Oleh Asmat Fikri
Selain sebab, ada juga tanda-tanda yang perlu diberi perhatian bila menghadapi senggugut. Ia penting bagi tujuan untuk memberitahu contohnya anak remaja kita yang baru pertama kali datang bulan atau haid atau untuk anak remaja lebih jelas senggugut itu bagaimana sebenarnya.
Tanda-tanda senggugut
Senggugut boleh jadi berbeza pada setiap orang. Tahap kesakitan dan tanda juga mungkin berlainan mengikut badan serta hormon wanita tersebut. Namun, ini antara tanda senggugut yang biasanya dialami kebanyakan wanita. Biasanya akan terasa sakit di bahagian bawah perut. Kesakitan ini biasanya sederhana, mengejang dan boleh merebak ke belakang dan bahagian peha.
Namun ia mungkin berbeza mengikut tahap senggugut yang dialami seperti berikut:
Senggugut Primer
Senggugut ini kebanyakannya berlaku kepada remaja perempuan. Ia biasanya berlaku selepas enam hingga 12 bulan dari akil baligh apabila kitaran ovari bermula. Ia juga boleh berlaku kepada wanita yang masih subur. Senggugut ini paling sakit pada dua hari pertama datang haid yang diikuti dengan sakit yang berkurangan beberapa hari selepas itu dan berhenti apabila haid berhenti. Biasanya berlaku selama 12 ke 24 jam, ada yang selama dua ke tiga hari. Kesakitan ini berkurangan apabila umur meningkat dan selepas bersalin.
Senggugut Sekunder
Senggugut ini mempunyai tanda seperti senggugut primer tetapi sakitnya berpanjangan. Senggugut Sekunder biasanya berlaku di kalangan wanita yang berumur dan masih subur disebabkan oleh patologi di pelvis dan rahim.
Ia lebih kerap berlaku kepada wanita yang kuat merokok, mengalami akil baligh yang lebih awal dan mempunyai haid yang banyak. Senggugut ini menjadi semakin teruk selepas beberapa tahun haid biasa.
Berikut adalah tanda-tanda yang menyatakan kemungkinan anda mengalami Senggugut Sekunder.
• Haid yang tidak tetap
• Kesakitan sewaktu haid walaupun telah mengambil ubat selama tiga bulan.
• Pendarahan yang bertambah banyak
• Lelehan dari faraj
• Kesakitan ketika melakukan hubungan seks
• Sakit kepala, pening, letih, sakit belakang
• Loya, muntah dan cirit-birit
Cara rawatan tradisional
Banyak cara untuk merawat senggugut seperti mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Namun, ada juga yang berkesan dengan rawatan secara alami atau tradisional seperti yang diamalkan oleh nenek kita sejak turun- temurun.
Air suam atau air teh
Air suam mampu beri kelegaan pada pada otot yang kejang. Juga boleh melancarkan peredaran darah. Manakala air teh pula bagus untuk melegakan kesakitan. Air teh juga tinggi dengan fenolat dan boleh menghalang kesakitan senggugut.
Herba
Orang dulu-dulu akan merawat kesakitan datang haid dengan minum air suam bersama beberapa campuran herba. Antara herba yang sering digunakan adalah halia, biji pinang tua, rumput jarum emas, rumput cengkih padang dan pudina.
Selain itu boleh juga gunakan air asam jawa, jus daun betik, air rebusan kulit kayu manis dan kulit limau nipis serta air kunyit.
Jaga diet pemakanan
Elakkan mengambil makanan yang mengandungi lemak tepu yang tinggi. Contoh daging lembu, kambing dan produk tenusu. Elakkan juga mengambil garam, karbohidrat, serat, dan minuman berkafein.
Bertuam atau bertungku
Ini cara paling berkesan untuk merawat senggugut. Tuaman dan bertungku pada otot-otot yang sedang mengecut dengan keterlaluan akan menjadi lebih relaks.
Senaman rutin
Senaman mampu melegakan senggugut kerana senaman berupaya untuk menghasilkan bahan kimia bernama endorphin. Endorphin mampu bertindak melegakan kesakitan dan tekanan emosi.
Penutup
Senggugut boleh menjadi mimpi ngeri kepada ramai wanita. Jika ada yang mengalaminya saban bulan, pastikan mendapatkan rawatan selanjutnya di klinik atau hospital. Jangan dibiarkan sakit itu berlarutan kerana kesannya akan lebih buruk kepada kesihatan dalaman kita. Semoga mereka yang menderita senggugut akan kembali pulih seperti biasa.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.