Oleh: Khadijah Ibrahim
SERAMAI 36 peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia bakal bertanding untuk merebut gelaran Mr Nusantara yang akan berlangsung di Galaxy Banquet Hall @ HGH Convention Centre, Sentul, KualaLumpur pada 29 Mei ini.
Pertandingan anjuran Beam Artistes yang merupakan agensi pencari bakat antarabangsa itu bertujuan untuk mencungkil bakat di kalangan lelaki dari tiga negara yang bergaya dan berwibawa.

Menariknya pemenang untuk pertandingan yang julung kali diadakan itu bakal membawa pulang wang tunai berjumlah USD 80,000 (RM339,840) dan hadiah termasuk sebuah kereta.
Daripada 36 peserta yang diumumkan pada sidang media yang diadakan di Sungei Wang, Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu, Malaysia dan Singapura diwakili oleh 15 peserta setiap negara, manakala Indonesia hanya ada tujuh wakil.
Ketua Pegawai Eksekutif Beam Artistesdan Pengasas Mr Nusantara, Samuel Seow berkata, disebabkan beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan, jumlah peserta dari Indonesia kurang berbanding Malaysia dan Singapura.

“Pada pertengahan Mac lalu, Beam Artistes telah mengumumkan nama peserta yang akan mewakili Malaysia dan Singapura menerusi media sosial kami iaitu Instagram (@beamsearch.my & @beamsearch.sg) manakala nama calon dari Indonesia diumumkan menerusi @beamsearch.id.
“Mr Nusantara ini bukan sekadar pertandingan tapi adalah satu perayaan warisan dan perpaduan yang dikongsi di seluruh rantau. Kami sangat teruja untuk menyatukan ketiga-tiga negara ini dalam satu acara yang menakjubkan, mempamerkan kebanggaan, bakat dan semangat Kepulauan Melayu.
“Sama seperti rantau ini yang pernah menghadapi cabaran besar pada masa lalu, Mr Nusantara yang julung kali diadakan ini pun tidak lepas daripada dugaannya. Walau apapun acara ini perlu diteruskan dan disebabkan ‘masalah’ yang tak dijangka, format pertandingan juga terpaksa diubah mengikut kesesuaian semasa,” katanya.

Jelas Samuel Seow, penyertaan dibuka kepada mana-mana lelaki yang berkeyakinan diri untuk menyertai Mr Nusantara dari usia 18 tahun hingga ke 60 tahun ke atas daripada pelbagai latar belakang.
Tambahnya, pertandingan Mr Nusantara bukan sekadar untuk mencari model yang bergaya sahaja tapi mencari pemenang yang boleh menjadi role model bagi mewakili agensi dan negara masing-masing.
Justeru itu katanya, setiap negara akan ada pemenang mewakili negara masing-masing iaitu Mr Singapore Nusantara 2025, Mr Malaysia Nusantara 2025 dan Mr Indonesia Nusantara 2025. Kemudian daripada situ barulah dipilih juara Mr Nusantara yang dibuat menerusi undian atas talian.

Bagi memeriahkan acara tersebut, penganjur turut mengundang kumpulan Dolla untuk menghibur orang ramai yanghadir memberi sokongan kepada para peserta.
Bagi yang ingin menonton acara tajaan A.M Aesthetics dengan sokongan Alluora Skincare dan mahu mengetahui siapakah yang bakal menjulang juara Mr Nusantara, jangan lupa dapatkan tiket anda di www.thevotique.com

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.