Lagu "Basstamam" dendangan Syed Iqbal menjadi pilihan ramai pada masa kini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETIAP kali menghasilkan sesebuah lagu, baik penyanyi mahupun pencipta pasti berharap karya tersebut mendapat sambutan hangat. Namun sebagai insan biasa, kita tidak dapat menduga sama ada lagu tersebut boleh melonjak atau pun sebaliknya walaupun telah berusaha sebaik mungkin.

Namun bagi pendatang baharu dalam industri muzik tanah air, Syed Iqbal, single pertamanya “Basstamam” membawa tuah kerana lagu ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik hasil nukilan Abdulkarim Al Ali bersama Wan Saleh itu kini menjadi trending di platform TikTok.

Basstamam mengangkat tema tentang ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup dan masalah sering dijadikan lagu latar untuk konten netizen.

Syed Iqbal tak jangka lagu sulungnya, “Basstamam” mendapat sambutan hangat daripada peminat tanah air.

Bagi Syed Iqbal atau nama penuhnya, Syed Muhammad Iqbal Jamalulleil, 24, bweharap para pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa ‘basstamam’ itu dalam hati.

“Kita semua perlukan ketenangan dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji. Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” katanya yang mengambil masa dua jam untuk menyiapkan rakaman lagu tersebut.

Akui Syed Iqbal, sewaktu proses rakaman semuanya berjalan dengan lancar dan menyeronokkan walaupun pada awalnya timbul sedikit rasa bimbang.

“Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini,” ujarnya tentang lagu yang menggabungkan irama pop Melayu dan Arab.

Tambah adik kepada Da’i Syed itu, “Basstamam” mengetengahkan susunan muzik yang tenang dan meresap ke jiwa, sesuai untuk dinikmati sewaktu bersantai atau merenung makna kehidupan.

“Basstamam” ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh serta lirik oleh Abdulkarim Al Ali dengan Wan Saleh itu mengangkat tema tentang ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup

Bukan setakat irama lagu ini menarik dan sedap didengar, malah video muzik “Basstamam” juga ada daya tarikan tersendiri dan menenangkan mata yang memandang.

“Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat supportive, saya berasa sangat bersemangat untuk menjayakan MV ini.

“Semua yang terlibat sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya benar-benar menghargai komitmen mereka,” katanya yang menjalani penggambaran mencabar tetapi penuh semangat.
Basstamam kini tersedia di semua platform penstriman digital. Dengan mesej yang mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh perasaan, lagu ini dijangka mendapat tempat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang.

Tambahan lagi, lagu “Basstamam” telah meraih banyak perhatian di media sosial dengan lebih 20,000 ciptaan di TikTok dan lebih 2,000 ciptaan di Instagram.

Para peminat juga secara organik telah mencipta satu trend yang dinamakan ‘Wahai Bulan Purnama’. Ia merupakan trend peralihan di mana orang ramai menunjukkan diri mereka yang dahulu dan bagaimana mereka telah berubah menjadi lebih baik.

“Basstamam” kini boleh didapati di semua platform digital bermula 30 Mei 2025 dan video muziknya juga boleh ditonton di YouTube rasmi Masyhur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here