Oleh: Asmat Fikri

Lebih baik mencegah dari mengubati. Selalu dengar ayat begitukan? Macam juga dengan buat ujian pap smear ni, ramai wanita beranggapan tidak penting lakukan ujian pap smear kerana tiada tanda, simptom dan merasakan tiada keperluan langsung. Sedangkan ujian ini penting bagi mengesan kanser pangkal rahim (kanser serviks). Tahukah kita ramai wanita yang berisiko menghidapi kanser serviks ini walaupun tiada sejarah dalam keluarga mereka.

Laporan National Health Morbidity Survey 2020 menyebut kadar peratusan wanita yang menjalani saringan kanser serviks di Malaysia dalam tempoh lima tahun (2014 hingga 2018) masih di bawah 40 peratus (julat 23 hingga 26 peratus) dan hanya 36.6 peratus wanita menjalani saringan pada 2019. Jadi kadar saringan ini masih jauh untuk mencapai saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kadar saringan sebanyak 70 peratus populasi wanita berkelayakan.

Oleh itu usah takut! ujian Pap Smear ini bukan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tapi ia akan dilakukan oleh doktor dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai spekulum. Alat ini membantu untuk membuka ruang faraj supaya sampel boleh diambil pada bahagian pangkal rahim. Anda mungkin akan kurang selesa.

Saringan ini dilakukan profesional kesihatan yang terlatih dengan memasukkan sejenis alat spekulum dalam faraj untuk membuka ruang penglihatan kepada serviks. Seterusnya spatula digunakan untuk mengambil sel di permukaan serviks dan diletakkan atas slaid kaca untuk dihantar ke makmal bagi melakukan ujian selanjutnya.

Alat itu juga yang selalu dipanggil ‘muncung itik’ yang akan dimasukkan ke ruang faraj. Kebanyakan alasan wanita tidak lakukan ujian ini kerana risau rasa sakit. Tapi hakikatnya ujian yang tidak sampai 5 minit ini tidaklah sesakit mana. Cuma hanya ada rasa ngilu sedikit.

Jadi, di sini kami senaraikan 3 sebab penting kenapa setiap wanita yang telah berkahwin atau telah melakukan hubungan seksual wajib melakukan ujian Pap Smear ini demi kepentingan kesihatan.

Mengesan Kehadiran HPV

Sebab paling utama dan kukuh adalah semestinya demi mengesan kewujudan kanser serviks. Sampel yang diambil dari pangkal rahim menerusi alat ‘muncung itik’ itu akan dihantar ke makmal untuk uji kaji. Sebarang keganjilan pada sampel tersebut merupakan indikasi kehadiran Human Papilloma Virus (HPV). HPV adalah faktor risiko yang tinggi dalam ketumbuhan kanser servik.

HPV biasanya boleh dijangkiti melalui hubungan kelamin dengan individu yang dijangkiti virus HPV. Virus ini akan dihapuskan oleh sistem imunisasi dalam masa setahun ke dua tahun. Dalam keadaan yang tertentu, HPV boleh menyebabkan ketuat pada kemaluan atau kanser servik.

Mengesan masalah pada peringkat awal

Pengesanan pada peringkat awal untuk sebarang keganjilan pada sel pangkal rahim adalah penting sebelum ianya berubah menjadi sel kanser. Mungkin ia dapat membantu untuk melakukan rawatan awal oleh pakar kesihatan dan ada ramai yang dapat disembuhkan sebelum menghidap kanser serviks.

Selain itu ia juga boleh mengesan sebarang jangkitan kuman yang mungkin ada menerusi sampel yang diambil.

Sesuai untuk wanita di semua peringkat umur

Ujian ini sesuai untuk wanita berusia 21 tahun hingga 65 tahun. Namun, bagi wanita berusia 21 tahun hingga 35 tahun, disarankan melakukan ujian pap smear bagi tempoh 3 tahun sekali. Manakala bagi wanita berusia 30 hingga 65 tahun perlu melakukan ujian ini bagi tempoh 5 tahun sekali.

Dan untuk wanita 65 tahun dan keatas, Pap smear dilakukan hanya apabila ada tanda-tanda keganjilan pada organ peranakan.

#Ikuti sambungan artikel akan datang bagaimana ujian pap smear dapat membantu menyelamatkan ramai nyawa wanita diluar sana.#

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here