Oleh: Nury Kadir
Menurut ulama, kemampuan adalah merangkumi mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi, tersenarai dalam kuota panggilan haji, lulus pemeriksaan kesihatan dan menerima visa kebenaran untuk menunaikan haji. Jadi, sesiapa yang belum sampai gilirannya menunaikan haji bermakna belum memenuhi syarat kemampuan dari sudut pengurusan pada waktu tersebut.
Berbalik kepada persoalan asal, perbuatan memotong giliran boleh difahami sebagai usaha untuk mempercepat giliran bagi menunaikan ibadah haji dengan melangkaui giliran jemaah lain yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun tersebut. Antaranya menggunakan kaedah seperti mengupah orang dalam untuk mengubah senarai nama, memalsukan dokumen peribadi, rekod kesihatan dan seumpamanya. Dengan perkataan yang lain, perbuatan ini telah mencabuli hak individu lain yang sepatutnya berpeluang untuk menunaikan haji.
Allah SWT telah menegaskan larangan mencabuli hak orang lain berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 188; maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Malah, Rasulullah SAW juga melarang seorang Muslim daripada menzalimi saudara Muslim yang lain. Abdullah bin ‘Amr RA meriwayatkan hadis bahawa Baginda SAW bersabda: maksudnya: “Seorang Muslim ialah saudara bagi Muslim yang lain. Oleh itu, dia dilarang untuk menzalimi saudaranya dan menyerahkan kepada orang lain untuk menyakiti saudaranya.
Allah SWT akan menunaikan hajat seorang Muslim yang membantu dalam menunaikan hajat saudara Muslimnya yang lain. Selain itu, Allah SWT juga akan meringankan kesusahan seorang Muslim pada hari akhirat apabila dia meringankan kesusahan saudara Muslimnya yang lain. Bahkan, Allah SWT juga akan menutup keaiban seorang Muslim pada hari Kiamat apabila dia menutup keaiban saudara Muslimnya yang lain di dunia.” (HR al-Bukhari)
Imam al-Mawardi telah menggariskan tanggungjawab utama pemerintah yang meliputi persediaan fasa sebelum, semasa dan selepas daripada menunaikan haji. Antaranya seperti menguruskan aspek pendaftaran jemaah yang bakal menunaikan haji, memastikan keselamatan jemaah haji sewaktu perjalanan pergi dan pulang serta memelihara kebajikan jemaah setelah pulang daripada menunaikan haji.
Mempunyai simpanan yang cukup juga termasuk di dalam berkemampuan (istita’ah) yang menjadi syarat untuk diwajibkan haji ke atas seseorang. Maka apabila seseorang itu mempunyai syarat berkemampuan, ini disertai dengan syarat-syarat yang lain (Muslim, baligh, berakal dan lain-lain), maka dia wajib melaksanakan ibadah haji.
Disebabkan kewajipan haji tidak dapat disempurnakan melainkan dengan simpanan wang yang mencukupi, maka adakah menyimpan wang itu menjadi wajib? Mengenai hal tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa para ulama berpendapat bahawa hukum menyimpan wang untuk mengerjakan haji itu sendiri tidak wajib, kerana ia termasuk dalam kaedah “satu perkara yang tidak sempurna suatu hukum kewajipan melainkan dengannya, perkara itu tidak wajib.” Namun menyimpan duit dengan niat mengerjakan haji itu amat digalakkan kerana ia termasuk dalam anjuran bersegera dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan tuntutan syarak.

Mengerjakan haji itu merupakan satu kewajipan ke atas mukalaf yang ada kemampuan (istita’ah), berdasarkan firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ
Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Ali ‘Imran (97)
Kemampuan menjadi syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu diwajibkan haji ke atasnya, iaitu apabila dia memiliki harta yang mencukupi merangkumi perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagaimana yang dikehendaki pemerintah. Kesemua harta itu juga mestilah lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya dalam tempoh ketiadaannya.
Oleh kerana kemampuan kewangan itu merupakan syarat wajib haji, dan kaedah syarak menetapkan bahawa satu perkara yang tidak sempurna suatu urusan wajib melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib.
Maka adakah ini bermaksud menyimpan duit untuk mengerjakan haji itu menjadi wajib, kerana haji tidak dapat disempurnakan melainkan jika ada kemampuan kewangan?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, mengenai tersebut perlu dibezakan antara dua kaedah yang kelihatannya sama, tapi memberi maksud yang berbeza:
Pertama: Sempurna hukum kewajipan
مَا لا يَتِمُّ الْوُجُوبُ إلاَّ بِهِ فهُوَ لَيْسَ بِوَاجِبٍ
Maksudnya: Satu perkara yang tidak sempurna sesuatu hukum kewajipan melainkan dengannya, perkara itu tidak wajib.
Aplikasi kaedah: Hukum kewajipan mengeluarkan zakat akan hanya dikenakan terhadap harta yang telah cukup haul dan nisab. Namun pemilik harta itu tidak wajib untuk berusaha dalam memastikan harta itu cukup haul dan nisab.
