"Cak Cak Cekuk" single baharu Wani Kayrie.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Wani Kayrie kini tampil memeriahkan dunia muzik tempatan dengan single terbaharu bertajuk “Cak Cak Cekuk”, sebuah lagu pop moden bernuansa tradisional yang menyatukan elemen budaya lama dengan susunan muzik kontemporari.

Lagu “Cak Cak Cekuk” merupakan hasil ciptaan bersama barisan komposer berbakat iaitu Karim Karam, Shane Kennedy serta Iqie Hugh dan diterbitkan oleh label Rocketfuel Entertainment.

Jelas Wani, pertama kali dengar demo lagu tersebut, hatinya sudah tertarik untuk merakamkan lagu tersebut.

Bagi Wani Kayrie, single baharunya bukan sekadar hiburan tapi ada mesej disebalik lagu tersebut.

“Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus berkata…’Ini memang cerita hidup ramai pasangan muda masa kini.Tengah teruja hendak berkahwin, tetapi duit masih lagi tidak cukup. Jadi apa kata kita rakam lagu ini dengan ‘vibe’ ceria tetapi sarat dengan makna,” kongsi Wani.

Menariknya kata Wani, lagu “Cak Cak Cekuk” mengambil inspirasi daripada lagu rakyat yang pernah dinyanyikan oleh ibu atau nenek kepada anak-anak kecil, lalu diberi nafas baharu yang segar dan moden.

“Lagu ini mengingatkan saya ketika zaman kecil dulu-dulu, “Cak Cekur Udang Gamit” selalu dinyanyikan oleh para ibu atau nenek kepada anak-anak kecil yang sedang membesar. Apabila dapat peluang merakamkan lagu yang berunsur nasihat, saya memang sangat teruja. Saya rasa penting bagi kita sebagai generasi baharu bawa balik elemen budaya kita sendiri, tetapi dengan cara yang sesuai dengan zaman sekarang,” katanya penuh semangat.

Lagu “Cak Cak Cekuk” diinspirasikan daripada lagu rakyat “Cak Cekur Udang Gamit”.

Tambahnya, lagu ini menggambarkan realiti yang dihadapi ramai pasangan muda masa kini, iaitu keinginan untuk mendirikan rumah tangga tetapi terbatas olehkeadaan kewangan.

Ujarnya, mesej yang disampaikan menerusi lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk pemahaman dan sokongan kepada golongan muda yang sedang merancang masa depan mereka bersama.

“Saya percaya ramai yang akan merasa dekat dengan lirik lagu ini. Kadangkala kita tidak perlukan majlis yang mewah, cukup dengan cinta dan keikhlasan.

“Dengan susunan muzik yang bertenaga dan lirik bersahaja, “Cak Cak Cekuk” membawa aura ceria tetapi penuh pengisian.Lagu ini tidak hanya untuk hiburan, malah boleh menjadi penyuntik semangat buat mereka yang sedang membuat persiapan menuju alam perkahwinan.

Wani Kayrie teruja dapat merakam lagu berunsur nasihat.

“Lagu ini walaupun santai, tetapi mesejnya jelas iaitu kalau dah sayang, kita usaha sama-sama. Tidak semestinya kena tunggu semua cukup baru boleh kahwin,” kata Wani tersenyum.

Tambah pemilik nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 25, semua orang pernah melalui pengalaman yang sama sebelum berjaya mencapai apa yang dihajati.

“Kita semua pernah merasa susah hendak capai impian, tetapi jangan putus asa. Saya sendiri ketika hendak memulakan kerjaya seni dahulu pun ada banyak cabaran, tetapi kita kena jalan perlahan-lahan, jangan berhenti. Macam bait lagu ini, ‘Perlahan dayung sampai hujung’, itulah semangat yang saya hendak kongsi melalui lagu ini.

“Dengan gaya penceritaan yang ringan dan penuh kasih sayang, lagu ini juga sangat sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, sesi “bridal shower” atau apa-apa acara berkaitan cinta dan ikatan kekeluargaan,” katanya penuh semangat.

Lagu “Cak Cak Cekuk” boleh didengari di semua platform digital seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here