Photo by Freepik

Oleh: Asmat Fikri

Ramai pakar mengesyorkan setiap individu itu boleh mengambil kafein tidak melebihi 400 miligram sehari. Iaitu lebih kurang empat cawan. Namun, umur dan keadaan kesihatan seseorang itu perlu diambil kira sebelum menetapkan jumlah yang boleh diambil oleh mereka.

Ini kerana kesan kafein kepada proses fizikal badan juga berbeza mengikut umur, berat dan tahap kesihatan individu secara menyeluruh. Disebabkan itulah, sukar untuk ditetapkan berkenaan dengan jumlah kafein yang boleh diambil untuk mengelakkan masalah kafein berlebihan.

Jika berlebih dari jumlah itu, berkemungkinan individu itu akan mempunyai kafein yang lebih dalam badan. Jadi persoalannya apa akan jadi kalau kafein itu lebih?

Meskipun masih ramai yang tidak mengambil serius akan perkara ini walaupun sering berlaku dalam kehidupan, namun kebenaran harus dinyatakan. Berikut kami kongsikan antara simptom atau tanda terlebih kafein dalam badan yang boleh dialami oleh seseorang individu:

* Demam
* Sakit kepala
* Insomnia (masalah sukar untuk tidur)
* Cirit-birit
* Kehausan
* Iritabiliti (mudah marah, rasa rimas)

Jika diambil mudah, tanda terlebih kafein dalam badan tersebut boleh menjadi semakin teruk mengakibatkan gejala yang memerlukan rawatan perubatan. Antaranya adalah:

* Susah untuk bernafas
* Halusinasi
* Kekeliruan mental
* Tanda terlebih kafein dalam badan, anda akan alami sakit dada
* Pergerakan otot tidak terkawal
* Degupan jantung laju atau tidak sekata
* Konvulsi (sawan)
* Aritmia (terutamanya pemfibrilan ventrikel)

Perlu diingatkan bahawa bagi ibu yang menyusukan anak, tanda terlebih kafein dalam badan boleh menyebabkan simptom kepada bayi yang disusukan. Simptom tersebut merangkumi:

* Muntah
* Ketegangan otot
* Bernafas laju
* Renjatan (shock)

Mungkin terdapat beberapa tanda terlebih kafein dalam badan atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.


Anda Ketagih Kopi atau Ketagih Gula?

Penting juga untuk kita teliti apakah benar kita ketagih kopi atau sebenarnya lebih kepada ketagih gula? Menurut perkongsian laman sosial media rasmi Public Health Malaysia, ada cara mudah untuk kita pastikan adakah kita ketagih kopi atau gula?

Antara caranya adalah:

1. Tanya diri: Boleh tak minum kopi tanpa gula?

• Kalau anda rasa kopi tanpa gula tak sedap atau “tak lengkap,” kemungkinan besar anda ketagih gula.

• Tapi kalau anda masih boleh menikmati kopi pahit, anda mungkin betul-betul pencinta kopi.

2. Perhatikan gejala bila tak minum kopi:

• Kalau anda rasa pening, lesu, dan tak boleh fokus, ini tanda anda ketagih kafein.

• Tapi kalau anda cari makanan atau minuman manis lain, gula mungkin penyebab utama.

3. Cuba minum kopi tanpa tambahan susu atau gula:

• Jika anda masih puas hati dengan rasa kopi asli, ini tanda anda hanya suka kopi.

• Tapi kalau rasa ‘tak cukup,’ itu mungkin ketagihan gula yang menyamar!

Kenapa penting untuk tahu?

Ketagih gula boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetes. Jadi, kawal pengambilan gula, walaupun dalam secawan kopi harian anda amat penting bagi mengelakkan dari terjebak dengan penyakit bahaya.

Pilihan di tangan anda. Adakah anda minum kopi untuk tenaga, atau kerana manisnya gula? Cuba ubah sedikit tabiat, dan anda akan tahu jawapannya.

Cara untuk hilangkan ketagihan kopi

Walaupun tampak sukar, namun ia tidak mustahil. Perubahan itu perlu jika ia sudah mengganggu rutin harian atau kesihatan badan kita. Ada beberapa cara yang mungkin kalian yang penggemar kopi boleh cuba lakukan untuk kurangkan pengambilan kafein sekaligus berhasrat meninggalkan terus.

  1. Cara paling afdal tinggal perlahan-lahan jangan drastik. Usah terburu-buru tinggalkan terus kafein kerana ia akan mendatangkan mudarat lain. Contohnya boleh jadi pening kepala, letih, lesu dan lemau. Jadi apa yang boleh dibuat adalah kurangkan kuantiti minuman setiap hari. Jika biasanya ambil dua cawan sehari, boleh kurangkan kepada satu cawan dan perlahan-lahan makin lama makin kurang kuantitinya.
  2. Jika kamu peminat kopi manis atau bergula, kurangkan jumlah gula atau tambahkan air ke dalam kopi. Walaupun rasanya akan menjadi tawar, kopi yang telah dicampur dengan air mempunyai kandungan kafein yang sedikit. Namun, anda masih boleh menikmati secawan kopi yang penuh tanpa perlu rasa bersalah.
  3. Sesekali cuba kopi decaf bagi elak bahaya minum kopi setiap hari. Tidak ada salahnya jika anda ingin bertukar kepada kopi decaf. Walaupun rasanya tidaklah seasli kopi biasa, kopi decaf mengandungi jumlah kafein yang jauh lebih sedikit berbanding kopi biasa.
  4. Cuba minuman baharu yang lain seperti teh hijau, air lemon atau jus buah-buahan yang lebih sihat dan tanpa perlu gula tambahan.
  5. Sentiasa beringat dan tidak lupa diri. Setiap kali ingin meneguk kopi pastikan diri sendiri ingat tentang keburukan kafein dan bahaya jika berlebihan. Ia bukannya apa, supaya lebih insaf.
  6. Amalkan gaya hidup yang sihat. Senaman setiap hari dan pastikan minum lebih banyak air masak supaya badan kita sentiasa sihat.

Penutup

Justeru, jangan mudah terikut-ikut sangat dengan perkara viral atau makanan serta minuman yang viral. Ini kerana ianya kadang kala mendatangkan lebih mudarat berbanding manfaat. Jadi, andai kata anda rasa badan sedang mengalami kafein yang berlebihan kerana mempunyai simptom seperti di atas, pastikan dapat rawatan yang betul dari pakar kesihatan di klinik atau hospital terdekat!.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here