Bakal menghiburkan peminat pada 19 September ini secara eksklusif di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIDAK perlu lokasi besar yang boleh menampung beribu orang, kalau kehadiran penonton tak setanding dengan kapasiti yang disediakan. Biar kecil, asalkan penonton yang hadir terhibur dengan persembahan yang ditampilkan oleh si penghibur.

Bagi penyanyi Noryn Aziz atau nama penuhnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 49, dia lebih selesa memilih lokasi kecil yang boleh memuatkan 500 penonton untuk menonton persembahannya.

Persembahan ini akan menyerlahkan keseniannya sepanjang beberapa dekad pembabitannya sebagai anak seni. Penyanyi jazz dan R & B Malaysia itu memilih Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi menjayakan persembahan khas berjudul “This Is Noryn Aziz” pada 19 September ini.

Mahu memberikan kenangan indah kepada penonton yang hadir ke persembahan ‘This Is Noryn Aziz’.

Jelas Noryn, dia mahu kemunculannya pada malam itu memberi momen indah kepada yang hadir dan sekali gus akan menjadi antara detik paling indah dalam sejarah perjalanan kerjaya muziknya.

“Ia bukan sekadar konsert tapi adalah sebuah kisah hidup yang dinyanyikan, sebuah perjalanan penuh emosi, budaya dan cinta terhadap muzik, menjanjikan pengalaman yang sangat peribadi dan bertenaga.

“Pada malam itu kelak, saya akan menghimpunkan kekayaan jazz, soul dan R&B, berjiwa Malaysia daripada klasik terkenal hingga gubahan segar keluaran terbaharu daripada saya. Persembahan ini akan menyerlahkan perjalanan kesenian saya sepanjang beberapa dekad ini.

“This Is Noryn Aziz bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah cerminan siapa saya, sebagai seorang penyanyi, wanita, dan anak Malaysia. Konsert ini bagi saya lebih daripada sebuah persembahan kerana ia adalah “kisah perjalanan muzik” saya juga “kisah saya melalui muzik”.

Bakal mendendangkan lagu-lagu jazz, soul dan R&B yang berjiwa Malaysia.

“Jika anda ingin mengetahui kisah saya sebagai seorang penyanyi, wanita, dan anak seni Malaysia, inilah cerminan siapa saya,” jelas Noryn tentang intipati, evolusi dan keanggunan konsert tersebut.

Persembahan Noryn kelak akan dibahagikan kepada dua babak iaitu Babak I merangkumi irama jazz & soul, manakala Babak II pula menampilkan Celebration.

“Untuk babak pertama, saya akan tampilkan karya terbaharu seperti “Kaki Kiriku”, sebuah lagu Parisian-Melayu yang memberikan satu kelainan dan menarik, serta “Syurga Sempurna” dan “Hoore Hoore” yang diadun dalam gaya jazz klasik modern yang menggoda hati.

“Manakala untuk babak kedua, lebih kepada ledakan emosi dan tenaga dan iramanya lebih kepada R&B kontemporari, persembahan penuh jiwa dalam suasana penuh kehangatan dan perayaan.

“Dari nostalgia “Fantasi O Realiti” “Alam Maya” ke produksi berkelas dunia hari ini, saya akan membawa penonton merentasi masa, menyulam muzik yang membentuk jati diri saya dengan pengaruh Ella Fitzgerald, Anita Baker, hingga ke Datuk Sheila Majid, namun kali ini semuanya dihidupkan melalui lensa Malaysia,” kongsinya tentang konsep persembahan yang bakal ditampil nanti.

Noryn bakal menghiburkan penonton menerusi dua babak yang bakal memberi kenangan manis kepada yang hadir.

Tegas Noryn, projek ini lahir daripada keinginannya untuk membawa jazz keluar daripada ruang yang dianggap ‘asing’ atau ‘eksklusif’, dan menjadikannya sesuatu yang hidup, dekat, dan penuh rasa sebagai sebahagian daripada lanskap bunyi Malaysia.

“Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita, dengan bahasa kita, ritma kita, dan jiwa kita. Malaysia mempunyai suara jazz yang sophisticated tapi bersahaja, antarabangsa tapi tetap berakar budaya. Elegan, moden dan tetap Malaysia,” kata Noryn penuh semangat.

Persembahan ini juga merupakan platform istimewa buat Noryn membuka ruang kepada generasi baharu pemuzik tempatan, khususnya pemuzik jazz dan artis wanita agar tidak gentar mengekspresikan diri walau dalam genre yang dianggap “eksklusif”.

Bagi yang ingin menonton persembahan ‘This Is Noryn Aziz’ tiket boleh dibeli di tickethotline.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here