Oleh: Wawa Najwa
USIANYA tujuh tahun dan baru saja melangkah ke alam persekolahan, Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Selangor, namun Tantari berjaya menarik perhatian ramai dengan suaranya yang tersendiri.
Tantari atau nama sebenarnya, Naufal Azahel Mohd Alfian berjaya mencetuskan fenomena dalam seni suara menerusi lagu sulungnya, “Rindu Hatiku Rindu”.
Dilancarkan pada 15 Februari lalu dan dalam tempoh tiga minggu saja, lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Jaju dan Hakim Hakimi itu di muat naik di saluran YouTube Nova Music berjaya meraih 1.6 juta tontonan.
Manakala di platform TikTok HafizFeisal pula, pencapaian tontonan video muzik lagu yang melodinya seakan lagu era 90- an ini melonjak sehingga 4 juta.
Tantari mula mendapat perhatian ramai apabila video persembahan dia menyanyikan lagu popular 90-an, “Cinta Melankolia” dendangan asal Allahyarham Aan dimuat naik ke akaun TikTok LoyyGoji pada 6 Januari lalu menarik lebih 300,000 tanda suka (likes).
Siapa sangka berdasarkan lagu rock kapak itu, Tantari dilamar oleh Molek FM dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, “Rindu Hatiku Rindu”.
Menurut Eddie, pertama kali menonton video tular Tantari menyanyi, dia terus tertarik dan tahu lenggok lagu yang sesuai untuk penyanyi cilik itu bawakan sebelum lagu itu ditawarkan kepada Tantari oleh Abang Sham selaku orang kuat radio Molek FM.
“Rindu Hatiku Rindu” juga merupakan karya pertama Eddie yang dibuat khas untuk penyanyi kanak-kanak seperti Tantari yang lahir pada 23 April 2017.
“Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik yang sesuai membawa lenggok lagu era 90-an. Kita juga perlu ketengahkan kanak-kanak yang berbakat sebagai pelapis penyanyi sedia ada.
“Walaupun dia masih kanak-kanak tapi saya tak ada masalah sewaktu membuat kerja-kerja rakaman di Studio NAR. Di studio, kami hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siapkan rakaman,” kata Eddie tentang Tantari.
Tambah Eddie, dia tak menyangka lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari itu akan menjadi tular dan mendapat sambutan luar biasa pendengar. Katanya, ini membuktikan bahawa walaupun zaman sudah berubah masih ramai yang meminati irama rock kapak.
Memandangkan Tantari masih di bawah umur, jadi lirik lagu yang ditampilkan tidak bolehlah keterlaluan sebaliknya perlu sesuai dengan usianya.
Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Tantari sebenarnya mula menyanyi lagu-lagu kegemaran penggemar muzik dewasa sejak berusia dua tahun.
Menurut bapanya, Mohd Alfian Othman, lagu pertama yang Tantari nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu 60-an iaitu “Oh Fatimah”.
“Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun apabila dia menyertai pertandingan nyanyian ‘Idola Kecil’ mula-mulanya di peringkat pra sekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama.
“Sebagai bapa, saya bersyukur sebab ramai yang suka dengan nyanyian Tantari. Kalau ikutkan, saya ni tak adalah suka menyanyi lagu rock kapak, ada lagu-lagu tertentu saja. Tantari suka menyanyi lagu berjiwa rock disebabkan saya ada bekalkan sound system di rumah orang kahwin.
“Jadi bila buat soundcheck dan latihan menyanyi di rumah, saya selalu aturkan lagu 80-an dan 90-an. Mungkin sebab saya selalu buka lagu-lagu sebegini membuatkan ia masuk ke dalam dirinya,” cerita Mohd Alfian tentang minat anak sulungnya itu.
Sejujurnya, kata Mohd Alfian yang juga guru silat itu, beliau tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran daripada Eddie Hamid untuk merakam lagu buat anaknya.
“Saya terus terima sebab saya berani katakan yang anak saya mampu buat dan alhamdulillah diizin Allah dan sekarang inilah hasilnya. Dari sentuhan terbaik komposer terkenal Eddie Hamid, ia menjadi.
“Sewaktu dalam studio, Tantari tak mengambil masa lama untuk rakaman kerana pihak Nova Music mahu terbitkan lagu itu dalam had waktu yang diberikan.
“Seingat saya pada hari buat rakaman tu kami datang ke studio pada jam 9 malam untuk mula rakaman dan selesai lebih kurang pukul 11.30 ke 12 tengah malam. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” katanya berkongsi pengalaman Tantari sewaktu di dalam studio rakaman.
Terus terang katanya, Tantari tidak mengikuti kelas vokal sebelum menjalani proses rakaman kerana semua persediaan dilakukan di rumah sahaja.
“Saya tak hantar dia ke kelas vokal sebab kami bukan dari keluarga senang nak hantar ke kelas vokal atau kelas muzik yang menelan belanja besar. Dia hanya kerap buat latihan di rumah dan disamping itu, kita menjaga waktu rehat, pemakanan dan kesihatannya,” ujarnya.
Meskipun Tantari meminati bidang seni, sebagai bapa Mohd Alfian tetap mengutamakan pelajaran anaknya dalam segala hal.
“Antara pelajaran dan seni, sejujurnya kami seimbangkan kedua-duanya sebab pelajaran penting termasuk ilmu agama yang perlu dititikberatkan. Dari segi penglibatan dia dalam aktiviti seni, minat dan bakat perlu ada.
“Pada saya, bakat yang ada pada dia adalah anugerah daripada Allah, jadi kita gunalah sebaiknya. Apa yang kita dapat semuanya adalah pemberian daripada Allah dan yang penting kita guna ke arah kebaikan,” tambahnya.
Mungkin secara kebetulan bakat nyanyian Tantari itu terbit daripada nama panggilannya sendiri. Tantari adalah nama watak yang dilakonkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem “6 Jahanam”.
“Nama panggilannya Tantari disebabkan dia adalah seorang pesilat dan saya adalah penggemar filem Tan Sri P. Ramlee. Dalam filem “6 Jahanam” watak Tantari adalah seorang pendekar dan seorang pesilat. Saya ambil nama itu dan berikan kepada anak saya. Sampai sekarang, melekat dia dipanggil Tantari,” katanya lagi.
Lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari kini boleh didengar di semua pelantar penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://youtu.be/LQZeGvclJSU?si=85uEkYd0I4CS9lXm
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.