Oleh Nury Kadir

Bagi yang memilih pandangan ulama bahawa barang perhiasan emas tidak termasuk dalam kategori item ribawi boleh terus trade-in emas tersebut. Namun, bagi yang ingin memilih pandangan jumhur ulama bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf serta mengambil jalan berhati-hati dan selamat maka bolehlah gunakan kaedah berikut:

1. Menjual emas perhiasan lama dan terima duit hasil jualan tersebut.
2. Kemudian membeli emas perhiasan baru dengan membayar daripada hasil jualan emas perhiasan lama atau membeli emas perhiasan baru yang lagi mahal dengan menambah duit lain.

Panduan tersebut berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A berkata;
Maksudnya: “Bilal datang kepada Nabi SAW dengan membawa tamar barni, lalu Nabi bertanya kepadanya: “Dari manakah tamar ini ?”. Bilal menjawab : “Kami mempunyai tamar yang buruk, lalu kami menjualnya (menukarkannya) dua gantang dengan satu gantang tamar barni, agar kami dapat memberi makan kepada Nabi saw”. Lalu Nabi SAW bersabda pada saat itu: “Aduh, aduh, itulah riba, itulah riba. Janganlah engkau melakukan ini, akan tetapi jika engkau ingin membeli (kurma yang terbaik) maka juallah kurmamu dengan jualan yang lain, kemudian belilah kurma yang terbaik dengan hasil jualanmu itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya kita faham untuk berurusan dengan emas, kita boleh memilih sama ada untuk jual beli emas lama dan tukar emas baru disertakan tambahan duit dalam satu transaksi. Atau pun jual dahulu emas lama dan kemudian beli emas baru dengan duit hasil jualan emas lama berserta tambahan duit jika emas baru yang dipilih harganya lebih mahal.

Disebabkan emas adalah item ribawi, maka transaksi yang melibatkannya perlu berhati-hati. Banyak persoalan akan timbul misalnya berkaitan dengan cara pembayaran emas. Adakah boleh emas dibayar secara ansuran? Bagaimana pula dengan pembayaran melalui kad kredit?. Apa pula hukumnya kutu emas? Jika emas pelaburan pula, adakah Islam membenarkan gadai emas untuk melabur emas?

Semua persoalan tersebut boleh dijawab dengan merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas.

Pembayaran melalui kad kredit adalah dibenarkan dan masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan. Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

Bayaran Secara Ansuran

Jangan sesekali pernah terfikir beli emas secara ansuran atau hutang. Mengapa?. Ini jawapan yang dipetik dari laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.
Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.

Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot).” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh. Jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.

Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan.

Oleh itu, jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai. Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.

Ini bersandarkan kepada hadis Baginda SAW, maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang.” (Musnad Ahmad)

Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim, mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini, walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapat dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:

1.Penjual emas meminjamkan duit mereka, agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.

2.Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut. (https://muftiwp.gov.my)

Kutu Emas

Membeli emas dengan bermain kutu emas memang popular bagi orang perempuan. Ini adalah salah satu cara meringankan beban dan mengelakkan berhutang. Pada dasarnya, hukum bermain kutu adalah harus selagi mana ia tidak mengandungi unsur penipuan dan juga penindasan.
Ia juga mengambil hukum akad pinjam meminjam (Qurud mutabadilah) yang dibenarkan sebahagian ulama. Dalam konteks kutu ini, manfaat yang diperolehi adalah pada semua pihak, dan bukannya hanya pada satu pihak sahaja. Maka, atas dasar itu ia dibenarkan.

Sepertimana yang dijelaskan dalam (https://muftiwp.gov.my), hukum menyertai program kutu emas adalah harus sekiranya ia mempunyai dua gambaran seperti berikut:

Gambaran Pertama:
Ali, Abu dan Bakar bersepakat untuk membeli emas 1 Dinar setiap seorang dengan cara bermain kutu. Andai kata harga emas 1 Dinar ketika itu ialah RM900. Maka mereka membuat perjanjian kutu agar masing-masing membayar sebanyak RM300 seorang selama tiga bulan. Apabila tiba akhir bulan, ahli yang menerima hasil kutipan bulanan sebanyak RM900 itu akan pergi ke kedai emas untuk membeli emas atau sebagainya berpandukan kepada harga semasa.

Penggunaan duit tersebut terserah kepada hasrat dan keinginan giliran masing-masing. Sekiranya berlaku kenaikan harga emas dan dia masih ingin memiliki emas tersebut, maka dia perlu menambah wang dari kocek sendiri untuk mencukupkannya. Sekiranya harga emas turun, maka baki duit hasil belian emas tetap menjadi miliknya. Jika dia membuat keputusan untuk membatalkan hasrat membeli emas sekalipun, keseluruhan duit tetap menjadi hak miliknya.

