Oleh: Khadijah Ibrahim
RAMAI di antara kita yang membesar dengan menonton kartun Mickey Mouse di kaca televisyen suatu ketika dulu. Kartun rekaan The Walt Disney Company yang bermula pada 1928 bukan sekadar hiburan tapi ada mesej yang diselitkan dalam setiap penampilan karakter itu.
Berubah mengikut peredaran masa, kini Mickey Mouse bukan sekadar dapat ditonton sebagai animasi tapi dijayakan oleh pelakon-pelakon hebat menerusi kostum karakter tersebut.
Untuk menonton kehebatan insan-insan di sebalik kostum Mickey Mouse atau Minnie Mouse, anda boleh hadir ke Arena of Stars, Resorts World Genting dari 29 Ogos hingga 1 September 2025 untuk menonton “Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play!”.
Konsert istimewa yang sesuai ditonton sekeluarga ini akan berlangsung selama empat hari dengan lapan persembahan menakjubkan, menampilkan watak-watak kesayangan daripada siri Disney Jr. dalam pengembaraan muzikal yang interaktif dan penuh keseronokan.

Persembahan akan bermula pada 29 Ogos, jam 7.30 malam, manakala pada 30 dan 31 Ogos, ada tiga persembahan iaitu pada pukul 11 pagi, 2.30 petang dan 6 petang, manakala pada 1 September, hanya satu persembahan sahaja iaitu pada 1 tengah hari.
Penonton bukan sahaja dapat menonton persembahan langsung Mickey Mouse dan Minnie Mouse tapi turut serta menjayakan konsert tersebut adalah Ariel The Little Mermaid, SuperKitties, Puppy Dog Pals, dan Team Spidey.
Dengan gabungan nyanyian, tarian, visual 3D yang mempesona, dan aksi akrobatik yang mendebarkan, persembahan ini menjanjikan satu pengalaman yang bakal menghiburkan kanak-kanak dan seisi keluarga.
Dalam “Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play!”, Mickey Mouse merancang satu temu janji permainan paling hebat untuk rakan-rakannya di Clubhouse. Namun, apabila fenomena cuaca hijau misteri mengancam keseronokan, Team Spidey daripada Marvel’s Spidey and His Amazing Friends tampil untuk menyelamatkan semua.

Antara lagu-lagu popular yang akan dipersembahkan termasuklah, “Hot Dog!” daripada Mickey Mouse Clubhouse, “Oopsie Kitty” dendangan Super Kitties dan “Do the Spidey” daripada Marvel’s Spidey and His Amazing Friends.
Penerbit Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank berkata, selepas mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat dan membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa di London, pihaknya teruja untuk membawa produksi ajaib ini kepada keluarga di Malaysia.
Tiket untuk menonton persembahan Mickey dan rakan-rakannya itu boleh dibeli di rwgenting.com dan ticketingtix.com, serta mengikuti perkembangan terkini menerusi Instagram, Facebook, TikTok, dan tanda pagar rasmi #DisneyJrTour.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.