Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Seperti kita tahu bila sudah memberi, tidak elok meminta kembali hingga dikatakan buruk siku bila berperangai sebegitu. Namun hukum ini tidak terpakai keatas seorang bapa kerana ia berhak menuntut kembali hibah pemberiannya berdasarkan hadis yang dinyatakan Rasulullah SAW.

Dalam hadis berikut pula dinyatakan bahawa hanya bapa sahaja yang boleh menuntut pemberiannya terhadap anak. Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا إِلَّا الوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ، وَمَثَلُ الَّذِي يُعْطِي العَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا كَمَثَلِ الكَلْبِ أَكَلَ حَتَّى إِذَا شَبِعَ قَاءَ ثُمَّ عَادَ فِي قَيْئِهِ
Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi)

Dr.Muhammad al-Zuhaili menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan pengharaman meminta semula pemberian sepertimana haram menelan semula, minta dan ia merupakan sifat buruk yang bertentangan dengan akhlak seorang Muslim.

Di samping itu, kata-kata tersebut juga termasuk dalam perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan penerimanya. Perbuatan ini haram dan boleh meluputkan segala pahala sedekah.

Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu merosakkan (pahala amalan) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan penerimanya) seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riyak kepada manusia sedangkan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat. Maka orang itu diumpamakan seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian apabilah hujan lebat menimpa batu itu, lalu bersih dan licinlah kembali (tiada lagi tanah di atasnya). Mereka tidak memperoleh sesuatu atas apa-apa yang diusahakan oleh mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (al-Baqarah:264)

Pun begitu, hanya bapa sahaja yang boleh menuntut semula pemberian atau hadiah yang diberikan kepada anaknya dan tidak haram hukumnya. Namun ia masih tertakluk dalam syarat yang digariskan oleh ulama.

Pada dasarnya, perbuatan meminta semula pemberian atau hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram hukumnya. Namun, terdapat pengecualian melalui sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA:
لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه، ومثَلُ الذي يُعطي العَطِيَّةَ، فيرجِعُ فيها، كمثَلِ الكلبِ أكَلَ حتى إذا شبِعَ قاء، ثم رجَع في قَيْئِه.
Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang lelaki memberikan sesuatu pemberian, atau menganugerahkan sesuatu anugerah kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya dan misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan sehingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.” (HR Abu Daud, Tirmizi)

Hadis itu, dengan jelas menyatakan bahawa hukum meminta semula hadiah adalah diharamkan kecuali tuntutan semula oleh seorang bapa terhadap anaknya. Justeru itu, seorang bapa berhak untuk menuntut semula pemberiannya kepada anaknya begitu juga dalam hal hadiah, sedekah atau sebahagian daripadanya, walaupun tanpa keputusan mahkamah, sama ada sebelum aqad atau selepasnya. Juga sama ada barangan pemberian itu telah diterima oleh anaknya atau tidak, sama ada kaya atau miskin, muda atau dewasa, berdasarkan hadis di atas.

Perkataan ayah di sini juga diqiaskan kepada (أصول) yang lain seperti ibu, datuk dan nenek, dari sebelah bapa mahupun ibu, walaupun dia juga berlainan agama, kerana hubungan setiap daripada mereka itu berdasarkan kelahiran.

Image by Freepik

Namun begitu, perbuatan menuntut semula pemberian seorang ayah terhadap anaknya bukanlah mutlaq (umum) kepada semua jenis dan juga waktu. Meskipun seorang ayah boleh menuntut semula pemberian kepada anak namun masih tertakluk kepada beberapa syarat (dawabith).

Pertama: Mestilah barangan atau pemberian yang ingin dituntut semula itu masih dalam pemilikan penerima (anak).

Maka, jika pemberian tersebut telah keluar dari pemilikannya dengan cara jual beli, atau wakaf dan sebagainya maka dilarang untuk menuntut semula pemberian tersebut.
Jika penerima telah menjual sebahagian atau mewakafkan sebahagian atau disekat sebahagian dari barangan pemberian tersebut, maka dibolehkan bagi si-bapa untuk menuntut sebahagian yang berbaki.

