Pada 30 Mei ini Nadeera akan menghibur penonton dengan gaya tersendiri di showcase 'An Evening With Nadeera'.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TAHUN lepas lagu nyanyian Farah Nadeera Zaini atau Nadeera, 32, “Bukan Lagi Kita” yang dijadikan runut bunyi untuk drama ‘Curang Tanpa Niat’ menduduki tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-39.

Ramai yang meramalkan lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu bakal menjadi juara namun bukan rezeki Nadeera. Walau apapun, bekas peserta program realiti ‘Vokal Bukan Sekadar Rupa’ (2012) dan ‘Mentor Legend’ (2014) itu tidak pernah mengalah.

Namanya tetap menjadi bualan peminat tambahan pula waktu Syawal baru-baru ini, lagu dendangannya bersama Hael Husaini, “Meriah Lain Macam” dan lagu solo “Dam Dim Dum Raya” menjadi pilihan ramai.

Sudah lama Nadeera impikan untuk mengadakan showcase bagi menghibur peminatnya secara eksklusif.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seninya, Nadeera bakal menjayakan showcase ‘An Evening With Nadeera’ di Nero Event Space, PJPAC 1 Utama, jam 8.30 malam, 30 Mei ini.

Walaupun ruangan tersebut hanya mampu memuatkan sekitar 300 orang penonton sahaja, namun jualan tiket untuk showcase tersebut habis dijual dalam tempoh tiga minit saja.

Kata orang untuk permulaan, biar ruangannya kecil asalkan penuh. Jangan nak merasa diri ‘Diva’ mengadakan persembahan di tempat besar tapi kehadiran penonton tak seperti yang diharapkan.

Memandangkan ‘An Evening With Nadeera’ adalah showcase solonya, Nadeera tetap membuat persiapan seperti mana dia akan menjayakan konsert besar.

Tetap membuat persiapan rapi bagi memastikan persembahannya memberi kenangan indah kepada penonton yang hadir.

Untuk showcase yang kemungkinan akan menampilkan 10 buah lagu itu, Nadeera memilih untuk bekerjasama dengan Sze Wan sebagai pengarah muzik.

“Besar atau kecil persembahan itu, saya tetap akan membuat persiapan. Saya mahu penonton yang hadir puas menonton persembahan saya kerana mereka sanggup membeli tiket.

“Sesungguhnya saya terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat. Terima kasih kepada Mask Team dan Usanita Entertainment keran mempercayai saya. Ini adalah anugerah terindah yang telah lama saya impikan,” katanya terharu.

Nadeera yang melancarkan single pertama “Hasrat Hati”, pada tahun 2014 itu memohon maaf pada peminat dan penyokong yang tidak dapat beli tiket untuk showcase pertama ini.

Dulu Hael Husaini tidak dapat menjayakan konsert kerana masalah kesihatan, kali ini dia janji akan memberi persembahan yang terbaik untuk peminatnya.

Katanya, kalau ada rezeki dia ingin mengadakan showcase sebegitu lagi agar dapat memenuhi kehendak penyokongnya.

Sementara itu, rakan duet Nadeera yang juga komposer terkenal, Hael Husaini turut akan mengadakan showcase “Hael Husaini Antonim Night” di lokasi yang sama pada 31 Mei ini yang bertujuan untuk menyajikan persembahan esklusif dan berkualiti tinggi kepada penonton.

Hael Husaini, 38, yang namanya melonjak naik menerusi lagu “Jampi” yang ditulis dan dinyanyikannya sendiri memenangi Anugerah Juara Lagu ke-32 pada tahun 2018, melahirkan rasa terharu kerana tiket untuk showcasenya itu juga habis dijual dalam waktu 17 minit saja.

Ternyata pembatalan ‘Konsert Hael Husaini Live In KL’ dua tahun lalu kerana masalah kesihatan yang dialaminya ada hikmah di sebaliknya. Ujar Hael, showcase selama dua jam yang bakal dijayakannya itu sebagai pengubat rindu kepada peminat yang hampa dengan pembatalan konsertnya sebelum ini.

Pasti showcase ‘Hael Husaini Antonim Night’ yang akan berlangsung pada 31 Mei ini bakal meriah lain macam.

“Showcase ini seperti mengubati kehampaan peminat yang pernah membeli tiket konsert saya sebelum ini yang terpaksa dibatalkan. Sebagai ganti, saya hadirkan hadiah baharu untuk mereka menerusi “Hael Husaini Antonim Night” yang lebih Istimewa.

Hael Husaini yang popular menerusi lagu “Haram” (feat. Dayang Nurfaizah), “Hajat”, dan “Senyuman” yang turut meraih tempat di pentas Anugerah Juara Lagu berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik untuk peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selama ini.

“Showcase ini lebih kepada untuk menghargai peminat dengan mendendangkan lagu daripada album ‘Antonim’. Showcase ini berbeza daripada yang lain. Mungkin ada sedikit previu untuk tonton peminat,” katanya yang mengutamakan kesihatan bagi memastikan persembahannya berjalan lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here