Oleh : Nafsiah Jani
Seperti penjagaan wajah, bibir juga perlu dijaga kerana ia merupakan antara bahagian tubuh yang sangat sensitif, penting dan memerlukan penjagaan rapi. Namun ramai yang mengambil mudah cara menjaga bibir menyebabkan ia mudah kering.
JIka bibir anda mengelupas, elakkan daripada mengopek kulit bibir bagi mengelakkan daripada luka dan terkoyak. Perubahan cuaca juga membuatkan kulit kering terutamanya di bahagian bibir.
Kulit bibir juga sama seperti kulit pada wajah yang perlukan pengelupasan sekali seminggu bagi membantu menyingkirkan sel kulit yang mati serta menjadikan ia lembut, licin, sihat dan cantik. Proses pengelupasan ini boleh dilakukan dengan membeli produk penglupasan yang dijual di kedai ataupun produk buatan sendiri.
Untuk mendapatkan bibir merah, segar dan cantik secara semula jadi, anda tidak memerlukan modal yang tinggi. Selain petua moden, anda juga boleh mengamalkan beberapa petua tradisional mengunakan barangan yang terdapat di dapur anda.
Cuba amalkan beberapa petua seperti dibawah ini untuk mendapatkan bibir yang cantik dan sihat serta kekal menawan:-

- Ambil satu sudu makan air perahan lemon dan madu. Campurkan kedua-dua bahan tersebut dan ratakan di keseluruhan bibir. Lemon bertindak untuk mencerahkan pigmen bibir dan madu pula memberikan nutrisi kepada bibir serta melembapkannya.
- Air yang kurang di dalam badan juga boleh menyebabkan bibir gelap dan merekah. Untuk mengelakkan bibir gelap dan merekah, minum air lapan gelas sehari.
- Buat skrub bibir menggunakan minyak zaitun. Campurkan minyak zaitun dengan sedikit gula. Kemudian sapu pada keseluruhan bibir dan tunggu beberapa minit. Selepas itu, urut keliling bibir secara perlahan dengan cara arah lawan jam dan bilas sehingga bersih.
- Madu juga dapat merawat bibir agar kekal lembap dan sihat. Sapu madu pada bibir dan biarkan antara 15 ke 20 minit untuk madu meresap ke bibir. Selepas itu basuh bibir menggunakan air biasa atau air suam. Ulang rutin ini sebanyak 3 atau 4 kali seminggu. Anda pasti gembira dengan hasilnya.
- Sebelum tidur, sapu mentega pada bibir. Mentega bukan sahaja bertindak untuk memerahkan semula bibir, malah menjadikan bibir lebih lembut dan tidak kering.
- Ubat gigi dan berus gigi boleh juga digunakan sebagai skrub membersihkan bibir. Ketika menggosok gigi, letakkan sedikit ubat gigi di bibir. Biarkan seketika dan gunakan berus gigi tersebut untuk menggosok bibir. Proses ini membantu membuang sel-sel mati dan menggalakkan pembinaan kolagen seterusnya menjadikan bibir lebih merah sentiasa.
- imau nipis juga dapat mengurangkan hitam di bibir kerana ianya kaya dengan Vitamin C. Ambil sedikit air suam dan perahkan air jus limau sebanyak 2-3 sudu kecil. Sapukan pada bibir dan biarkan selama 10 hingga 15 minit. Setelah itu, bilaslah dengan air suam.
- Jangan basah bibir anda dengan air liur anda sendiri kerana tindakan ini sebaliknya membuatkan bibir menjadi lebih kering. Air liur mengandungi asid yang merengsakan.
- Suplemen vitamin E bagus untuk bibir kerana ia merupakan pelembap yang sangat baik. Penggunaannya sangat ideal untuk mengurangkan masalah bibir kering dan merekah.
- Skrub gula adalah cara paling mudah untuk bibir sentiasa lembut dan berwarna merah jambu. Sebelum tidur, skrub dahulu bibir dengan gula. Campurkan 2 sudu gula dan 1 sudu madu dan skrub bibir secara perlahan-lahan. Selepas itu sapukan pelembap bibir kerana ia dapat meningkatkan peredaran darah pada kawasan bibir.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.