Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching (tengah) menyaksikan kerjasama antara produser filem Malaysia dengan China selepas merasmikan Edisi Kedua Festival Budaya Filem China - Malaysia baru- baru ini.
Oleh : Nafsiah Jani
EDISI kedua Festival Budaya Filem China-Malaysia secara rasminya telah dibuka hari ini di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang.
Festival anjuran Lomo Pictures Sdn Bhd dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu berlangsung sehingga 8 Jun ini. Festival ini juga merupakan anjuran bersama GSC International Screens dan China Film Archive, Trico Group dan Hong Jun Capital.
Festival tahun ini menghimpunkan barisan karya sinematik yang memukau dari kedua-dua negara daripada filem warisan yang telah di baik pulih (restored) dan hits kontemporari hinggalah kepada forum yang meneroka persilangan sinema dengan kaedah terbaharu XR dan AI—dengan menawarkan pertukaran budaya melalui bahasa universal filem.
(dari kanan) Hans Isaac, Aron Koh dan YB Teo Nie Ching begitu khusyuk menyaksikan sedutan filem-filem lama yang bakal menghiasi pawagam hingga 8 Jun ini.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama para tetamu kehormat dari sektor filem dan budaya.
Menurut Teo, festival berkenaan bukan sekadar sambutan meraikan karya kreatif tetapi sebagai penghubung budaya antara dua negara.
“Kelebihan budaya yang serasi dan tiada halangan bahasa. Kita melihat ia potensi besar dalam kerjasama merentas filem, animasi dan teknologi baharu. Melalui festival ini juga kita bukan saja bertukar-tukar maklumat mengenai dunia perfileman sebaliknya ia juga menandakan terjalinnya kerjasama erat antara penggiat industri perfileman antara China dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, sebagai Pengerusi Penganjur, Aron Koh menyifatkan festival itu platform unik untuk para pembikin filem, profesional industri dan peminat muda dari kedua-dua negara untuk berkongsi minat dan perspektif.
Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, YB Teo Nie Ching ketika menguji alat XR dan Al selepas merasmikan Edisi Kedua Festival Budaya Filem China – Malaysia baru- baru ini.
“Melalui dialog dan kerjasama, ia menyerlahkan kuasa sinema dalam meraikan kepelbagaian dan merapatkan jurang budaya. Setiap filem dalam barisan kami telah dipilih dengan teliti bagi mencerminkan kekayaan warisan sinematik dan suara unik masa kini.
Platform ini memberikan pandangan penting tentang bagaimana teknologi yang berkembang sedang mengubah cara penceritaan di seluruh Asia. Lomo Pictures juga akan mengadakan kerjasama strategik jangka panjang bersama Beijing Tianying Holdings Group Co., Ltd., dengan rancangan untuk membangunkan produksi bersama XR (Realiti Terimbuh) yang pertama antara China dan Malaysia.
Ini menandakan satu fasa terbaharu dalam kerjasama rentas negara dalam bidang teknologi filem, sekaligus memperkukuhkan lagi peranan Malaysia di pentas kreatif global,” ujarnya.
Festival Budaya Filem China-Malaysia ialah inisiatif tahunan yang diasaskan dan dianjurkan oleh Lomo Pictures Sdn Bhd, bertujuan memperkukuh hubungan kreatif dan industri antara China dan Malaysia melalui kuasa filem. Ia diadakan secara bergilir antara dua negara setiap tahun, dengan mempamerkan filem-filem cemerlang dari kedua-dua pihak dan mewujudkan platform untuk dialog melalui tayangan, forum dan acara budaya bagi menggalakkan pertumbuhan serantau dalam penceritaan dan kerjasama rentas sempadan.
Gambar kenangan…VVIP dari Malaysia bersama delegasi yang mewakili produksi di China.
Tahun ini bakal menampilkan pelbagai sorotan filem menarik antaranya: Filem bisu klasik tahun 1934 The Goddess yang telah dibaik pulih dengan dibintangi oleh legenda layar Ruan Lingyu dan komedi klasik Hong Kong It’s a Mad, Mad, Mad World turut dibawakan kembali ke layar perak, bagi menggambarkan semangat zamannya.
Manakala filem pecah China seperti Creation of the Gods I: Kingdom of Storms dan Creation of the Gods II: Demon Force turut ditayangkan bersama komedi romantik Honey Money Phony dan filem thriller A Place Called Silence, semuanya memaparkan kepelbagaian sinema komersial China.
Dalam pada itu, Malaysia menyajikan karya yang diiktiraf seperti Guang, Sepet, dan Blooms of Happiness mewakili penceritaan yang menyentuh hati selain dekat dengan budaya tempatan.
Selain tayangan filem, festival ini turut menganjurkan program industri khas termasuk forum berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pembikinan filem, serta bengkel lakonan yang dikendalikan oleh pengarah tersohor Hong Kong, Clifton Ko.
Semua tiket filem festival ini dijual dengan hanya RM10 dan boleh didapati melalui laman web rasmi GSC, aplikasi mudah alih GSC, atau kiosk layan diri di pawagam GSC terpilih.