Seterusnya, jika anak itu hanya menyewakan atau menggadaikan atau menghadiahkan kepada seseorang tetapi masih belum diterima oleh orang tersebut, pada ketika tuntutan dibuat maka ia dibenarkan. Ini kerana barangan tersebut masih dalam kuasa dan hak milik anak, dan belum terlucut.

Akan tetapi, jika barangan tersebut telah diterima oleh orang lain, maka telah gugur pemilikan anak tersebut. Si-bapa tidak boleh menuntut semula pemberian kepada anak.

Seandainya, barang tersebut sudah tidak berada di tangan anak tetapi kemudiannya barangan itu berjaya dimiliki semula dengan cara yang lain, contohnya melalui pembelian atau hadiah atau pusaka, anak ini tidak perlu memulangkannya semula kepada bapanya. Ini kerana berlaku perubahan pada punca pemilikan dan membawa perubahan kepada hukum barangan tersebut. Seolah-olah barangan yang diperolehi semula itu bukan barangan yang asal dan dengan itu bapanya tidak berhak meminta semula.

Demikian juga, jika berlaku pertambahan sama ada secara bercantum atau berasingan, pertambahan ini tidak menghalang untuk bapa meminta semula anugerahnya. Malah pemberi boleh meminta semula hadiah tersebut termasuk pertambahan yang bercantum dengannya seperti lemak haiwan atau ladang yang berbajak.

Bagi pertambahan berasingan, jika pertambahan ini wujud ketika pemberian, ia boleh diminta semula. Jika pertambahan ini berlaku selepas pemberian, ia tidak perlu diserahkan kepada pemberi, sebaliknya kekal sebagai hak penerima kerana ia berlaku ketika dalam pemilikannya.

Misalnya, pemberi menghadiahkan seekor haiwan yang tidak bunting atau pokok yang tidak berbuah. Kemudian haiwan ini bunting atau pokok tadi berbuah sebelum dituntut semula, maka pada ketika itu anak dalam kandungan atau buah ini tidak perlu diserahkan kepada pemberi. Walaupun ia masih belum berpisah ketika tuntutan semula dibuat, penerima hanya perlu memulangkan hadiah asalnya sahaja. Manakala anak dan buah tadi menjadi milik penerima kerana ia boleh diasingkan dan berlaku ketika dalam pemilikan penerima.

Kedua: Mestilah pemberian tersebut masih dalam penguasaan penerima. Jika penerima diisytihar muflis atau sekatan ke atasnya, maka pemberi dilarang untuk menuntut semula.

Ketiga: Mestilah tiada penghalang yang menghalang daripada tuntutan semula pemberian tersebut. Halangan-halangan ini adalah seperti bapa menjadi gila, atau telah murtad, atau ketika dalam ihram jika hadiah tersebut adalah hasil tangkapan, atau tuntutan yang terikat dengan syarat atau suruhan di masa hadapan. Ini kerana tuntutan semula tidak boleh diikat dengan syarat.

Kesimpulannya, hukum seorang bapa meminta semula hadiah pemberian dari anaknya adalah dibolehkan, namun disertai dengan beberapa syarat yang dinyatakan seperti di atas. Maka, jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, maka hukumnya adalah berbalik kepada asal iaitu haram.

Sabda Nabi SAW:
ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ…. قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الْمُسْبِلُ، وَالْمَنَّانُ، وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ.
Maksudnya: “Tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat, Allah tidak akan melihat mereka serta tidak juga mensucikan (dosa-dosa) mereka, dan mereka akan mendapat seksa yang pedih… Abu Dzar berkata: Mereka pasti kecewa dan rugi! Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda: Al-Musbil (orang yang melabuhkan pakaian dengan riak), Al-Mannan (orang yang suka mengungkit pemberiannya), dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah bohong.” (HR Muslim)

Mari kita berdoa semoga Allah sentiasa pelihara daripada segala keburukan dan mendapat pengakhiran yang baik. Hari ini suka dan sayang, mungkin esok bertukar benci dan menyampah. Allah Maha membolak-balikkan hati kita. Ia jelas disebut dalam hadis daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah SAW selalu mengucapkan Ya muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala dinik (Wahai Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku (Anas) pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau tentang kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.” (HR Ahmad)

Dan, ini pula doa yang terdapat dalam hadis daripada Busr bin Arthoh berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.” (HR Ibn Hibban).

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here