Penyampai baharu Suria FM, Irsyad Tarudin mengendali segmen Kafe Suria, dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SILIH berganti penyampai radio adalah lumrah dalam dunia penyiaran stesen radio tempatan kerana masing-masing mahukan yang terbaik untuk mengekalkan rating pendengar.

Terkini, bermula 19 Mei 2025, stesen radio Suria FM telah memperkenalkan penyampai baharu stesen tersebut menerusi segmen Kafe Suria yang bersiaran dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Penyampai yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugasan tersebut dari Isnin hingga Jumaat ialah Irsyad Tarudin, 26, yang tampil dengan gaya penyampaian santai, jujur dan reflektif.

Pemilihan Irsyad bagi mengendalikan program tersebut adalah mencerminkan suara generasi muda hari ini dengan membawa pendengar mengikuti trend semasa, kupasan drama dan filem terbaharu, sembang topik dan juga ucapan serta permintaan lagu.

Impian Irsyad untuk menjadi penyampai radio terlaksana menerusi Suria FM.

Irsyad, anak jati Kedah, bukan sahaja seorang penyampai baharu di Suria FM tetapi juga seorang pelajar Sarjana Sains (Master) dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia.

Sebelum menyertai Suria FM, Irsyad menjana pendapatan harian melalui kerja e-hailing, di samping menghadiri kelas dan makmal sebagai pelajar sarjana. Setiap pagi ke universiti, malam pula ke jalan raya, itulah rutin dia sebelum impiannya untuk menjadi penyampai radio terlaksana.

“Menjadi penyampai radio adalah impian saya sejak kecil. Setiap hari semasa berulang-alik dari sekolah di Kulim ke rumah di Sungai Petani, saya akan dengar radio dalam kereta bersama keluarga. Dari situlah minat saya bermula. Saya tertarik dengan cara penyampai berinteraksi dengan pendengar. Alhamdulillah, hari ini impian itu menjadi kenyataan,” kata Irsyad.

Irsyad memilih untuk menyertai Suria FM kerana melihat stesen ini sebagai stesen radio yang paling dekat di hati masyarakat.

“Ke mana saja saya pergi, gerai makan, stesen minyak, dalam kereta e-hailing atau di dalam bas, saya dapati kebanyakan mendengarkan Suria FM. Keistimewaan Suria FM di mata saya, radio ini sangat aktif dan agresif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti luar untuk lebih dekat dengan pendengar.

Irsyad yang berasal dari Kedah ini sering dipanggil menjadi pengacara beberapa majlis rasmi dan perkahwinan.

“Kandungan segmen di Suria FM juga lebih bersifat interaktif serta variasi dan menawarkan nilai kepada pendengar. Sebagai seseorang yang suka berbual dan mendengar cerita orang, saya rasa inilah tempat paling tepat buat saya,” tambahnya.

Baginya, Kafe Suria adalah ruang untuk bersembang, mendengar dan membina hubungan rapat dengan pendengar, sambil disulami dengan lagu-lagu yang sesuai dengan trend semasa.

Kafe Suria diinspirasikan daripada suasana kafe moden yang mesra, santai dan penuh dengan elemen interaksi dan informatif. Dalam peranannya, Irsyad tampil lebih daripada seorang penyampai, dia adalah ‘barista maya’ yang menyambut dengan ramah, berbual dengan tenang, mendengar dengan empati dan menceriakan malam pendengar dengan kombinasi lagu popular dari pelbagai genre.

Konsep ini dirangka khas untuk menarik minat golongan anak muda yang mahukan hiburan berinformasi, cepat dan relevan dengan trend semasa. Dari isu viral, budaya popular, hingga topik harian dan kerjaya, Kafe Suria menyajikan kandungan yang berakar pada realiti generasi kini. Ia menjadi pilihan ideal untuk mereka yang ingin berehat selepas seharian bekerja, belajar mahupun bagi yang inginkan peneman untuk untuk berkongsi curahan hati serta memahami apa yang mereka ingini.

Irsyad yang mendapat pendidikan awal di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang itu akan mengendalikan empat segmen sepanjang ke udara.

Bermula jam 8 malam, dia akan membincangkan dengan santai tentang isu viral, makanan trending, gajet baharu serta topik semasa menarik, menerusi NTT (Nak Tahu Tak?). Kemudian pada jam 9 malam pula, penyampai akan membuat kupasan tentang filem, drama dan siri terkini atau throwback disertai trivia menarik dari dunia hiburan dalam segmen On Set.

Merupakan pelajar Sarjana Sains (Master) dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia.

Sejam selepas On Set, Irysad akan membuka talian untuk berinteraksi dengan pendengar mengenai sebarang cerita, membaca ucapan yang dihantar atau sekadar berbual dengan Irsyad secara langsung menerusi segmen KOLPI (Call & Kopi).

Sebelum melabuh tirai, ada pula segmem LAST (Lagu
Sebelum Tidur) yang dimulakan pada jam 11 malam. Pada jam terakhir ini pendengar berpeluang meminta lagu pilihan mereka dimainkan dengan berkonsepkan lagu-lagu galau dan cinta. Permintaaan lagu menerusi panggilan dan WhatsApp.

Dengan gabungan ilmu, pengalaman dan pendekatan kontemporari, Irsyad bersedia membawa Kafe Suria menjadi wajah baharu malam Suria FM yang lebih segar, dekat di hati dan penuh nilai.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, pihaknya yakin dengan kehadiran Irsyad sebagai penyampai baharu di Suria FM.

“Kami yakin beliau mampu membawa pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan jiwa pendengar. Kafe Suria bukan hanya menghiburkan, malah mewujudkan suasana santai selepas penat bekerja dan membina komuniti pendengar yang aktif dan setia.

“Untuk peminat Suria Cinta pula, jangan bimbang kerana susunan lagu yang menjadi identiti malam Suria termasuk lagu-lagu jiwang dan nostalgia era 90-an akan terus diputarkan,” jelasnya yang masih lagi mengendalikan segmen Suria Cinta pada Sabtu dan Ahad bermula 8 malam hingga 1 pagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Irsyad atas kesudiannya menyertai keluarga Suria FM dan berharap perubahan ini akan memantapkan lagi kandungan yang diketengahkan kepada pendengar di Suria.

Ujar DJ Lin, beliau percaya perubahan ini bakal memberi impak positif berpanjangan dari segi peningkatan jumlah pendengar khasnya dalam menarik golongan muda untuk mendengar Suria FM.

Untuk maklumat lanjut, layari www.suria.my atau ikuti Suria Malaysia di: Instagram: @suriamalaysia | Facebook: @SuriaMalaysia | TikTok: @suriamalaysia | YouTube: SuriaTV | X (Twitter): @suria_malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here