Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU Allah sudah takdirkan itu rezeki seseorang, jarak yang memisahkan bukanlah penghalang untuk pelakon dan penyanyi Hannah Delisha disatukan dengan kumpulan pop-folk dari Indonesia, Batas Senja.
Mulanya, Hannah hanya mendendangkan lagu popular kumpulan Batas Senja berjudul “Nanti Kita Seperti Ini” yang diterbitkan pada 2022 di platform TikTok miliknya.
Siapa sangka vokalis utama Batas Senja iaitu Masitong atau Reza Lukita Apriadi yang juga pencipta lagu “Nanti Kita Seperti Ini” tertarik dengan keunikan suara selebriti yang berasal dari Singapura itu.
“Saya nampak Hannah cover lagu ini, terus rasa dia memang orang yang sesuai. Dia cantik, bersuara indah dan sangat ekspresif. Saya yakin kalau kami bergabung, hasilnya pasti luar biasa.
“Sejujurnya, lagu ini adalah kisah benar dari hidup saya sendiri. Ditulis ketika kondisi hidup saya yang sedang susah, tetapi saya terus membawa harapan dan doa semoga suatu hari nanti mampu memiliki rumah sendiri dan hidup bahagia,” kongsi Masitong.

Tambahnya lagi, lagu yang sudah mencatat lebih 340 juta streams di Spotify dan lebih 79 juta tontonan di YouTube itu sangat dekat dengan orang ramai dan perlu dihidupkan semula dalam bentuk yang lebih mendalam dan emosional dengan sentuhan suara Hannah yang lunak dan penuh jiwa.
“Saya rasa “Nanti Kita Seperti Ini” adalah lagu yang sangat dekat dengan hati ramai orang. Lagu ini menyimpan tenaga positif yang saya ingin kongsikan dengan menjangkau pendengar yang lebih luas dan jangka hayat yang lebih lama dalam ingatan mereka. Versi baharu ini adalah bentuk perayaan terhadap harapan itu sendiri.
“Versi sinematik ini menampilkan susunan muzik yang jauh lebih besar dan penuh rasa dengan elemen orkestra yang dirancang untuk membawa pendengar ke dalam suasana yang lebih mendalam dan menyentuh emosi.
“Peminat dapat mendengar perbezaan antara versi sinematik ini dengan yang dulu. Nuansanya fresh, lebih elegan dan emosional. Kami betul-betul nak cipta pengalaman mendengar yang lebih sinematik dan berjiwa,” jelas Masitong.
Proses pembikinan versi ini turut melibatkan ramai pemuzik profesional, dari pengarah muzik sehinggalah pemain muzik jemputan. Ia bukan proses yang mudah, tetapi sangat memuaskan.

“Banyak perbincangan dan eksplorasi muzik berlaku di belakang tabir. Sulit tapi sangat menyeronokkan. Walaupun rakaman dilakukan secara berasingan, hasilnya tetap harmoni,” kata Masitong mengenai proses kreatif yang akhirnya melahirkan karya yang boleh dianggap sebagai masterpiece kumpulan ini.
Sementara itu, Hannah mengakui yang dia sudah jatuh hati dan terasa dekat di hati tatkala pertama kali mendengar lagu tersebut.
“Sejujurnya, kali pertama saya dengar lagu ni, saya terus rasa connected. Lagu ni sangat indah dan penuh makna. Saya memang minat dan menghormati karya-karya mereka, jadi saya rasa sangat bersyukur dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada versi ini.
“Tak sangka, semuanya berlaku dengan sangat cepat, Saya rasa Batas Senja siapkan susunan semula lagu ni dalam masa seminggu atau mungkin kurang. Kami melakukan rakaman secara berasingan dan selepas hanya empat hari dari sesi rakaman saya, kami terus terbang ke Lampung, Indonesia untuk penggambaran video muzik,” cerita Hannah.
Tambahnya lagi, dia senang bekerjasama dengan Batas Senja kerana mereka sangat santai sewaktu bekerja tapi hasilnya amat memuaskan hati.
“Mereka memang sangat santai dan ramah, kira senanglah nak bekerjasama dengan mereka. Saya rasa suara saya dan Masitong serasi dan seimbang. Saya memang suka kesederhanaan melodi lagu ini, mudah nak ikut nyanyi, tapi tetap mendalam dengan lirik yang penuh makna dan susunan muzik yang indah.
“Lagu ini buat saya fikir tentang momen-momen kecil dalam hubungan yang kita selalu terlepas pandang. Ia bukan lagu patah hati, tapi lebih kepada menghargai dan itu yang sangat menyentuh saya.
“Saya harap lagu ni buat orang rasa tenang, rasa disayangi dan percaya bahawa membina hidup dengan seseorang tu satu perkara yang indah. Walaupun masih single, saya harap lagu ini beri semangat untuk percaya pada cinta yang sederhana tapi bermakna,” katanya yang melihat lagu ini dari sudut yang lebih introspektif.
“Nanti Kita Seperti Ini” boleh didengari di semua platform digital dan video muzik pula boleh ditonton di saluran YouTube Hannah Delisha.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.