Oleh : Asmat Fikri
Pernah tak apabila anda makan, rasa pedih dekat kawasan ulu hati? Rasa pedih itu membuatkan kita rasa tidak selesa. Ibarat macam ada sesuatu benda yang tak lepas? Pernahkan? Kalau pernah mungkin anda berisiko ada penyakit GERD. Mari kita kupas lebih lanjut berkenaan GERD yang bahaya jika tidak diendahkan kerana boleh menyebabkan kanser esofagus..!
Penyakit GERD (Gastroesophageal Reflux Disease) disebabkan oleh otot yang memisahkan esofagus dan perut menjadi lemah. Keadaan ini membenarkan kandungan makanan beserta asid mengalir kembali (refluks) ke organ esofagus dan menyebabkan radang. Jika hal ini berterusan, sel di permukaan esofagus akan mengalami perubahan untuk beradaptasi kepada radang tersebut.
Perubahan ini dikenali sebagai esofagus barret dan merupakan risiko kepada kanser esofagus. Oleh kerana hal ini boleh membawa kepada masalah yang lebih serius. Anda perlulah berjumpa pakar untuk medapatkan rawatan yang sepatutnya.
Simptom GERD
Terdapat banyak simptom yang mungkin mengatakan anda menghidap penyakit GERD. Berikut disenaraikan beberapa simptom yang memungkinkan penyakit GERD:
1) Pedih ulu hati. Ini adalah simptom yang paling popular dan kerap dialami oleh pesakit GERD. Pesakit akan rasa pedih dan sakit yang menusuk pada bahagian tengah dada. Jika pesakit alami pedih ulu hati kurang dari 2 kali seminggu, ini dikategorikan sebagai GERD sederhana.
2) Sakit dada. Rasa seperti dada dihempap dan tajam serta ketat selepas makan, ia mungkin terasa seperti serangan jantung. Walaupun sakit dada boleh mempunyai banyak punca, GERD adalah salah satunya. Adalah penting untuk membezakan antara sakit dada yang berkaitan dengan GERD dan masalah jantung yang lebih serius. Untuk itu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan.
3) Rasa masam dan pahit dalam mulut.
4) Muntah. Muntah berlaku apabila asid perut atau makanan naik kembali ke dalam mulut atau tekak. Ini boleh menyebabkan rasa masam, dan dalam beberapa kes, ia mungkin menyebabkan tercekik. Ia bukan sahaja tidak selesa, malah ia juga boleh merosakkan esofagus dari masa ke masa jika tidak dirawat.
5) Susah nak telan. Gejala biasa GERD yang lain adalah perasaan bahawa makanan tersekat di tekak. Kesukaran menelan, juga dikenali sebagai disfagia, disebabkan oleh kerengsaan esofagus akibat asid perut.
6) Kembung dan loya. Perasaan kembung atau mengalami loya selepas makan juga adalah gejala biasa GERD. Ini boleh berlaku kerana asid perut mengganggu proses pencernaan dan boleh menjadi lebih teruk selepas makan makanan yang berat atau berlemak.
Punca GERD
Mungkin selama ini ramai beranggapan masalah GERD berpunca dari pemakanan. Namun, sebenarnya bukan pemakanan sahaja ya, di bawah ini kami senaraikan punca sebenar yang memungkinkan seseorang itu mengalami GERD.
Faktor tertentu boleh meningkatkan risiko individu mengalami refluks asid atau GERD adalah seperti berikut:
• Obesiti
• Kehamilan
• Faktor gaya hidup (alkohol, merokok, kafein)
• Hernia hiatal (keadaan apabila bahagian perut anda menolak sehingga ke dada anda)
• Ubat tertentu
Berbaring serta-merta atau terlalu cepat selepas makan boleh menyebabkan asid mengalir kembali ke esofagus, menyebabkan pedih ulu hati dan ketidakselesaan.
Komplikasi
Berdasarkan perkongsian dari Hospital Pantai, ada beberapa komplikasi yang mungkin akan berlaku disebabkan GERD. Antaranya adalah:
• Masalah paru-paru dan tekak: Keradangan pita suara, tekak yang menyakitkan atau suara serak boleh berpunca daripada asid perut naik ke dalam kerongkong. Asid juga boleh disedut ke dalam paru-paru, menyebabkan simptom radang paru-paru atau asma. Lama-kelamaan, asid dalam paru-paru boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang tidak dapat dipulihkan.
• Masalah gigi: Enamel gigi boleh terhakis secara beransur-ansur oleh episod refluks asid yang berulang.
• Esofagitis penghakis: Keadaan ini berlaku apabila lapisan esofagus terhakis oleh asid perut. Keadaan ini boleh menyebabkan hakisan atau luka yang mungkin berdarah. Ujian najis boleh digunakan untuk mengesan pendarahan daripada ulser yang tidak selalu nyata.
• Penyempitan esofagus: Kerosakan yang disebabkan oleh asid boleh menyebabkan esofagus berparut dan menyempit, mengakibatkan sekatan separa (striktur) yang boleh menyebabkan makanan atau pil tersangkut di esofagus. Tisu parut terbentuk akibat ulser esofagus dan penyembuhan berulang.
• Esofagus Barrett: Berlaku apabila sel skuamosa yang biasanya melapisi esofagus bawah digantikan dengan jenis sel baru (dipanggil sel usus). Keadaan ini biasanya disebabkan oleh kecederaan berulang pada lapisan esofagus; refluks asid kronik adalah punca yang paling biasa. Lama-kelamaan, terdapat kemungkinan untuk sel usus bertukar menjadi sel kanser. Akibatnya, individu dengan esofagus Barrett digalakkan menjalani endoskopi atas berkala untuk menyaring tanda-tanda awal kanser.
#Ikuti sambungan bahagian kedua mengenai penyakit GERD ini dengan lebih lanjut lagi#

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.