"Pernah Punya Aku" merupakan single pertama daripada album baharu Shila yang bakal dikeluarkan pada hujung tahun ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS berehat panjang daripada berkarya, kini penyanyi Shila Amzah tampil dengan single “Pernah Punya Aku” sebuah karya peribadi yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri.

Lagu “Pernah Punya Aku” dicipta sewaktu dia dalam tempoh berpantang (Mei 2024) dan Shila hanya mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan lagu yang penuh emosi serta kejujuran itu.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, sewaktu mencitpa lagu tersebut emosinya sedikit terganggu dan atas saranan suami, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, dia meluahkan segala rasa di dalam karya tersebut.

Shila Amzah tampil dengan single “Pernah Punya Aku” yang dekat dengan kisah peribadinya.

“Ketika itu, emosi saya tidak stabil. Suami saya menyarankan agar saya cuba luahkan apa yang saya rasa melalui lagu dan dari situlah lahirnya “Pernah Punya Aku”. Ia bukan sekadar luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” jelas Shila.

Lagu ini dirakamkan dalam suasana yang sangat positif dan efisien dengan Genervie Kam bertindak selaku penerbit dan penggubah muzik.

Genervie yang juga merupakan pengarah muzik yang disegani di Malaysia memberikan sokongan penuh kepada Shila sepanjang proses rakaman yang hanya mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja untuk disiapkan.

“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Genervie. Beliau memahami saya sebagai seorang artis dan wanita. Proses rakaman sangat lancar dan berkesan,” ujar ibu kepada Seth Uwais dan Rhea Akira itu.

Lagu yang berkisar tentang wanita yang dikhianati turut mendapat ‘restu’ daripada ibunya yang pernah melalui fasa sebegitu.

Menurut Shila, meskipun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan kesedihan dalam sebuah hubungan, dia tetap menyuntik unsur harapan dan kekuatan agar ia mampu menjadi ruang pemulihan buat para pendengar.

“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan ada jalan keluar. Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati tetapi dalam masa yang sama saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian,” tambahnya.

Malah Shila juga memilih untuk memperdengarkan lagu tersebut terlebih dahulu kepada ibunya, Fauziah Sarman kerana maksud yang tersirat di sebalik lagu tersebut adalah mengenai wanita yang dikhianati.

Jiwa terganggu sewaktu dalam tempoh berpantang, Shila luahkan menerusi lagu.

“Lagu ini saya tujukan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu.
“Alhamdulillah, menurutnya, lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang pernah beliau rasa,” katanya.

“Pernah Punya Aku” merupakan single pertama daripada album penuh terbaru Shila yang akan dikeluarkan hujung tahun ini. Ia menjadi satu cara bagi dia untuk melepaskan kisah yang terpendam dan membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu, wanita dan anak seni.

Kredibiliti Shila sebagai seorang komposer terus diiktiraf apabila beliau dipilih menjadi salah seorang komposer sebaris Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok dalam program realiti nyanyian digital terbaharu, ‘Raise The Star Malaysia’ yang kini bersiaran di Astro Ria.

Single “Pernah Punya Aku” terbitan Nova Music boleh mula distrim di semua pelantar penstriman muzik dan muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music di pautan https://youtu.be/AspTIpnf7A0

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here