Pandangan Syarak: Hukum terlibat dengannya adalah harus melihat kepada persamaan seperti kutu duit yang biasa diamalkan iaitu mengambil hukum akad qurud mutabadilah yang telah sebutkan di atas. Kemudian, dalam hal pembelian emas pula, tidak berlakunya riba al-nasi’ah oleh kerana emas dibeli dengan harga semasa dan secara tunai oleh pemilik giliran.

Gambaran Kedua:
Seorang penganjur kutu emas atau disebut “Mak Kutu” mengumpul beberapa peserta. ‘Mak Kutu’ boleh jadi dilantik dalam kalangan ahli kumpulan atau orang luar yang boleh dipercayai. Kebiasaannya Mak Kutu memiliki stok emas yang diinginkan para peserta kutu.

Contohnya, harga emas 1 Dinar ketika itu ialah RM900, maka mereka akan membuat perjanjian bersama “Mak Kutu” agar harga tersebut dikunci (locked price). Seterusnya, setiap ahli kutu akan membayar sebanyak RM300 setiap seorang selama tiga bulan. Mereka yang mendapat giliran akan menggunakan duit yang terkumpul untuk membeli emas dengan harga locked price secara tunai. Begitulah bulan-bulan seterusnya sehinggalah kesemua ahli kutu mendapat 1 dinar masing-masing.

Pandangan Syarak: Hukumnya juga harus melihat kepada locked price yang dibuat antara “Mak Kutu” dan ahli kutu merupakan suatu perjanjian bersama (muwa’adah) yang dibenarkan Syarak.

Muwa’adah ialah suatu janji timbal balik yang dibuat oleh dua orang atau dua pihak untuk memasuki kontrak pada masa akan datang. Konsep janji yang dibuat bersifat terikat dari sudut ahli kutu berjanji untuk membeli emas tersebut pada tarikh tertentu dan “Mak Kutu” juga berjanji untuk menjual emas dengan harga yang dijanjikan. Pihak yang memungkiri janji perlu bertanggung jawab menanggung kos kerugian sebenar yang timbul disebabkan kemungkiran janji tersebut.

Gadai Emas Melabur Emas

Apabila harga emas turun ramai yang mengambil kesempatan membeli emas sebagai pelaburan. Masalahnya duit tunai di tangan tidak mencukupi namun semangat kuat untuk menambah emas baru. Hinggakan mereka gadaikan emas yang dimiliki dan duit hasil gadaian tadi digunakan untuk membeli emas baru sementara harga emas jatuh. Masalahnya adakah cara itu dibenarkan di dalam Islam?

Ini jawapan yang diberikan dalam Irsyad Al-Fatwa (https://muftiwp.gov.my), perbuatan menggadaikan (al-rahn) emas yang sedia ada bagi tujuan membeli emas yang baru untuk tujuan pelaburan adalah makruh. Ini kerana perbuatan tersebut akan menggalakkan amalan berhutang dalam situasi yang tidak perlu dan tidak mendesak. Selain itu, kemampuan pembayaran hutang perlu diambil kira bagi mengelakkan ketidakmampuan individu dalam melangsaikan hutang yang ada.

Secara dasarnya hukum akad gadaian adalah harus dan dibenarkan di sisi syarak. Ini berdasarkan kepada nas daripada al-Quran dan hadis berikut:
Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).” (Surah al-Baqarah: 283)

Demikian dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, beliau telah berkata, maksudnya:“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang yahudi dengan cara hutang dan Baginda SAW menggadaikan baju besinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Memang benar, setiap individu berkuasa dan berhak melakukan apa sahaja terhadap harta yang dimilikinya. Ini bermaksud, pemilik adalah sah dan dibenarkan untuk menggadai, menjual, menghadiahkan emas yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja.

Namun demikian, dalam keadaan yang dinyatakan di atas, kita tidak digalakkan untuk berhutang atau menambahkan hutang dalam keadaan yang tidak perlu. Perbuatan menggadaikan emas yang dimiliki bagi mendapatkan wang tunai untuk membeli emas yang baru secara tidak langsung akan menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

Walhal Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita tentang doa menjauhi hutang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ
Maksudnya; “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kekufuran dan kefakiran.” (Riwayat al-Nasai’e)

Akhir sekali, sebelum melakukan sesuatu kena ada ilmu walaupun dalam hal perhiasan emas. Apatah lagi untuk melabur emas, hanya dengan ilmu kita dapat memisahkan antara pelaburan patuh syariah dengan yang tidak. Belilah emas sebanyak mana yang anda mahu asalkan jangan berhutang atau hingga habis duit untuk keperluan harian. Paling penting jangan lupa zakat kerana emas pun ada kadar zakatnya yang ditetapkan mengikut negeri.

 

Previous articleProgram ‘Solidarity 4 Gaza’
Next articlePeriksa keputihan anda! Jika gatal dan berbau, ia petanda BAHAYA! (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here