Oleh : Asmat Fikri
Saya ada gelembung air di bibir, apakah saya kena penyakit herpes? Jika mana-mana pesakit yang merasakan ada gejala tersebut segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ianya tidak semestinya penyakit herpes, namun ia boleh jadi hanya gelembung biasa.
Jadi, mari kita tengok bagaimana sebenarnya cara doktor mengdiagnos penyakit ini. Menurut Hello Doktor, ada beberapa ujian yang akan dilakukan doktor kepada pesakit sebelum mendiagnosis jika pesakit mengalami tanda atau gejala HSV. Ujian tersebut adalah seperti berikut:
• Ujian budaya virus. Ujian ini mengambil sampel daripada ulser kulit atau luka untuk memastikan kehadiran virus herpes
• Ujian tindak balas rantai polimerase (PCR). Ujian ini mengambil DNA anda daripada sampel darah untuk menentukan kehadiran dan jenis HSV
• Ujian darah. Ini untuk memeriksa antibodi HSV bagi mengesan mana-mana jangkitan virus herpes yang lalu
Jika pesakit hamil boleh ke doktor melakukan pemeriksaan tersebut? Pesakit yang sedang hamil sepatutnya memaklumkan terlebih awal kepada doktor berkenaan keadaan dirinya. Doktor akan menetapkan beberapa ubat antivirus menjelang akhir kehamilan untuk mencegah daripada menyebarkan virus tersebut kepada bayi. Mungkin untuk beberapa kes, doktor akan menyarankan C-zer agar bayi dapat dilahirkan lebih awal daripada sepatutnya.
Bagaimana pesakit dirawat?
Bagi mengelakkan gejala menjadi lebih teruk, pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan segera atau sekurang-kurangnya dalam tempoh 48 jam. Walaupun tiada ubat khusus untuk sembuhkan HSV, namun ubatan antivirus oral seperti acyclovir (Zovirax), famciclovir (Famvir) dan valacyclovir (Valtrex), boleh membantu menyembuhkan ruam kulit dan mengurangkan jangkitan ulangan.
Tempoh pulih daripada penyakit itu biasanya doktor anggarkan antara tujuh sehingga 14 hari. Begitu juga jika pesakit tidak memiliki apa-apa gejala, anda biasanya tidak memerlukan rawatan. Doktor akan menetapkan ubat antivirus bertujuan untuk:
• Membantu menyembuhkan luka secepat mungkin
• Mengurangkan kekerapan untuk berulang
• Mengurangkan keterukan dan tempoh gejala
• Minimumkan peluang daripada merebak kepada orang lain
Ubat-ubat ini termasuklah acyclovir (Zovirax®), famciclovir (Famvir®), valacyclovir (Valtrex®).
Bagi penghidap HSV-2 yang mengalami ulser pada bahagian genital, mereka akan diberikan ubat antibiotik untuk mengelakkan jangkitan bakteria (secondary bacterial infection).
Mereka juga boleh membuat rawatan di rumah dengan cara semulajadi seperti merendam bahagian yang mengalami ruam dan ulser di dalam besen yang berisi air garam selama 10 minit untuk mengeringkan penyakit tersebut dengan lebih cepat.
Pesakit HSV-2 yang mengalami jangkitan bakteria perlu mendapatkan rawatan di hospital. Ini adalah kerana apabila berlaku jangkitan kuman bakteria, luka akan lambat sembuh, bengkak serta penghidap mungkin memerlukan ‘dressing’ pada alat sulit.
Antara rawatan remedi lain yang boleh dilakukan di rumah adalah seperti berikut:
- Letakkan madu di kawasan luka. Kajian yang dijalankan pada tahun 2019 menunjukkan, penggunaan madu kanuka berkesan untuk merawat herpes oral seperti antivirus.
- Tuam di kawasan luka. Menuam haba ke kawasan di sekitar bibir juga dapat menghentikan pembentukan lepuh semasa jangkitan herpes oral. Di samping itu, anda juga boleh menggunakan elemen sejuk seperti ais batu juga untuk tuam di kawasan tersebut.
- Bawang putih. Kajian yang lebih lama pula menunjukkan bawang putih mempunyai sifat yang dapat menurunkan aktiviti beberapa virus, termasuklah kedua-dua jenis HSV. Tumbuk bawang putih sehingga hancur dan lumurkan pada kawasan luka. Mungkin pada awalnya akan rasa pedih sedikit, namun nanti akan terbiasa.
Pencegahan
Penyakit herpes boleh berjangkit melalui sentuhan. Pastikan jangan berkongsi makanan, bekas makanan atau apa sahaja yang melibatkan sentuhan dengan mereka yang mempunyai penyakit ini. Selain itu juga, bagi yang mempunyai pasangan, elakkan bercumbu-cumbuan ketika gejala herpes masih ada.
Begitu juga jika melakukan hubungan intim, pastikan melakukan pencegahan seperti penggunaan kondom kerana dikhuatiri ianya akan berjangkit dengan pasangan nanti.
Amalkan juga gaya hidup sihat seperti meningkatkan sistem imun badan dengan amalkan pemakanan yang berkhasiat serta jagalah kebersihan diri selalu.
Penutup
Bagi sesiapa sahaja yang merasakan ada gejala seperti lepuhan di bibir seperti ulser, atau gatal gelembung air samada di bibir atau di kawasan sulit, cepatlah pergi berjumpa doktor jika tidak ingin ia menjadi lebih teruk. Pastikan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat itu bukan kerana takut dijangkiti penyakit berbahaya, tapi ianya mampu beri kesihatan yang lebih baik buat kita semua.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.