Oleh: Nury Kadir
Masa sayang semuanya hendak diserahkan dan dikongsi. Katanya `sharing is caring’. Tunggulah nanti bila bergaduh semua pemberian jadi ungkitan dan diminta untuk memulangkannya. Kalau yang tidak boleh dipulangkan balik maka keluarlah perkataan, “aku tak halalkan…!”
Ini bukan cerita sepasang kekasih malah adik-beradik pun boleh berbalah, ibu bapa dan anak-anak pun boleh berselisih faham. Semua itu bukan mustahil apabila timbul salah faham segala yang baik dan indah kelihatan buruk, sayang jadi benci dan ikhlas jadi ungkitan.
Bagi yang menerima terasa hati dan risau duit yang telah diterima, makanan yang dimakan dan barangan yang terlanjur digunakan tidak halal. Persoalan bagaimana hendak menjawab di hadapan Allah bermain di fikiran? “Makanan yang tidak halal menjadi darah daging maka hati akan menjadi gelap,” terngiang-ngiang di telinga.
Hati menjadi semakin risau apabila terbaca hadis Rasulullah SAW bahawa setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram nescaya azab neraka baginya. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” (Riwayat Muslim)
Soalnya perlukah dipulangkan semula barang, duit atau makanan yang diterima daripada pemberi pertolongan yang telah diikhlaskan dunia akhirat.
Reaksi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai isu tersebut, hanya dengan berkata, ‘aku tidak menghalalkan apa saja pemberian…’ itu dianggap sebagai mengungkit-ungkit pemberian yang mana ia akan menghilangkan pahala sedekah.

Setiap sesuatu pemberian adalah sedekah dan ia adalah amalan yang mulia seperti yang disebut dalam firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan balasannya bagi mereka dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.” (al-Hadid:18)
Itu janji Allah kepada yang suka memberi dan janji Allah adalah pasti. Bagaimana kalau pemberi itu mengungkit apa yang telah diberinya. Adakah penerima haram memakan atau menggunakan pemberian tersebut?.
Sebelum menjawab halal atau haram, perlu difahami konsep sedekah itu. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, apabila suatu sedekah atau hibah telah diambil oleh penerima, ia telah menjadi hak milik penerima tersebut sepenuhnya dan dia boleh menggunakan harta itu mengikut kehendak dan keperluannya.
Pemberi sudah hilang hak pemilikannya terhadap wang, barang atau makanan yang diberi tersebut. Oleh itu, pemberi itu tiada kuasa untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut, bahkan ia boleh dianggap seperti perbuatan meminta semula pemberian atau istilah orang Melayu sebagai buruk siku yang termasuk dalam sabda Nabi SAW:
لَيْسَ لَنا مَثَلُ السَّوْءِ الَّذِي يَعودُ فِي هِبَتِهِ كالْكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ
Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”
Dan, dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW bersabda:
«العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ»
Maksudnya: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.” (HR al-Bukhari)
#Ikuti sambungan akan datang siapakah yang tidak buruk siku ketika meminta kembali hibah pemberiannya?#

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.