Oleh: Khadijah Ibrahim
SEAWAL jam 3.30 petang di luar Stadium Hoki Bukit Jalil sudah dipenuhi orang ramai. Malah di kawasan luar pintu masuk utama ke stadium juga ada banyak kiosk yang menjual makanan dan minuman.
Pada 28 Jun baru-baru ini, lokasi tersebut menjadi tumpuan ramai kerana kira-kira jam 8.15 malam bermulalah Konsert Jiwa Kacau 2025 yang menampilkan kumpulan The Lantis dari Indonesia sebagai pembuka tirai.

Kemunculan The Lantis sekadar ‘memanaskan’ suasana kerana mungkin di kalangan peminat muzik tempatan, nama tersebut belum familiar kerana kumpulan yang dianggotai oleh Giri, Ravi dan Ojan itu ditubuhkan pada 2020.
The Lantis menghiburkan penonton dengan lagu popular mereka “Lampu Merah”, “Ambang Rindu”, “Santai” dan “Bunga Maaf”.

Namun suasana bertukar menjadi enegetik apabila hos pada malam itu, Radin Era mengumumkan penampilan kumpulan Hujan yang mendendangkan lima buah lagu.
Boleh dikatakan setiap lagu yang didendangkan oleh Noh iaitu “Di Kala Bulan Bermain Biola”, “Rahsia Tuhan”, “Kotak Hati”, “Bila Aku Sudah Tiada” dan “Aku Skandal”, kira-kira 13,000 penonton yang hadir turut menyanyi bersama.

“Terima kasih kepada penganjur kerana tidak pernah lupa mengundang Hujan untuk menjayakan Konsert Jiwa Kacau sejak 2023 hingga sekarang.
“Malam ini sangat istimewa kerana saya mengadakan persembahan di pentas yang sama dengan The Lantis dan beberapa kumpulan ternama lain. Semoga anda semua terhibur,” kata Noh.
Jika Hujan hanya mendendangkan lima buah lagu, kumpulan Spider pula menyanyikan tujuh buah lagu. Penampilan Spider pada malam itu seolah-olah untuk ‘memanaskan’ badan kepada peminat-peminat mereka.

Ini kerana pada 25 Oktober nanti, Spider yang mendendangkan lagu “Ngam Ho”, “Cinta Dewa Dewi”, “Bila Nak Saksi”, “Telinga Ke Tulang”, “Buat Sang Puteri”, “Aladin” dan “Nazraku” bakal mengadakan konsert solo mereka, ‘Spider Unplugged di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Sebelum kumpulan Kerispatih muncul mengadakan persembahan, penonton dikejutkan dengan penampilan ‘Kerisfattah’ terlebih dahulu yang turut mendendangkan serangkap lagu “Tapi Bukan Aku”.

Kemunculan Fattah Amin di pentas membuatkan dia menjadi ‘bahan’ usikan Radin. Malah penyampai radio ERA itu secara sengaja memberitahu penonton bahawa rakan sekerja Fattah iaitu Amira Othman pun ada menonton Konsert Jiwa Kacau pada malam tersebut.
Jelas pelakon filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ itu, Amira hadir kerana sebagai rakan sekerja, mereka perlu menyokong antara satu sama lain. Lagipun kehadirannya di pentas pada malam itu adalah untuk memperkenalkan video rasmi NE.X, jenama air mineral generasi baharu Malaysia kerana Fattah adalah duta jenama tersebut.
Sempena pelancaran air mineral NE.X pada malam itu, 30 peminat bertuah bakal memenangi sesi istimewa ‘Day Out bersama Fattah Amin’ jika membeli minimum RM10 produk NE.X secara dalam talian dan meninggalan ulasan di Shopee atau TikTok. Kempen peraduan ‘Hydrate & Win’ itu berlangsung sehingga 22 Ogos ini.

Kemeriahan diteruskan dengan persembahan Kerispatih, Bunkface dan diakhiri dengan kemunculan kumpulan Wali Band dari Indonesia yang dinanti kehadiran mereka menerusi lagu “Yank”, “Tobat Maksiat”, “Aku Bukan Bang Toyib” dan “Cari Jodoh”.
Walaupun konsert atas nama ‘Jiwa Kacau’ ini sudah berlangsung selama tiga tahun berturut-turut, sokongan yang diberikan oleh peminat tidak pernah pudar.
Ternyata penganjur sentiasa mengenali pasti ‘selera’ penonton sebelum membariskan nama artis yang bakal menghibur mereka yang datang untuk menonton persembahan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.