Oleh: Wawa Najwa
Foto : Ehsan Datuk Syafinaz / Syed Wafa

INGIN Bersamamu merupakan album kedua dendangan Datuk Syafinaz Selamat yang dihasilkan pada 1999. Malah lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Tessh R S itu juga berjaya melonjak nama beliau dalam bidang seni suara.

Namun sejak kebelakangan ini nama Syafinaz lebih menyerlah di belakang tabir terutamanya sebagai juri berbanding penyanyi.

Album ‘Ingin Bersama Mu’ memdapat sambutan dari peminat Syafinaz.

Syafinaz yang lebih dikenali sebagai pelontar suara soprano dan sering tampil mempersembahkan lagu-lagu bergenre klasikal Barat itu turut diberi julukan “Ratu Soprano” negara.

Kali terakhir Syafinaz menghasilkan single adalah pada 2021 iaitu Persis Salju, ciptaan KuSham dan lirik oleh Zaira dan hingga kini belum ada buah tangan baharu daripadanya.

“Alhamdulillah, masih lagi dalam perancangan untuk hasilkan single baharu. Lagu memang dah ada, masa tu yang tak boleh dijangka bila. Tahulah jadual saya ni memang kelam kabut sikit, Insya-Allah, tahun ini kalau diizinkan.

“Saya tak nak janji, bila janji macam dulu tunggu punya tunggu 20 tahun baru keluar satu. Hopefully la tahun ini. Kita tengok jadual dan cari tarikh yang terbaik untuk release single saya yang terbaharu.

Lagu Ingin Bersamamu masih lagi digemari hingga kini.

“Kalau keluar single baharu pun, saya akan kekalkan genre yang sama. Tak ada nama khas untuk genre saya, secara asas ia adalah antara genre pop dan klasikal.

“Saya masih nak buat lagu macam ni sebab selain nak menghibur orang lain, saya menyanyi untuk mencari kepuasan bagi diri sendiri. Saya harus berpegang teguh kepada diri sendiri dan percaya pada muzik sendiri, tahu kekuatan diri. Saya rasa kat Malaysia ini kita perlu pelbagaikan untuk elak persamaan,” katanya terus terang.

Ujarnya, kalau tak berani membuat perubahan dan tunduk kepada arus perdana itu bermakna beliau tak berani memperjuangkan apa yang dijuangkan selama ini.

Malah katanya, beliau sentiasa mencuba untuk berpegang teguh kepada muzik yang diperjuangkan selama ini agar dapat memberi contoh yang baik kepada pelajarnya dan bakat-bakat baharu.

Syafinaz kerap diundang sebagai juri program nyanyian.

“Sebenarnya, saya baru saja lancar lagu duet berjudul Glory dengan pemain violin, Dennis Lau. Lagu ini ditulis oleh Dennis Lau dan lirik oleh Tessh R. S. Tesh R.S. adalah penulis lirik untuk lagu Ingin Bersamamu pada 1999.

“Masa tu saya sit down dan bincang dengan dia apa yang saya nak tukar tentang lirik Ingin Bersamamu. Itulah kali pertama dan terakhir saya jumpa dia sehinggalah saya rakam balik lagu Glory ini saya jumpa dia semula, pada 2023.

“Dia datang rakaman dan sedihnya selepas sebulan rakaman dia meninggal dunia. Saya ingatkan dapatlah bekerjasama dengan dia lagi tapi rupanya kolaborasi kami setakat lagu Glory saja,” singkapnya kenangan bersama Tesh R.S.

Katanya, lagu ini menarik kerana ia merupakan gabungan tiga bangsa di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Lagu ini bercerita tentang membangkitkan semangat juang untuk mencapai kejayaan dan telah keluar sejak Januari lalu.

“Selain dengan Dennis, saya juga juga ada rekod satu lagi lagu baharu dengan kumpulan baharu Rock Age tapi belum keluar. Lagu yang dicipta oleh Raja Sham dan lirik saya tulis sendiri. Insya-Allah akan keluar tahun ini juga kot, saya pun tak pasti.

Syafinaz ada lagu duet bersama Dennis Lau yang berjudul Glory.

