Oleh: Khadijah Ibrahim
JANGAN keliru ya kerana Nadia atau Nazia Mustafar adalah orang yang sama dan nama sebenarnya adalah Siti Naziyah Sheikh Mustafar. Dia mula terlibat dalam bidang lakonan sejak usia 12 tahun dan di awal pembabitannya, lebih dikenai dengan nama Nadia Mustafar.
Namun pelakon berusia 43 tahun yang mula dikenali menerusi siri komedi TV ‘Kipas Anggun’ pada 1998 itu mempunyai sebab tersendiri kenapa dia menggunakan nama Nazia Mustafar sejak 2015 hingga kini.
Menurut isteri kepada penerbit filem yang juga Pengarah Urusan Megapine Sdn Bhd, Hazif Izham Ismail, nama Nadia adalah nama timangan yang dipanggil oleh datuknya sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan nama pentas sebagai Nazia Mustafar selepas kematian ayah tersayang.

“Saya mula tukar nama secara rasmi sejak 2014. Ikutkan nama saya di dalam kad pengenalan memang bertulis Siti Naziyah Sheikh Mustafar. Cuma saya komersialkan ia jadi Nazia. Nama itu memang nama yang dipanggil arwah daddy (ayah) saya. Ia sangat melekat. Jadi kerana selalu teringat arwah daddy, saya memilih untuk menukar nama. Jadi nama Nadia tinggal kenangan.
“Ia juga sebagai tanda saya sayang sangat dekat arwah daddy. Ikutkan keluarga saya pun panggil saya dengan nama Nazia. Saya bukan hanya ada keluarga di Malaysia tapi di Singapura juga. Saya dilahirkan di Singapura dan mak pun memang dari sana. Makanya keluarga di Singapura selesa memanggil nama saya sebagai Nazia. Bezanya hanya datuk saya sahaja dengan nama Nadia,” jelasnya dalam satu temu bual bersama media sebelum ini.

Filem pertama lakonan Nazia yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata, Mia Qaisara, Qaliff Izham, Qaiem Quzey Izham dan Mia Qaleessa adalah ‘Buli’ pada 2004 dan pada tahun yang sama, dia muncul sebagai Yuli dalam filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’.
Lain-lain filem popular lakonan Nazia antaranya, adalah ‘Baik Punya Cilok’ sebagai Nazatul pada 2005, melakonkan watak Yah Koboi dalam filem ‘Man Laksa’ (2006) dan sebagai Munah dalam filem ‘Zombi Kampung Pisang’ (2007).
Manakala antara drama lakonan Nazia adalah ‘Rafflesia’ (2005), ‘Suria Di Cardoba’ (2011), ‘Lafazkan Kalimah Cintamu’ (2018), ‘Ironi Kasih’ sebagai Latisya (2020), ‘Menantu Dari Amsterdam’ dan banyak lagi.

Cuma kebelakangan ini saja, pasti ada yang perasan wajah Nazia kurang muncul di kaca televisyen atau layar lebar. Itu bukan bermakna Nazia tidak lagi aktif berlakon, cuma sekarang ini dia perlu menggalas banyak tanggjungjawab selain menjadi anak seni.
“Saya masih lagi berlakon cuma tidak sekerap dulu sebab sekarang ini banyak perkara yang perlu saya lakukan. Sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran drama Thariq Ridzuwan yang diadaptasi daripada novel Thariq Ridzuwan Commando’s: His Treasure, arahan Eyra Rahman.
“Sebelum ini banyak saja tawaran tapi terpaksa pilih sebab kekangan dengan perniagaan, kerja dan keluarga. Jadi nak bahagikan masa itu agak sukar. Saya ambil job itu apabila rasa boleh bagi komitmen untuk cerita itu kerana saya tidak boleh tinggalkan kedai, kerja dan famili terlalu lama.

“Dalam cerita itu, saya jadi ibu kepada Husniya Radwa lakonan Qasrina Karim, manakala Merqeen adalah menantu saya. Watak ini memang agak thrill. Untuk pertama kalinya saya perlu kerintingkan rambut yang lurus ini untuk ambil watak tersebut dan ini mencabar diri sendiri,” kata Nazia tentang watak lakonannya yang bakal ditayangkan menerusi slot Dramavaganza bermula 23 Julai ini di Astro Ria.
Sebagai anak seni, Nadia juga mempunyai impian tersendiri. Setiap insan yang bergelut dalam bidang seni lakonan, pengararahan, atau nyanyian pasti mendambakan anugerah untuk dijadikan kenangan.
Jelas Nazia, dia pun ada menyimpan impian untuk mengenggam trofi. Jika Impian tersebut menjadi kenyataan, adalah satu bonus untuk kerjayanya sebagai anak seni. Namun selepas sekian lama dalam bidang ini, Nazia lebih senang mengambil pendekatan, biar orang mengenali dan mengingatinya kerana kualiti kerja (lakonan) yang diketengahkan.

