Video muzik "Tenggelam" disampaikan menerusi visual dan ekspresi.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, kembali menghiasi persada muzik tanah air dengan single terbaharunya berjudul “Tenggelam”. Dia bertanggungjawab menulis lirik lagu tersebut bersama Brendan Lim Seng Meng.

Manakala komposisi pula oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan, serta disusun dan diterbitkan oleh pasukan produksi ternama MFMF.

Ismail Izzani tampil dengan single “Tenggelam” dalam genre pop moden.

“Tenggelam” merupakan sebuah karya yang menzahirkan perasaan cinta yang mendalam dan jujur, disampaikan melalui gubahan melodi yang menyentuh jiwa serta lirik yang dekat dengan hati.

Lagu ini menampilkan sisi kematangan Ismail dalam menyampaikan kisah cinta secara metafora tanpa kehilangan jiwa pop moden yang menjadi kekuatan utama dalam karya-karyanya sebelum ini.

“Lagu ini bukan tentang kejatuhan atau kesedihan. “Tenggelam” adalah metafora kepada rasa cinta yang sangat mendalam, tentang bagaimana perasaan itu membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita,” katanya.

Lagu “Tenggelam” berkisar tentang metafora kepada rasa cinta yang mendalam apabila bertemu dengan seseorang yang memahami jiwa kita.

Menurut Ismail, penciptaan lagu ini berlaku secara semula jadi dalam sesi pertamanya di studio MFMF.

“Sebaik sahaja saya dengar beat itu, ‘hook’ terus datang. Prosesnya sangat organik dan saya bersyukur kerana banyak bahagian lirik datang daripada saya sendiri,” katanya.

Bagi Ismail, pengalaman bekerjasama dengan MFMF. bukan sahaja memperkayakan kreativitinya, malah memberikan ruang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Ismail mengakui persekitaran studio yang selesa amat penting dalam membolehkan seorang artis menzahirkan ekspresi kreatif secara jujur.

Ismail Izzani senag bekerjasama dengan MFMF kerana dapat menimba ilmu daripada mereka.

Muzik video rasmi “Tenggelam” menampilkan pendekatan berbeza, tanpa jalan cerita yang konvensional, sebaliknya memberi fokus kepada mood dan emosi. Video muzik “Tenggelam” juga mempunyai getaran yang sangat Y2K.

“Kami memulakan penggambaran seawal 4 pagi. Tapi saya suka sebab bila mula awal, ada ruang untuk improvise. Banyak ilham spontan muncul ketika berada di set. Video muzik ini bukan tentang naratif, tetapi tentang vibe, perasaan yang ingin disampaikan menerusi visual dan ekspresi,” katanya.

Antara detik yang paling bermakna bagi Ismail dalam penghasilan lagu ini adalah peluang untuk kembali bekerjasama dengan individu yang pernah bersamanya sejak hari pertama, Ghazi Maslan dan Lily.

Ismail Izzani harap lagunya dapat memberi kesan kepada pendengar.

Mengenai harapan terhadap lagu ini, Ismail kekal bersederhana namun tulus dalam impiannya.

“Saya harap orang boleh rasa vibe yang saya cuba sampaikan. Saya mahu orang terima saya bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pemuzik dan penghibur yang boleh memberi kesan kepada mereka.

“Moga “Tenggelam” jadi permulaan kepada lebih banyak karya yang saya ingin hasilkan selepas ini,” katanya.

“Tenggelam” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music, manakala muzik video rasmi pula di saluran YouTube Ismail Izzani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here