Oleh: Khadijah Ibrahim
TATKALA hati sedang berduka, solusi terbaik adalah dengan meluahkan segala yang terpahat di minda dalam bentuk catatan selain daripada berkongsi dengan orang terdekat.
Bagi Aisha Retno atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, dia mengambil pendekatan tersebut ketika hatinya sedang berduka dan untungnya sebagai penyanyi dan komposer, dia berjaya menggarap rasa dukanya menjadi sebuah karya.
Menurut Aisha, single baharunya, “Tak Adil” ditulis ketika hatinya sedang lara dan apa yang tersirat dalam bait lagu bergenre pop rock itu adalah isi hatinya.

“Suatu hari ketika berada di rumah, saya rasa sangat sedih dan marah. Kemudian, ketika masih sedang berduka, adik saya Radi panggil saya ajak masuk studio di rumah kami.
“Radi terus menyuruh saya untuk tulis lagu bergenre pop rock sebab saya rasa, dia nampak ekspresi saya yang tengah sedih dan marah ketika itu. Kemudian dalam masa kurang tiga jam, semuanya terluah dalam lagu ini.
“Syukur alhamdulillah, penulisan lagu memang sekejap saja mungkin sebab sedang merasakan emosi dan mendalami liriknya. Kemudian untuk proses produksi, barulah ia mengambil masa beberapa minggu,” katanya berkongsi cerita.
Lagu “Tak Adil” yang ditulis oleh Aisha dan digubah bersama adiknya, Radi itu adalah hasil kerjasama Aisha Retno Entertainment dan Faithful Music yang dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 27 Julai 2025.
Menurut Aisha, dia kini sedang bersemangat untuk bereksperimen dengan pelbagai jenis lagu. Meskipun agak mencabar, ia dapat memberikan kepuasan kepadanya.

“Ini adalah era untuk saya bereksperimen dengan genre lagu yang berbeza. Pada masa sama, saya sudah lama mengidamkan untuk tampil dengan lagu pop rock. Lebih menambah keterujaan saya, ini merupakan lagu pertama dalam album yang bakal saya lancarkan tidak lama lagi.
“Saya mahu memperlihatkan kebolehan saya membawa genre sebegini, lagipun ramai rakyat Malaysia menyukai lagu-lagu pop rock. Syukur, saya sangat gembira dengan sambutan awal yang diterima daripada peminat setakat ini,” kata Aisha.
Mengulas lanjut, penyanyi berdarah kacukan Malaysia-Indonesia ini menambah, dia ingin menambah kepelbagaian dalam karya lagunya selain sedia meminati muzik pop rock yang dihasilkan oleh penyanyi tempatan dan antarabangsa.
“Saya ingin mengembangkan repertoire kerana itulah yang perlu saya lakukan sebagai penyanyi. Selain itu, saya sangat suka dengan beberapa penyanyi pop rock seperti Olivia Rodrigo (Hollywood) dan jika di Nusantara saya meminati Geisha dan Neeta Manis.
“Bagi saya, kita dapat mengekspresikan kesedihan dan kemarahan yang boleh disatukan dalam sesebuah lagu,” jelasnya.

Menyentuh tentang penceritaan yang cuba disampaikan dalam karya terbaharunya itu, Aisha akui ia dihasilkan berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri.
“Sebenarnya ketidak adilan memang banyak berlaku dalam kehidupan seperti dalam pekerjaan, percintaan dan macam-macam lagi. Untuk lagu ini, saya sampaikan kisah cinta dan ketidak adilan yang saya sendiri pernah lalui.
“Sepanjang lima tahun ini, saya tempuh macam-macam dalam industri hiburan. Saya luahkan dengan jujur, ada kejadian yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini, ianya memang tak adil.
“Selain itu, saya juga baru melalui fasa patah hati yang agak teruk, jadi saya satukan semua rasa amarah dan kesedihan dalam lagu ini. Memang tak adil jika satu pihak saja yang rasa sakit sedangkan pihak lagi satu tak rasa apa-apa,” katanya.
Ditanya sama ada dia berharap lagu “Tak Adil” dapat memenangi pertandingan atau anugerah besar, Aisha menjawab dengan rasa rendah diri.
“Sejujurnya, saya tak pernah meletakkan harapan besar terhadap sesebuah lagu yang saya lancarkan baik soal pertandingan atau anuguerah-anugerah besar. Apa yang saya harapkan adalah lagu ini dapat diterima ramai dahulu.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki dan jika tiada halangan, barulah boleh difikirkan langkah seterusnya. Impian itu semestinya ada, tetapi saya serahkan saja kepada Tuhan,” ujarnya.

Sebelum dilancarkan secara rasmi, lagu “Tak Adil” sudah mula mendapat sambutan daripada peminat setia Aisha di media sosial.
“Mungkin sebab saya agak lama tidak muncul dengan produk baharu, kali terakhir pun “Ketipak Ketipung” versi baharu pada Aidilfitri lalu. Jadi lagu kali ini juga berperanan seperti come back saya untuk peminat.
“Saya sangat teruja untuk berkongsi lebih lagi lagu selepas ini, cuma buat masa sekarang, saya mahu semua terima lagu “Tak Adi”l ini dahulu.
“Saya gembira melihat peminat memberi sokongan dengan menggunakan potongan audio lagu “Tak Adil” di media sosial sejak sebelum tarikh pelancaran lagi. Mungkin kerana bait liriknya boleh dikaitkan dengan kehidupan ramai orang,” jelas Aisha.
Tambahnya, dia juga ingin mendedikasikan penghargaan buat semua peminat yang menyokongnya selama ini.
“Ribuan terima kasih buat kalian semua kerana tetap menjadi pembakar semangat saya untuk terus berkarya meskipun saya sudah melalui pelbagai dugaan sebelum ini.
“Anda semua selalu buat saya rasa bermotivasi untuk terus menulis, menggubah dan menyanyikan lagu-lagu baharu. Insya-Allah, ada lebih lagi hadiah istimewa untuk anda tidak lama lagi. Jangan lupa strim di platform digital serta menonton video muziknya di YouTube,” katanya yang boleh diikuti di Instagram: @aisharetno02 dan TikTok: @aisharett

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.