Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
TARIKH 19 Jun 2025 pukul 8.30 malam hari Khamis…bukan sahaja meninggalkan kenangan pilu yang sukar dipadam buat suami dan dua orang anaknya malah para peminatnya pasti akan mengingati akan pemergian beliau buat selama-lamanya.
Betapa tidak sejak menceburi bidang seni suara pada 1969 sehingga ke akhir hayatnya, Siti Zaleha Abdul Hamid atau lebih dikenali Zaleha Hamid cukup terkenal dan kekal dengan lagu dangdut sehingga digelar ‘Ratu Dangdut Malaysia’ juga ‘Ratu Dangdut Singapura’ kerana populariti yang beliau raih di kedua-dua negara itu.


Bagaimanapun pada tarikh berkenaan, Allahyarham yang sentiasa diminati dan diingati dengan lagu-lagu popularnya seperti “Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Segan-Segan, Pria Idaman, Jangan Kau Tangiskan, Kekasih Di Tangan Orang, Jagung Bakar dan Teruna Idaman menghembuskan nafas terakhir kerana jangkitan kuman pada paru-paru dengan meninggalkan suami tercinta, Ungku Sulaiman Ungku Aziz dan dua anaknya, Ungku Chik dan Ungku Nor Mohammad Danial, di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Walaupun pemergian Allahyarham meninggalkan kesan di hati keluarga tercinta dan para peminat setianya, namun lagu-lagu dangdut yang ditinggalkan menjadi khazanah yang amat berharga buat para peminat lagu-lagu irama berkenaan.


Meskipun pepatah ada berkata ‘Yang Patahkan Tumbuh Yang Hilang akan Berganti’ namun realitinya tidak bagi seorang ‘Zaleha Hamid!’
Biar mungkin suatu hari nanti akan muncul seorang penyanyi dangdut baru tetapi kehebatan Zaleha Hamid yang dianggap sebagai perintis irama dangdut di Malaysia pada era 1980-an sukar dicari ganti!


Di awal pembabitannya dalam bidang nyanyian, sebelum muncul sebagai penyanyi solo, Zaleha Hamid yang dilahirkan dalam sebuah keluarga seni iaitu ‘orang bangsawan dengan ibunya pelakon bangsawan dan ayahnya pemain biola terkenal, menganggotai kugiran Orkes Zindegi sebagai penyanyi utama sejak 1960an-1970an.
Bagaimanapun pada tahun 1980an, Zaleha Hamid bergerak secara solo dengan menyanyikan lagu-lagu irama traditional dan dangdut yang mana ini telah menyerlahkan vokalnya dengan lagu dangdut.


Sejak itu, Zaleha Hamid mencipta nama sebagai penyanyi dangdut dengan lagu “Dangdut Reggae!’
Populariti yang diraih Zaleha Hamid sebagai penyanyi dangdut memang sukar digugat sehingga akhirnya seorang penulis lirik terkenal pada era 1980an, Haron Abdul Majid menggelarnya sebagai ‘Ratu Dangdut’ dan diktiraf oleh Berita Harian Singapura.


Walaupun selepas itu muncul beberapa penyanyi dangdut baru namun Zaleha Hamid kekal unggul sebagai ‘Ratu Dangdut Malaysia dan Singapura!’
Sepanjang perjalanan seninya sebagai Ratu Dangdut, Zaleha Hamid telah muncul dengan album antaranya “Curahan Rasa” (1982), “Kenangan,” (1983), “Perasaan Cinta,” (1984), “Hadiah Kenangan,” (1985), “Asmara,”(1986), “Dankdut Bang” (1993) dan “Dankdut Bang Vol. 2 (1995).


Disamping album dangdut, Zaleha Hamid juga pernah muncul dengan album “Melayu Deli” (1982), “Melayu Deli” (1983) dan “Deli Aidilfitri” (1984).
Sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi, Zaleha Hamid pernah berpeluang menyertai Peringkat Separuh Akhir Muzik ke-8 (1992) dengan lagu “Teruna Idaman,” menerima Anugerah Artis Sepanjang Zaman: Penyanyi Lagu Dangdut (Anugerah Kecapi PAPITA – 2006), Anugerah Bintang Seni Tanahair: Dangdut (Anugerah LIFE Records Singapura – 2007).
Sebelum mengidap jangkitan kuman di paru-paru, Zaleha Hamid diserang angin ahmar peringkat permulaan selepas terjatuh dalam bilik air di kediamannya di Johor Bahru selepas pulang dari Kuala Lumpur pada 22 Disember 2019.

Jenazah Allahyarham Zaleha Hamid telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Danga, Johor Bahru.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Biduanita legenda Zaleha Hamid sentiasa dicucuri rahmat…Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.