maka lakukanlah.”
Ini adalah saranan dari Rasulullah S.A.W, iaitu untuk meminta Uwais al-Qarani yang merupakan seorang tabiin memohon keampunan Allah untuk Umar. Sedangkan Umar berada pada kedudukan yang jauh lebih tinggi dan afdhal berbanding Uwais. Hal ini tidak lain tidak bukan adalah disebabkan amalan mulia yang dilakukan oleh Uwais al-Qarani, seperti yang dikatakan oleh Nabi S.A.W:
لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ
Maksudnya: “Dia (Uwais) mempunyai seorang ibu yang dia amat taat kepadanya.”
Jelas bukan, bahawa perbuatan berbuat baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu memperoleh doa yang mustajab.
Dikongsikan kata-kata Imam al-Nawawi yang menukilkan pendapat para ulama yang menjelaskan sebab-sebab didahulukan seorang ibu dengan kata mereka: ‘’Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut.”
Manakala Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: ‘’Sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali ada diisyaratkan melalui firman Allah S.W.T:
حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا
Maksudnya: Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan. (Surah Al-Ahqaf:15)
Maka didahulukan ibu sebanyak tiga kali adalah disebabkan tiga perkara yang hanya dialami apabila seseorang itu bergelar ibu iaitu kepenatan dalam mengandungkan bayi, kesukaran dalam proses melahirkan anak, serta ujian yang dihadapi semasa menyusukan bayi.” (petikan dari www.muftiwp.gov.my)
Anak diperintahkan untuk berbuat baik kepada ibu sepanjang masa dan tidak perlu tunggu hingga minggu kedua bulan Mei untuk meraikannya. Raikanlah ibu setiap hari dengan kata-kata yang lembut, layanan yang baik dan pemberian hadiah. Bagi seorang ibu pemberian dari anak itu adalah sesuatu yang tidak ada tandingannya, amat bernilai walaupun sekadar sebungkus coklat atau sebiji gula-gula. Apa sahaja yang diberikan anak sebagai tanda ingatan dan penghargaan amat bermakna bagi seorang ibu.
#Ikuti sambungan artikel akan datang bolehkah kita sebagai umat Islam menyambut Hari Ibu ini?#

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.