Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA anda adalah peminat genre muzik indie, rock dan ska pasti tidak akan lepaskan peluang untuk menonton konsert ‘Aku, Muzik & Kamu (AMK Indie 2025), yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 dan 27 Julai ini.

Lebih menariknya selama dua hari konsert berlangsung, anda berpeluang menonton persembahan daripada 21 band muzik tempatan yang mempunyai aura tersendiri. Acara untuk kedua-dua konsert tersebut akan bermula pada jam 5 petang hingga 11 malam.

Pada hari pertama, penonton yang hadir dapat menonton persembahan daripada SYJ, Cromok, 6ixth Sense, Plague Of Happiness, Metalasia, One Buck Short, Deja Voodoo Spells, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Patriots, Aboi dan Monosterio.

Manakala pada hari kedua pula, pengujung akan dihiburkan dengan dendangan lagu daripada Meet Uncle Hussain, Empty Page, Butterfingers, Hujan, Seven Collar T-Shirt, Salammusik, Kyoto Protocol, Midnight Fusic, Gerhana Skacinta dan Monoloque.

Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, sudi menaja dua motosikal elektrik untuk diberikan kepada penonton bertuah yang hadir ke Festival Aku, Muzik & Kamu pada 26 dan 27 Julai ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Ada di antara band-band ini sudah lama menyepikan diri tapi demi memeriahkan AMK Indie 2025 mereka muncul semula untuk menghibur peminat masing-masing di konsert anjuran Coaction Events bersama Westzone Entertainment. Malah pentas AMK Indie 2025 adalah platform untuk band-band baharu menonjolkan kredibiliti mereka sebagai pelapis baharu dalam muzik alternatif.

Tiket-tiket yang ditawarkan untuk menonton konsert ini pun berbaloi kerana untuk satu hari bagi Rock Zone, harganya RM180 dan RM80 untuk Funky Zone. Bagaimanapun kalau anda bercadang untuk pergi dua hari berturut-turut, harga yang ditawarkan adalah RM350 (Rock Zone) dan RM150 (Funky Zone).

Dengan kapasiti 30,000 orang di Litar Antarabangsa Sepang, pelbagai zon tiket dan festival makanan yang disediakan, AMK Indie 2025 menjanjikan pengalaman hujung minggu yang menghidupkan semula jiwa festival tempatan tanpa artis luar.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan dan sokongan terhadap AMK Indie 2025, GGR Motor, sebuah syarikat automotif tempatan yang baru saja melancarkan motosikal elektrik (EV) turut mengumumkan penajaan dua unit LionG1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah rasmi kepada penonton bertuah pada konsert AMK Indie 2025.

“Penajaan ini sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” kata Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi.

Cat Farish dan Farid Kamil antara selebriti yang turut bekerjasama dengan GGR Motor.

Tambah Muhammad Mussadiq lagi, pada 28 Jun ini, pihaknya akan melancarkan pelancaran motosikal elektrik (EV) terkini mereka bersama Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd selaku “Rakan Strategik Eksklusif” dan pengedar sah utama motosikal (EV).

“Pelancaran ini adalah langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat, dengan pendekatan lebih mesra pengguna dan menjangkau generasi muda.

“Acara akan bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dengan sesi pelancaran, pameran, jaringan pelabur dan media. Aktiviti malam pula dimeriahkan dengan persembahan komuniti, “test ride”, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama pencinta EV.

“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam. Antara artis yang bakal hadir adalah Bella Astillah, Johan, Cat Farish, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Nabil Ahmad yang saya kenali secara peribadi.

“Mereka bukan sekadar selebriti, tetapi sahabat lama yang saya percaya mampu membawa nilai positif kepada jenama ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Johan, yang juga dikenali menerusi jenama makanan Itik ke Ayam? bakal menjadi antara rakan kolaborasi utama dalam usaha membuka cawangan kedai bersama artis terpilih selepas pelancaran nanti.

Menurutnya, langkah ini diharap dapat menjadi batu loncatan ke arah perkembangan jenama secara lebih meluas di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Dua tahun lalu, GGR Motor dengan kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) pernah menghadiahkan skuter elektrik kepada Bella Astillah. Strategi ini menjadi apabila nama GGR Motor menjadi viral memandangkan Bella hangat dengan konflik rumah tangga ketika itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here