Oleh Nafsiah Jani
Pengalaman menjadi penyanyi jemputan pembuka tirai konsert bagi artis ternama Bruno Mars, Usher dan juga Siti Nurhaliza membuatkan penyanyi baru Natasha Saas yakin dengan kemampuan.
Natasha Sass, 23, bukanlah satu nama asing dalam industri muzik Malaysia. Tujuh tahun yang lalu pada usia muda 16 tahun, bakatnya dikesan dan dia dilamar menjadi artis rakaman Universal Music Malaysia.
Setelah menamatkan pengajiannya, kini gadis berdarah kacukan Jerman dan Malaysia yang jelita dan berbakat ini sudah bersedia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam dunia seni hiburan dengan kemunculan album pertamanya berjudul ‘Still Standing’.
Natasha Sass menyatakan bahawa, selepas bertahun-tahun mendiamkan diri, dia ingin kembali dengan sesuatu yang lebih teguh dan punya cerita. ‘Still Standing’ yang bermaksud ‘Tetap Berdiri’ menceritakan bahawa kita harus tetap teguh berdiri walaupun melalui pelbagai dugaan dalam hidup ini.
“Saya mula bekerja untuk album ini pada awal 2022. Saya juga bertuah kerana berpeluang menulis dan mencipta lagu untuk album ini dan rasanya banyak yang ingin saya kongsikan tentang dunia sejagat ini. Album ini mengisahkan kematangan, kehidupan, cinta serta permulaan baharu kerjaya muzik saya.
“Ini membolehkan saya menjadi diri sendiri. Selain lagu Still Standing lagu ciptaan saya ialah Memory, Lost Love, Manusia, Love Myself Instead dan Round and Around. Saya harap peminat cuba mengenali saya melalui karya-karya ini,’’ katanya yang mendapat khidmat Johan John untuk menyusun muzik.
Bintang muda ini juga berharap agar album dan muziknya dapat didengari seramai yang mungkin.
“Selain dikenali, jika album ini berjaya ia adalah satu pencapaian besar dalam hidup saya selaku seorang penyanyi, pencipta dan penulis lagu. Walaupun kerjaya muzik saya tidaklah terlalu memuncak namun saya bersyukur untuk semua yang telah saya lalui termasuk yang baik serta yang buruk.
“Perjalanan hidup ini telah membentuk saya menjadi lebih bijak dan kuat sebagai seorang manusia. Kesenangan sebenarnya satu ancaman buat kemajuan berbanding kesusahan,” jelas Natasha yang percaya bahawa banyak laluan yang harus dijalani sebelum tiba ke titik yang ingin dituju.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.