“Semua orang ada cita-cita, saya pun ada impian untuk mendapatkan anugerah tetapi sekarang ini, saya tolak tepi Impian tersebut. Cita-cita saya sekarang ini, saya nak orang kenali saya sebagai pelakon yang berkebolehan. Bukan glamor yang naikkan nama saya tapi saya naik hasil daripada apa yang saya buat.
“Contohnya, untuk lakonan saya perlu naik berdasarkan lakonan yang saya berikan tapi macam berniaga saya kena naik dengan apa yang saya buat. Orang suka dengan makanan yang saya buat. Saya bukan nak mencari glamor.
“Seni memang saya punya passion, saya tak akan ucap selamat tinggal dunia lakonan seab itu adalah passion saya. Selagi orang terima saya, selagi itulah saya akan berada di dunia seni. Begitu juga dengan dunia F & B (food and beverage) saya sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nazia dan suami yang telah menghasilkan beberapa drama menerusi produksi Megapine (M) Sdn. Bhd., berhasrat untuk membawa jenama Kampung Latah, idea mereka berdua ke layar lebar. Sebelum ini ‘Kampung Latah Kena Kuarantin’ dan ‘Kampung Latah…The Mummy’ yang disiarkan di Astro First mendapat sambutan hangat.
“Untuk tahun ini produksi kami belum dapat apa-apa projek tapi kalau boleh kami nak bawa jenama Kampung Latah ke filem pula. Apapun kena buat perancangan betul-betul.
“Lagipun sekarang ini, saya melakukan banyak kerja pada masa yang sama iaitu berlakon dan berniaga. Biasalah, kalau buat dua kerja dalam satu masa kenalah bijak membahagi masa,” katanya yang merupakan pemilik Rumah Makan Selebriti yang beroperasi di Seksyen 13, Shah Alam.

Selain berlakon, Nazia suka berniaga
Menurut Nazia, sejak sebelum bergelar isteri sampai sekarang dia sudah terbiasa melakukan banyak pekerjaan dalam masa yang sama.
“Sewaktu saya anak dara, masa saya dibahagikan untuk lakonan dan perniagaan. Bila saya sudah berkahwin, lakonan, perniagaan dan famili. Apabila sudah biasa jadi benda itu sampai saat ini saya dapat urus dengan baik.
“Memanglah sebagai manusia, ada ketikanya kita agak keletihannya sebab masa kita dibahagi kepada tiga perkara iaitu lakonan, perniagaan dan keluarga. Meskipun penat tapi saya enjoy dengan apa yang saya lakukan.

“Sebab lakonan dan perniagaan adalah dua perkara yang saya suka, jadi kalau rasa penat itu tolak tepi. Di waktu yang sama juga saya perlu beri perhatian pada keluarga walaupun anak-anak sudah besar. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan,” katanya.
Tambah Nazia, walaupun ada ketikanya, dia tidak ada di kedai tapi sebelum keluar, dia akan pastikan makanan yang disaji sentiasa mempunyai cita rasa yang sama.
“Di Rumah Makan Selebriti, kalau saya perlu berada di set penggambaran, saya akan pastikan semua staf tahu tugasan masing-masing. Saya ada seorang staf yang sudah tujuh tahun bekerja dengan saya, jadi pada dia saya turunkan ilmu pengurusan.

“Saya sentiasa pesan kepada staf, jaga SOP (Tatacara Pengendalian Piawai), Makanan kena berkualiti, tak boleh ada makanan lama. Memang saya pertanggungjawabkan kepada dia untuk mengurusnya.
“Selain shooting, saya memang suka memasak dan bagi saya perniagaan memberi orang makan adalah benda yang saya suka. Dulu saya pernah buka kedai makan untuk Daddy di Central Market tapi arwah dah tak ada, saya tutup.
“Kedai makan tu saya buka untuk dia. Saya rasa perangai saya dan Daddy sama sebab saya suka masak sedap-sedap. Daddy ni perangainya tak untung tak apa, janji orang yang makan masakannya rasa puas hati. Saya pun ada perangai macam Daddy sebab sasaran kami, setiap makanan yang nak dihidangkan kepada orang kena sedap.

“Arwah Daddy pernah menjadi tukang masak di kantin Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin dulu. Orang sana semua tahu, Daddy masak sedap. Saya tak tahulah hasil daripada air tangan saya ini turun daripada dia ataupun memang saya dilahirkan pandai masak atau pun boleh masak,” katanya yang menawarkan 16 menu untuk Rumah Makan Selebriti.
Antara menu istimewa yang boleh dinikmati di premis tersebut adalah nasi lemak berlauk, ayam goreng, ayam goreng bawang, nasi lemak rendang ayam, rendang daging, paru berlado, bilis petai, ikan dan telur puyuh.
Selain itu kata Nazia, kedai makannya juga ada menjual lontong lodeh, rendang daging, soto kriuk, mi rebus Singapura, cucur udang serta lontong darat Singapura mengikut cita rasanya yang diberi nama Lontong Darat Selebiriti.
“Selalunya kalau orang datang sini mereka akan rasa Lontong Darat Selebriti dulu. Sebenarnya menu-menu yang dikeluarkan adalah istimewa daripada saya. Dulu saya jual rendang saja, jadi rendang ini nak digabungkan dengan nasi lemak, lontong lodeh dan lontong darat. Sebab itu saya buat menu yang bersesuaian dengan rendang saya.

“Saya memang suka meniaga, bila saya berniaga saya bawa semua hasil daripada air tangan saya. Begitu juga kalau saya sertai ekspo tak kiralah sama ada kat Malaysia atau Singapura, saya akan jual biskut raya yang saya buat sendiri.
“Ada juga biskut raya yang saya ambil daripada orang kerana tidak semua benda saya boleh buat sendiri. Walaupun orang lain buat tapi saya akan pastikan produk tersebut sedap sebelum dijual. Selain itu, saya juga ada buat katering untuk hari raya sebab menu saya sesuai untuk majlis sebegitu untuk menu-menu yang saya jual saja. Insya-Allah dari hari ke hari saya akan buat penambahan menu.
“Perancangan untuk buka cawangan Kedai Makan Selebriti kedua memang ada tapi saya nak selesaikan yang ini biar betul-betul kukuh, baru boleh fikir yang kedua. Mungkin kalau nak buka, kat Johor atau Kuala Lumpur dulu,” kata Nazia yang mahu memperkembangkan perniagaannya itu.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.