Oleh : Asmat

“Teloq dia masham kan doc…punca saya kena Herpes ni?”

Dialog ini tiba-tiba tular dalam minggu ini. Ramai yang mengambil peluang untuk sama-sama mengulas lanjut berkenaan sikap seorang usahawan menjual makanan ini kerana tanpa segan silu memuat naik videonya ketika berjumpa doktor untuk penyakit yang dialaminya. Pada dia, berseloroh dan bersahaja saja. Namun, harus diingat ini adalah penyakit kelamin yang boleh berjangkit apatah lagi dia merupakan seorang usahawan dalam bidang pemakanan.

Justeru, mari kita memahami sendiri apaitu sebenarnya penyakit herpes. Apa itu herpes? Herpes kelamin adalah keadaan yang biasa terjadi pada lelaki dan wanita. Wanita lebih berisiko dijangkiti virus berbanding lelaki. Ia biasanya berlaku kepada mereka yang aktif dalam hubungan seksual. Ibu hamil yang dijangkiti penyakit ini boleh menjejaskan bayi mereka ketika melahirkan anak.

Ia boleh diurus dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Meskipun dikategorikan sebagai jangkitan yang tidak berbahaya, penghidap Herpes Virus Simplex Type 1 (HSV-1) dan Type 2 (HSV-2), perlu sentiasa berhati-hati dalam kehidupan seharian berikutan jangkitan virus itu kerana ia mudah menjangkiti orang lain serta terdapatnya risiko pengaktifan semula.

HSV-1 dikenali sebagai herpes mulut dan menjangkiti bahagian mulut serta muka.

HSV-2 pula dikenali sebagai herpes genital dan menjangkiti bahagian faraj, zakar, kerandut zakar, punggung dan dubur.

Cara jangkitannya juga berbeza. HSV-1 adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebarkan melalui perkongsian rembesan cecair mulut yang menyebabkan virus ini tersebar pada individu sihat melalui perkongsian peralatan makanan seperti sudu, penyedut minum atau cawan. Selain itu, ia juga boleh tersebar melalui aktiviti yang membabitkan perkongsian cecair mulut termasuk ciuman.

Malah ia juga berisiko untuk penghidap mengamalkan seks oral, ia juga boleh tersebar pada bahagian genital dan selepas dijangkiti, virus ini akan tinggal kekal di dalam saraf ganglia individu dan jangkitan semula (pengaktifan semula virus) boleh berlaku walaupun individu tersebut sudah sembuh. Risiko jangkitan adalah tinggi jika virus itu sedang aktif atau penghidap sedang sakit.

Simptom penyakit

Ramai individu dijangkiti dengan HSV tidak tahu bahawa mereka sedang dijangkiti kerana tiada sebarang tanda atau gejala. Beberapa individu mengalami tanda dan gejala seperti berikut:

• Sakit atau gatal-gatal di bahagian alat kelamin atau belakang

• Gumpalan merah atau lepuh berwarna putih

• Ulser yang terbentuk apabila lecur pecah

• Kuping yang terbentuk apabila ulser sembuh

• Sakit apabila membuang air kecil

• Gejala seperti selesema

• Kelenjar limfa membengkak di pangkal paha

• Sakit kepala

• Sakit otot

• Demam

Untuk lebih lanjut, simptom bagi HSV-1 pada lapisan mukosa dalam mulut menyebabkan rekahan kulit (ulser) yang sakit. Untuk jangkitan di bahagian luar mulut seperti bibir, penghidap akan mengalami ruam atau kudis berisi air yang kemudiannya akan pecah dan menjadi luka. Pada tahap ini, penghidap akan berasa sangat sakit hingga tidak boleh menelan atau mengunyah.

Bagi HSV-2, penghidap akan berasa gatal atau sakit di kawasan terbabit diikuti ruam yang mula timbul menyebabkan sakit semasa kencing (sekiranya pada zakar).

Selain itu, ruam juga boleh menyebabkan lelehan cecair atau berdarah. Simptom lain yang mungkin dialami seseorang individu yang dijangkiti virus ini ialah demam, lemah badan dan bengkak kelenjar leher.

#ikuti sambungan akan datang mengenai virus herpes ini #

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here