ZAITON…tidak mungkin dapat melupakan bertemu Elvis Presley dan Roger Moore ketika menghadiri Festival Pacific, di San Francisco, Amerika Syarikat pada tahun 1958.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

PERIBAHASA Melayu ada berkata ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.’ Begitulah diibaratkan dengan pelakon filem klasik era P. Ramlee, Zaiton yang mulanya belajar menjahit dan menyulam di Geylang Serai akhirnya menjadi Seniwati melalui filem-filem terbitan Studio Jalan Ampas (Malay Film Productions).

Bukan itu sahaja, malah apa yang menarik pada September 1958, Zaiton adalah satu-satunya Seniwati Melayu yang dipilih mewakili Malaya (Malaysia dan Singapura) ke Festival Pacific, di San Francisco, California, Amerika Syarikat selama sebulan dibawah tajaan syarikat penerbangan Pan American (kini dikenali American World Airways).

SENIWATI Zaiton bersama memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat dunia ketika mewakili Malaya di Festival Filem Pasifik, San Francisco, Amerika Syarikat.

Melalui festival tersebut, beliau berpeluang memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat dunia.

Disamping itu, beliau juga adalah satu-satunya Seniwati yang dipilih sebagai Duta Filem Melayu selama dua tahun berturut-turut.

Pemilihan tersebut dibuat Pengurus Malay Film Productions (MFP) dan Zaiton dipilih menjadi Duta Filem Melayu setelah pejabat di Kuala Lumpur melihat gambarnya.

ZAITON bersama artis-artid luar negara di San Francisco, Amerika Syarikat pada tahun 1961.
ZAITON (kiri sekali) bersama para pelakon dari luar negara berbual mesra bersama aktor Roger Moore.

Rezeki yang bagaikan bulan jatuh ke riba memberi peluang kepada Zaiton melancong ke Amerika Syarikat, melawat hab filem di Hollywood dan Hawaii. Bukan itu sahaja, malah beliau juga sempat ke Guam dan Jepun.

Menceritakan pengalamannya selama sebulan di sana, Zaiton, 88, yang lebih mesra membahasakan dirinya Ibu berkata;

ZAITON dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik kerana lakonannya sebagai Tun Teja dalam filem “Hang Tuah.”
ZAITON sebagai Tun Teja dan P. Ramlee sebagai Hang Tuah dalam satu babak filem “Hang Tuah.”

“Selain melancong, Ibu juga berpeluang berjumpa aktor dan aktres Hollywood antaranya Rock Hudson, Elizabeth Taylor, John Wayne, Tony Curtis, Gregory Peck dan ramai pelakon lagi.

“Mereka begitu baik meyantuni Ibu dan apabila Ibu memperkenalkan diri sebagai Zaiton, tetapi mereka memanggil Ibu Zaza kerana khabarnya mereka agak sukar nak sebut nama Zaiton. Tetapi satu yang membuatkan Ibu ingat sampai hari ini, mereka menghormati kaum wanita.”

PARA pelakon yang turut membintangi filem “Anak-ku Sazali” atas dari kanan – Hashimah Yon, Nordin Ahmad, Rosnani, P. Ramlee, Zaiton, Tony Castello (Sazali) dan Omar Rojik.
P. RAMLEE sebagai Hassan dan Zaiton sebagai Mahani dalam filem “Anakku Sazali.”

Selain dapat berkenalan dengan aktor dan aktres Hollywood, Zaiton juga berpeluang menghadiri majlis di mana ‘Raja Rock and Roll,’ Elvis Presley menghiburkan para tamu pada satu majlis di sebuah hotel.

“Tetapi sesuatu yang Ibu tidak boleh lupa setiap kali menonton televisyen dan terpapar wajah ‘Raja Rock And Roll,’ Elvis Presley menyanyikan lagu ‘It’s Now Or Never’ pasti anak-anak usik itu ‘boyfriend’ Ibu.

P. RAMLEE dan Zaiton salah satu babak dalam filem “Anakku Sazali.”

“Bila mengingatkan itu, Ibu tersenyum sendiri. Walaupun ia sudah lama berlalu tetapi masih segar dalam ingatan ibu, apabila tiba-tiba Elvis menyanyi lagu berkenaan betul-betul di hadapan ibu pada satu acara yang dihadiri di San Francisco.

