Kumpulan Dadali teruja untuk mengadakan persembahan berskala besar untuk peminat mereka di Malaysia.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SUDAHKAH anda bersedia untuk menonton persembahan kumpulan Dadali menerusi ‘Konsert Sebuah Kisah Volume 1’ di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu ini (5 Julai), bermula 9 malam hingga 11 malam.

Kumpulan yang dikenali sebagai King Of Sad Song itu bakal membawakan rangkaian lagu-lagu hit yang sinonim dengan kisah patah hati dan harapan cinta, antaranya “Disaat Aku Mencintaimu”, “Disaat Aku Tersakiti”, “Disaat Sendiri” dan “Sebuah Kisah” untuk konsert sulung mereka di Malaysia.

Dadali yang dianggotai oleh Dyrga (vokalis), Rickarjd (gitar utama), Bolm (gitar ritme), Hendy (bass), Vijay (keyboard) dan Obot Zivilia (dram) berkata sudah lama mereka berhajat untuk mengadakan persembahan di Malaysia.

Penganjur berminat untuk mengadakan konsert Dadali selepas melihat aksi Dyrga di program Gegar Vaganza.

Menurut Dyrga yang menduduki tempat keempat Gegar Vaganza musim ke-11, ini adalah doa yang termakbul juga secara peribadi untuk Dadali mendapat peluang sebegini.

“Kesempatan ini akan menjadi sebuah peluang yang tidak akan disia-siakan, Dadali akan berikan satu persembahan yang maksimum. Sebelum GV, saya berada di Mekah menunaikan umrah dan sempat berdoa dan bercurhat (curahan hati) dan diberi kesempatan tersebut di depan mata saya.

“Apabila ditawar menyertai GV pun satu kejutan dan saya mendapatkan kembali ghairahnya untuk terus berkarya. Saya bilang terima kasih kepada Allah dan tidak akan meminta apapun, hanya untuk menghibur penonton saja.

“Akhirnya selepas GV saya berkenalan dengan Ultimate Teamworks Malaysia yang terus meminta saya menjayakan konsert. Ternyata, doa saya tidak disiakan dan paling mengejutkan sedang di GV tu ramai artis tapi penganjur memilih Dadali. Itu tandanya Allah mengabulkan doa saya,” kongsi Dyrga tentang kegembiraannya itu.

Kumpulan Dadali juga dikenali sebagai King Of Sad Song kerana lagu mereka banyak yang galau.

Memandangkan ini adalah konsert pertama Dadali secara solo, jadi bagi memeriahkan lagi, persembahan pada malam itu Dadali mengundang Ronnie Hussein.

“Saya ajak Ronnie Hussein sebab sepanjang GV, saya selesa berkawan dengan dia dan pada saya, dia ada aura yang tersendiri tentang muzik. Saya dapat lihat itu kerana saya sudah terbiasa menjadi juri muzik di Indonesia.

“Apabila Tok Ram tanya, siapa suaranya yang masih aman, saya bilang Ronnie. Memandangkan Dadali bakal mengadakan konsert di negara luar, kami harus tahu diri. Justeru itu, sudah pasti saya akan membawakan lagu-lagu kesukaan peminat tempatan. Antara 17 lagu yang bakal didendangkan itu akan ada medley.

“Awalnya untuk konsert ini mahu pakai orkestra tapi tak sempat menjadi kerana pentasnya kecil. Mungkin untuk volume 2 kita akan ada orkestra sebab aku sudah minta pandangan Tok Ram. Ini adalah projek besar dan akan berlangsung pada tahun ini juga di Singapura. Kerabat dari Brunei pun ada yang meminta,” katanya yang sudah 25 tahun terlibat dalam bidang muzik.

Walaupun berpengalaman dalam bidang muzik, namun Dyrga akui perjalanan kerjaya mereka sedikit tersekat kerana di Indonesia banyak persaingan.

“Di Indonesia kami banyak ditahan sebab persaingan terlalu banyak. Perbezaan pendengar muzik di Malaysia dan Indoensia berbeza. Di Indonesia, jika saya menyanyikan lagu orang lain dengan lebih baik maka saya yang akan meletup. Tapi kalau di Malaysia, apabila saya nyanyi lagu Ezad Exists, “Alasanmu”, Ezad yang akan naik.

Keserasian Dyrga bersama Ronnie Hussein sepanjang menyertai Gegar Vaganza membuatkan dia mengundang penyanyi itu untuk turut serta di konsert Dadali.

“Waktu Ezad berjumpa saya di Kelantan, dia ucap terima kasih. Saya tanya kenapa? Dia kata bila saya nyanyi lagu Exists, orang akan kembali mencari penyanyi asal. Maksudnya di Malaysia lebih menjaga originality.

“Senario itu berbeza sama sekali kalau di Indonesia. Kalau ada penyanyi baharu menyanyi dan nyanyiannya itu memikat hati pendengar, dia lebih dihargai daripada penyanyi asal,” ceritanya yang mendapat sokongan ramai tatkala menyanyikan lagu “Dikir Rambong” sewaktu dalam GV.

Bagi yang menyokong Dyrga sewaktu dia menyertai program GV, jangan lepaskan peluang untuk menonton persembahannya secara langsung lagi. Kali ini lagu-lagu yang bakal disampaikan pasti yang pernah dekat di hati anda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here