Lagu "Sila-Sila Ke Melaka" dendangan Siti Halijah sesuai untuk mempromosi negeri tersebut kepada pelancong.

Oleh: Khadijah Ibrahim

NAMA penyanyi Siti Halijah mungkin kedengaran baharu kepada peminat muzik tanah air. Namun Siti Halijah Dolah @ Ali bukanlah baru setahun jagung dalam bidang seni suara kerana dia merupakan bekas ahli kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah menyertai Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia pada tahun 2011 di Melaka. Siti Halijah juga pernah merakamkan single raya bersama Ratu tradisional, Noraniza Idris berjudul “Cinta Lebaran” (Salah seorang penyanyi dalam Kumpulan Akasia).

Penyanyi berasal dari Melaka itu baru saja tampil dengan single berjudul “Sila-Sila Ke Melaka” ciptaan sepenuhnya oleh komposer Anwar Jaapar atau lebih dikenali sebagai Cik Mai yang juga berasal dari Negeri Bersejarah tersebut.

Sebenarnya lagu tersebut pernah didendangkan oleh Siti Halijah di Pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia. Malah, lagu itu juga berjaya merangkul Juara dan memenangi Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia.

Selepas persembahan lagu “Sila-Sila Ke Melaka” oleh Siti Halijah di pertandingan itu, ia membuahkan idea untuk merakamkan dan rilis di pasaran digital.

Siti Halijah bekerjasama dengan komposer Anwar Jaapar untuk lagu “Sila-Sila Ke Melaka”.

Menurut Siti Halijah, lagu “Sila-Sila Ke Melaka” adalah sebuah karya yang unik dan mempunyai tema semangat pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia yang bakal dilancarkan September 2025 ini di Melaka.

‘’Saya merasakan inilah saat yang sesuai untuk meriliskan lagu ini secara rasmi di corong-corong media masa kini. Sudah tentu ianya langkah baharu buat saya apabila lagu ini dipasarkan.

‘’Lagu ini dirakam dengan susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari oleh Amy Bong, disertai penggubahan lirik berdasarkan tema Melaka, “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”.

“Lagu ini mempunyai mesej tentang bandaraya Melaka yang mempunyai warisan sejarah Melaka, serta sebuah bandaraya bersejarah yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia sejak Julai 2008,” kata Siti Halijah.

Penerbitan lagu “Sila-Sila Ke Melaka” ini, secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Melaka pada masa-masa percutian mahupun hari biasa dan turut membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Luncai Emas bertindak selaku penerbit menjaga hakcipta lagu dan lirik lagu ini serta pengedar digital. Sebuah video klip “Sila-Sila Ke Melaka” telah dilancarkan di YouTube Luncai Emas manakala audio rasmi boleh distrim di semua saluran digital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here