Kedua: Sempurna pelaksanaan perkara yang wajib
مَا لا يَتِمُّ الوَاجِبُ إلاَّ بِهِ فهُوَ واجِبٌ
Maksudnya: Suatu amalan wajib yang tidak sempurna melainkan dengan suatu perkara lain, maka perkara lain itu menjadi wajib.
Aplikasi kaedah: Solat fardu lima waktu merupakan satu amalan wajib, dan ia tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan berwuduk terlebih dahulu, maka wuduk itu juga menjadi wajib.
Dalam isu menyimpan wang untuk mengerjakan haji, para ulama usul fiqh telah membahaskannya dengan tuntas. Ibn al-Najjar menghuraikan:
وَمَا لا يَتِمُّ الْوُجُوبُ إلاَّ بِهِ (سَوَاءٌ قَدَرَ عَلَيْهِ الْمُكَلَّفُ، كَاكْتِسَابِ الْمَالِ لِلْحَجِّ وَالْكَفَّارَاتِ وَنَحْوِهِمَا، أَوْ لَمْ يَقْدِرْ عَلَيْهِ الْمُكَلَّفُ، كَحُضُورِ الإِمَامِ الْجُمُعَةَ وَحُضُورِ الْعَدَدِ الْمُشْتَرِطِ فِيهَا، لأَنَّهُ مِنْ صُنْعِ غَيْرِهِ، فَإِنَّهُ) لَيْسَ بِوَاجِبٍ مُطْلَقًا وَحُكِيَ إجْمَاعًا
Maksudnya: Adapun suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, sama ada yang mampu dicapai oleh seorang mukalaf, contohnya mendapatkan wang untuk mengerjakan haji, membayar kaffarah dan seumpamanya, atau yang berada di luar kemampuan seseorang, contohnya hadirnya imam untuk solat Jumaat dan cukup kehadiran bilangan jemaah untuk solat Jumaat kerana ia perbuatan yang dilakukan oleh orang lain, maka kesemua perkara tersebut hukumnya tidak wajib secara mutlak, dan telah dinukilkan ijmak ulama padanya.
Ini bermaksud, seseorang itu wajib melaksanakan haji hanya apabila syarat istita’ah itu wujud padanya, namun dia sendiri tidak wajib berusaha untuk memastikan dia mencapai status istita’ah itu.
Sementara Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti pula menambah bahawa meskipun mengumpul harta yang cukup untuk mengerjakan haji itu kebiasaannya mampu dicapai oleh mukalaf, namun ia tetap tidak diwajibkan. Hal tersebut sama dengan mencukupkan nisab harta yang diwajibkan zakat atau berada dalam keadaan mukim untuk diwajibkan berpuasa, di mana kesemua perkara ini tidak diwajibkan untuk kita mendapatkannya.
Imam al-Ru’aini al-Maliki pula menyatakan:
إذَا كَانَ الشَّخْصُ لَهُ صَنْعَةٌ يُمْكِنُهُ أَنْ يَحْصُلَ مِنْهَا مَا يَصِيرُ بِهِ بَعْدَ مُدَّةٍ مُسْتَطِيعًا بِأَنْ يَجْمَعَ مِنْهَا كُلَّ يَوْمٍ مَا يَفْضُلُ عَنْ قُوتِهِ وَحَاجَتِهِ فَلَا يَجِبُ عَلَيْهِ ذَلِكَ وَلَهُ أَنْ يَتَصَدَّقَ بِمَا يَفْضُلُ عَنْ قُوتِهِ وَحَاجَتِهِ
Maksudnya: Jika seseorang itu mempunyai pekerjaan yang membolehkannya mendapat hasil pendapatan yang akan menjadikannya mampu mencapai syarat istita’ah setelah suatu tempoh, iaitu dengan dia mengumpul lebihan daripada perbelanjaan makanan dan keperluan hariannya, dia tetap tidak wajib untuk melakukan yang demikian (mengumpul harta), dan dia boleh bersedekah daripada lebihan keperluannya itu.
Maka, meskipun seseorang itu mampu berusaha untuk mencukupkan simpanan bagi menunaikan haji melalui pekerjaan, perniagaan atau seumpamanya, Islam tidak mewajibkan untuknya berbuat demikian, dan diharuskan baginya untuk membelanjakan wang tersebut untuk tujuan lain.
Ditegaskan, bahawa kemampuan kewangan itu merupakan salah satu syarat untuk diwajibkan kewajipan haji ke atas seseorang. Namun para ulama menjelaskan bahawa hukum menyimpan wang untuk mengerjakan haji itu sendiri tidak wajib, kerana ia termasuk dalam kaedah “satu perkara yang tidak sempurna suatu hukum kewajipan melainkan dengannya, perkara itu tidak wajib.”
Pun begitu, menyimpan duit dengan niat mengerjakan haji itu amat digalakkan kerana ia termasuk dalam anjuran bersegera dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan tuntutan syarak.
Walaupun menyimpan untuk mengerjakan haji itu tidak wajib maka jangan pula beralasan untuk tidak menyimpan. Malah jangan pula beralasan tiada kemampuan hanya kerana memetik sepotong ayat al-Quran…”sesiapa yang mampu sampai kepadanya”. Mesti ada hikmahnya mengapa Allah memerintahkan gaji bagi yang mampu, terserah pada kita untuk mencarinya.

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.