“Sebab saya suka bekerjasama dengan anak-anak muda ini bila mereka berbakat, saya harap dapat membantu mereka membuka ruang untuk berkarya dan kongsi pengalaman. Kadang-kadang bila bekerjasama begitu adalah sesuatu yang baharu untuk diri saya sendiri.

“Macam dengan Rock Age, kumpulan rock dan ini adalah sesuatu yang baru untuk diri saya sebab saya bukan menyanyi rock. Macam Dennis pula, kali pertama kerjasama dengan dia pada 16 atau 17 tahun lalu. Kolaborasi pertama kali berjudul Mahkota, dia tulis melodi dan saya tulis lirik. Berbeza la antara suara dan violin, bukan kolaborasi biasa,” hurainya.

Meskipun Syafinaz tak banyak mendapat undangan persembahan pentas secara terbuka, tapi beliau sering diundang untuk menjayakan private function.

“Kalau tentang show, dari dulu pun saya tidak begitu banyak buat public atau TV Show, saya lebih kepada private function, dinner show, launching product. Sekarang masih ada undangan nyanyian cuma tak sekencang dulu. Memilih tu tidaklah sebab rezeki Allah beri.

Suka bekerjasama dengan bakat baharu untuk berkongsi ilmu.

“Kalau show macam ni, dia punya muzik back ground tengok permintaan dan bajet klien. Kalau bajetnya besar, besarlah muzik yang mengiringi. Boleh jadi akustik dan kadang-kadang dengan band atau orkestra dan kebanyakannya dengan minus one sebab bajetnya rendah,” jelasnya.

Kongsi ilmu sewaktu jadi juri

Menurut Syafinaz, beliau bersyukur kerana masih dipanggil untuk menjadi juri rancangan nyanyian bukan saja realiti TV tapi juga pertandingan nyanyian antarabangsa.

“Saya suka jadi juri, kalau untuk program realiti TV sebab saya dapat kongsi ilmu dan pengalaman. Bukan hanya pada peserta tapi satu Malaysia boleh belajar. Ini saya punya give back kepada masyarakat.

“Rasa bangga sebab saya boleh nampak peserta terima dan ambil komen yang kita beri. Minggu seterusnya dia akan buat apa yang kita suruh dan cuba buat apa yang kita cadangkan. Interesting to sing dan kita pun rasa pendapat kita diterima.

Peserta perlu bijak cari lagu untuk pertandingan.

“Tak senang sebenarnya menjadi juri ini sebab setiap peserta dah ada fanbase masing-masing. Kadang-kadang fan ni taksub dan tak nak dengar, peserta okey tapi fans yang tak boleh terima apa yang kita jelaskan.

“Kita ni juri, kita bukan menidakkan kebolehan seseorang penyanyi itu, kita hanya melihat pada persembahan pada hari tersebut saja bukan pada kariernya, sama ada dia boleh menyanyi atau tidak. Apa yang dihidangkan pada kami pada hari itulah yang kita nilai. Selalunya dalam satu pertandingan nak pilih seorang pemenang saja, jadi juri pilihlah yang terbaik pada hari tersebut,” kata Syafinaz tentang tanggungjawab sebagai juri.

Tambah Syafinaz, apa yang sering berlaku kebanyakan peserta selalu memilih lagu yang tak sesuai dengan suara masing-masing kerana tidak kenal suara sendiri.

“Kesilapan yang sering dilakukan adalah memilih lagu yang tak kena dengan minat dan genre sendiri, kadang-kadang dia kata nak cabar diri. Kalau amatur singer bukan masa untuk cabar diri pada pentas pertandingan itu.

“Dia sepatutnya menonjolkan kekuatan dirinya dan bukannya kekurangan. Bila baru nak cuba sesuatu yang baharu tu macam mana nak dapat yang terbaik. Jadi lagu tu kena betul. Lagu untuk pertandingan atau untuk dinner show, relaks-relaks tak sama. Kena pandai pilih lagu untuk tonjolkan suara mereka kerana pertandingan is all about voices,” katanya yang bercita-cita untuk terbitkan buku tentang vokal, harap impiannya itu terlaksana.

Previous articleTindakan Tepat Bila Kanak-Kanak Tercekik
Next articleA.Ramlie Lagenda Pop Yeh Yeh bersuara ‘Emas’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here