Dari kiri, Din, Awie dan Kid adalah tiga nama yang cukup sinonim dengan genre rock.

Oleh: Khadijah Ibrahim

INI bukan kali pertama Dato’ Awie berkolaborasi dengan Din dan Kid Search. Sebelum ini Awie pernah menjadi penyanyi untuk kumpulan Search, sementara Din dan adiknya, Kid masih lagi bersama anggota asal Search ketika itu.

Seiring dengan perubahan masa, Din dan Kid tidak lagi bersama anggota asal Search dan kini bergerak mengikut haluan sendiri. Bagi meneruskan kerjaya seni mereka, Din dan Kid dengan kerjasama RPM Events Sdn. Bhd., selaku penganjur akan menjayakan jelajah konser berskala nasional.

Acara yang bertujuan mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia menerusi Rockology Concert Tour 2025 akan bermula pada 21 Jun ini di Midtown Perda, Pulau Pinang bagi North Chapter.

Eddy (dua dari kanan) menganjur konsert Rockology bagi mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia.

Sementara untuk South Chapter pula Rockology Concert Tour 2025 akan beraksi di EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai depan. Jelajah ini dijangka menarik sehingga 15,000 peminat muzik rock dari seluruh Malaysia serta Singapura.

Menurut Pengarah RPM Group of Companies, Dato’ Eddy Amir Salim, penubuhan RPM Group of Companies adalah langkah penting dalam menyatukan kepakaran pihaknya dalam pelbagai cabang industri hiburan.

Di bawah RPM Group of Companies terdapat Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., peneraju dalam produksi kandungan kreatif dan penerbitan drama, filem dan program-program hiburan berimpak tinggi.

Manakala RPM Events Sdn. Bhd, pula katanya adalah syarikat pengurusan acara yang memberi tumpuan kepada konsert, festival muzik, acara korporat dan program berskala besar.

Penganjur berbesar hati memberi kemudahan kepada pembeli tiket dengan cara pembayaran ansuran.

Selain itu pihaknya juga bertanggungjawab untuk pembagunan artis menerusi pengeluaran muzik berkualiti tempatan serta untuk mencungkil bakat bakat baharu untuk diketengahkan menerusi label rakaman RPM Labels Sdn. Bhd.

“Rockology Concert Tour 2025 adalah permulaan kepada misi kami untuk membawa semula semangat rock tempatan ke tahap yang lebih profesional, tersusun dan mampan.

“Kami amat mengalu-alukan mana-mana penaja atau rakan strategik untuk turut serta dalam menjayakan konsert ini kerana acara ini bukan sahaja sebagai platform muzik, tetapi sebagai gerakan budaya dan sosial,” katanya yang mahu memperkukuh industri hiburan Malaysia dengan pendekatan yang lebih profesional, tersusun dan berimpak tinggi.

Menurut Awie, beliau bersetuju untuk terlibat dalam Rockology Concert Tour 2025 kerana percaya pada misi dan semangat di sebalik jelajah ini. Baginya, ia bukan sekadar konsert biasa tapi adalah satu gerakan untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air.

“Sebahagian dana atau keuntungan yang diperoleh daripada konsert ini akan disalurkan kepada program CSR kami yang seterusnya, iaitu Konsert Wings Dalam Penjara, sebuah projek khas untuk menyantuni komuniti yang memerlukan perhatian dan sokongan pemulihan.

Sidang media sewaktu mengumumkan konsert Rockology, baru-baru ini.

“Ini adalah cara kami untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutama mereka yang telah tersisih daripada dunia luar,” kata Awie yang sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat menerusi kegiatan seninya.

Bagi peminat rock yang ingin menonton persembahan Awie, Din dan Kid di Rockology Concert Tour 2025 – North Chapter boleh dapatkan tiket anda di laman sesawang https://rpm.ubertickets.asia/ dengan harga mampu milik bermula serendah RM98.

Demi bagi memastikan peminat tegar muzik rock dapat hadir menyaksikan konsert tersebut, penganjur berbesar hati menawarkan pelan bayaran mudah untuk mereka.

Dengan hanya bayaran pendahuluan 50%, peminat boleh menempah tiket lebih awal dan menyelesaikan baki selewat-lewatnya tujuh (7) hari sebelum konsert berlangsung.

Kemudahan ini merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan bagi memberi lebih fleksibiliti kepada peminat-peminat muzik rock tanah air dalam merancang kewangan mereka, terutamanya bagi konsert-konsert besar yang melibatkan nama-nama legenda seperti Awie dan Search (Kid Din) yang bakal menggamatkan pentas rock itu nanti.

Awie bakal beraksi di pentas Rockologr Concert Tour 2025 dengan iringan petikan gitar daripada Din dan Kid.

Jelas Eddy, beliau percaya ramai yang meminati irama rock dan justeru itulah pihaknya mahu semua peminat berpeluang untuk ‘lock’ tempat duduk mereka lebih awal tanpa beban kewangan serta menikmati persembahan ikonik daripada dua nama besar ini.

“Kami faham keadaan ekonomi semasa dan mahu memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk bersama-sama merasai kehangatan konsert ini.

“Peminat hanya perlu memilih opsyen bayaran 50/50 semasa proses pembelian tiket di platform rasmi UberTickets. Tiket yang tidak diselesaikan bayaran penuh selepas tempoh yang ditetapkan akan dianggap batal dan bayaran pendahuluan tidak akan dikembalikan,” jelasnya.

Selain itu, pihak penganjur juga membuka peluang kepada penaja korporat dan rakan jenama yang ingin turut serta menjayakan Rockology Concert Tour 2025. Penajaan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada jenama di hadapan ribuan peminat muzik rock, malah membuka peluang kolaborasi dalam bentuk promosi bersama, aktivasi jenama di lokasi konsert, serta liputan media nasional.

Konsert jelajah rock ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peminat rock menikmati muzik kegemaran mereka.

“Ini peluang keemasan untuk jenama atau syarikat yang mahu terlibat secara langsung dalam produksi konsert berskala nasional bersama artis lagenda negara. Kami sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat untuk memberi sokongan terhadap industri hiburan tempatan. Ini bukan sekadar konsert, ini adalah satu gerakan dengan semangat rebel dan energi muzik rock,” tambah Eddy.

Rockology Concert Tour 2025 dijangka mencetuskan gelombang nostalgia dan semangat rock yang membara, dengan produksi pentas berkualiti tinggi, sistem bunyi kelas dunia dan persembahan penuh tenaga.

Harga tiket untuk Rockology Concert Tour 2025 di Pulau Pinang adalah RM98 (Free Standing), RM158 (Rockzone – Standing) dan RM218 (Gold – Seated).

Manakala harga tiket untuk Rockology Concert Tour 2025 – Johor adalah RM98 (Free Standing), RM98 (Bronze – Free Seating), RM128 (Silver – Free Seating), RM158 (Rockzone – Standing), RM188 (Gold – Numbered Seating) dan RM350 (Diamond – Numbered Seating).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here