“Ibu tidak menduga dalam ramai orang yang hadir di majlis itu, Elvis menuju ke arah Ibu. Mungkin beliau tidak pernah tengok wanita berkebaya pendek dan tertanya-tanya dari mana agaknya ‘wanita ini,’ sebab itu Elvis datang dekat pada Ibu.

FILEM “Taqdir” dibintangi oleh S. Kadarisman, Jins Shamsuddin, Kemat Hasdan, Saadiah, Zaiton dan Omar Suwita. Filem arahan Omar Rojik ini diterbitkan pada tahun 1965.
ZAITON dengan watak ikonik ‘Chombi’ berpasangan dengan P. Ramlee sebagai Kassim Selamat/ Osman Zailani dalam filem “Ibu Mertuaku” arahan P. Ramlee diterbitkan pada tahun 1962.

“Sebagai penyanyi yang cukup popular dan dengan showmanshipnya yang penuh sopan, sesuai dengan liriknya, beliau bagaikan mengajak ibu menghampirinya.

“Walaupun Ibu rasa amat dihargai tetapi Ibu tetap menjaga adap dan sopan orang timur. Sememangnya Ibu terpegun dengan showmanshipnya ketika menyanyikan lagu ‘It’s Now Or Never’ dan sebagai menghormatinya ibu bangun tetapi tidak terlintas di fikiran Ibu untuk menari bersamanya.

“Sehingga saat ini, kenangan ketika Elvis menyanyikan lagu itu masih segar dalam ingatan Ibu.”

Aktor Hollywood, John Wayne bersama seniwati Malay Film Productions (dari kiri) Mariani, Hashimah Yon dan Zaiton ketika berkunjung ke Singapura.

Disamping mendapat perhatian Elvis Presley, Seniwati Zaiton juga tidak terlepas daripada pandangan Aktor Hollywood, Roger Moore.

“Saya diundang ke Hollywood untuk mewakili Malaya. Selain saya adalah bintang dari pelbagai negara di Asia. Saya rasa amat bertuah dapat bertemu Roger Moore yang pernah berlakon sebagai James Bond.

“Dalam pertemuan itu, setiap pelakon mengenakan pakaian negara mereka antaranya kimono (Jepun), Filipina, Korea dan Hong Kong.

AKTRES Hollywood, Elizabeth Taylor bersama Seniwati dari kiri: Hashimah Yon, Zaiton, Rosnani, Omar Suwita dan Saloma ketika berkunjung ke Singapura.

“Ibu bangga dengan kebaya pendek yang mana turut mendapat perhatian daripada Roger Moore,” cerita Zaiton sambil ketawa kecil.

Menurut Zaiton, walaupun kenangan dan pengalaman itu telah 67 tahun berlalu tetapi ia masih segar dalam ingatan ibu dan antara kenangan terindah sepanjang 69 tahun bergelar ‘anak wayang!’

SENIWATI Zaiton bukan sahaja berwajah jelita tetapi bakat beliau sungguh menyerlah dalam dunia lakonan.

Sepanjang 13 tahun bergelar ‘anak wayang,’ Zaiton telah membintangi 24 filem dengan yang pertama dan berwatak dalam filem “Kipas Hikmat” (1955) dan terakhir “Raja Bersiong” (1968) namun beliau tidak dapat melupakan wataknya sebagai Tun Tijah dalam filem epik “Hang Tuah”(1956) telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Asia ke-3 pada 1956 dan Aktres Pembantu Terbaik pada Pesta Filem Malaya 1958 kerana lakonannya dalam filem “Taufan.”

Seniwati Zaiton yang cukup popular dan diminati kerana watak ikoniknya ‘Jeton’ dalam filem “Bujang Lapok” (1957) menerima Anugerah Seni Era pada tahun 2006.

PENULIS, Syed Wafa bergambar kenangan bersama Seniwati Zaiton yang amat beliau kagumi dan sayangi.

Kini pada usianya 88 tahun, Seniwati Zaiton, ibu kepada lima orang anak melalui dua perkahwinan Sasterawan Abdullah Hussein dan ahli perniagaan, Syed Abdullah Alkaff, hidup bahagia tanpa memikirkan tentang dunia lakonan setelah meletakkan noktah pada kerjaya seninya dengan filem terakhir “Raja Bersiong.”

Kami di Ladybosz sentiasa memdoakan semoga seniwati legenda Zaiton sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here