Bunga Citra Lestari kembali menghibur peminatnya di Malaysia menerusi konsert BCL:Eternal Love -Timeless Romance pada 27 September ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Bunga Citra Lestari, 42, sekali lagi bakal menghibur peminatnya di Malaysia menerusi konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance yang akan diadakan pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Konsert yang dibawakan oleh Pulse Project Asia itu akan memberi pengalaman baharu buat para peminat menonton persembahan terkini penyandang gelaran penghibur, aktres, juri profesional dan penggiat seni yang digemari Nusantara.

Akan dipenuhi dengan aroma cinta tentu sahaja daripada rangkaian u lagu BCL seperti “Cinta Sejati”, “Cinta Pertama” (Sunny), “Karena Ku Cinta Kau”, “12 Tahun Terindah” sehingga single terkini, “Memulai Kembali”, konsert ini akan membawa peminat menyusuri perjalanan panjang beliau dalam belantika hiburan.

BCL kerap diundang mengadakan persembahan di sini yang dianggap sebagai ‘rumah’ keduanya.

Wakil Pulse Project Asia, Muhammad Anuar Zaini berkata, walaupun mereka merupakan syarikat baharu dalam penganjuran acara, pasukan di sebaliknya terdiri daripada individu-individu berpengalaman luas dalam menganjurkan persembahan muzik berskala besar.

“Pihak kami teruja untuk menganjur BCL: Eternal Love – Timeless Romance yang kami sifatkan bakal memberi pengalaman hiburan yang eksklusif buat semua. Ini merupakan hadiah buat para peminat penyanyi hebat ini menikmati konsert beliau dalam suasana berbeza daripada penganjuran konsert-konsert BCL sebelum ini.

“Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan muzik BCL yang menyentuh hati melalui lagu-lagu cinta abadi, balada penuh makna dan penceritaan intim. Semuanya akan dipersembahkan dengan tata cahaya bersama produksi bertaraf dunia,” ujar Muhammad Anuar.

Tampil dengan single terkini ” Memulai Kembali”.

Menurut Anuar lagi, penganjuran BCL: Eternal Love – Timeless Romance umpama membawa penyanyi kesayangan ramai itu pulang ke rumah keduanya yang sentiasa menyambut hangat kehadiran beliau.

“BCL bukan seorang penghibur yang asing dengan peminat apalagi bumi Malaysia. Beliau selalu disambut hangat oleh peminat di sini. Kedatangan BCL ke ibu kota akan terus membuat ‘aroma-aroma’ cinta yang dibawa menerusi karya- karyanya terus subur,” katanya lagi.

Sementara itu, BCL menganggap penganjuran BCL: Eternal Love – Timeless Romance sebagai sebuah konsert yang dinantikan buat beliau berbagi ‘kasih sayang’ dalam suasana intim bersama peminat di Malaysia yang tidak pernah lelah dan sentiasa menyokong karier seni sejak lebih sedekad lalu.

Penyanyi ini juga sering dilantik menjadi juri untuk program realiti di Indonesia.

Bagi yang ingin menonton persembahan BCL boleh membeli secara eksklusif di Ticket2U yang sudah dijual sejak 6 Jun lalu. Hanya 300 pembeli tiket terawal konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance berpeluang menikmati Pas Soundcheck Eksklusif sesi latihan BCL secara langsung, di depan mata, sebelum konsert bermula.

Menariknya, untuk memberikan pengalaman yang benar-benar luar biasa buat para peminat, pemegang tiket pakej Cinta Abadi (kategori eksklusif menggantikan VVIP) akan diberi layanan penuh istimewa: sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, sesi bergambar kenangan, serta barangan eksklusif yang ditandatangani sendiri oleh BCL.

Untuk pembelian tiket dengan beberapa kategori bermula RM288 (harga normal) boleh dibuat secara atas talian melalui Ticket2u, platform rasmi penjualan tiket bagi acara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here