Lagu-lagu Jay Jay sehingga sekarang disukai

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Koleksi Syed Wafa

Kehebatan penyanyi Jay Jay tidak perlu dipertikaikan lagi. Kelunakan suaranya yang memukau membuatkan beliau masih bertahan dalam industri muzik sehingga ke hari ini. Kemantapan vokalnya membuatkan Jay Jay masih menerima banyak undangan menyanyi berbanding artis-artis seangkatannya.

Suaranya menjadi aset berharga buat Jay Jay atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus. Disebabkan memiliki rangkaian lagu malar segar antaranya Rindu Bayangan, Belaian Jiwa dan Baju Hijau membuatkannya dirinya tetap diingati peminat. Malah lagu-lagunya inilah yang membuatkan Jay Jay bertahan sehingga hari ini.

Album kedua kumpulan Carefree, Kebebasan II pada 1979
Album ketiga kumpulan Carefree iaitu Kebebasan III

“Syukurlah lagu-lagu nyanyian saya semuanya lagu-lagu malar segar membuatkan diri saya terus diingati peminat. Kalau nak ikut cerita saya pun bukannya banyak dipaparkan didada-dada akhbar atau portal. Mungkin disebabkan saya ada banyak lagu malar segar membuatkan saya masih bertahan dan diingati kerana lagu nyanyian saya yang popular.

“Pada saya, jika hebat macam mana pun vokal kita, tanpa lagu yang baik dan sedap didengar, tiada gunanya. Saya juga bersyukur dan bertuah mendapat lagu-lagu yang baik dan saya masih berkarya pun disebabkan peminat masih mengingati lagu-lagu saya,” kata bapa kepada empat cahaya mata ini.

Album solo pertama Jay Jay pada tahun 1984

Dalam meniti usianya yang sudah melewati 60-an pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana Jay Jay yang popular dengan lagu Rindu Bayangan ini menjaga suara dan penampilannya yang tidak berubah dari dulu hingga sekarang.

“Sudah tentunya sebagai seorang penyanyi saya ada berpantang bila melibatkan makanan tapi tak adalah sampai tak makan pedas ke apa. Saya makan macam orang lain juga, cuma bila dah usia meningkat begini kenalah saya amalkan pemakanan cara bersederhana.

Jay Jay ketika menerima Anugerah Penyanyi Lelaki Popular anjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988.

“Itulah prinsip saya, makan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Saya juga jarang minum ais. Saya hanya ambil minuman berais pada masa tertentu seperti majlis, sebab dah tak boleh mengelak.

“Tentang jaga suara pula, saya tiada penjagaan yang khusus. Menyanyi adalah `periuk nasi’ dan pekerjaan saya…jadi kenalah menjaga suara. Dah berumur ni saya kenalah mengamalkan gaya hidup sihat seperti mendapatkan rehat yang cukup serta tidak merokok. Saya tidak merokok dan mungkin itu menjadi asbab kenapa suara saya masih ‘maintain’. Tambah pula kita ni penyanyi Malaysia, banyak menggunakan suara tinggi berbanding negara jiran,” kata Jay Jay yang sememangnya tidak merokok sejak muda lagi.

Jay Jay ( duduk dua dari belakang) bersama rakan- rakan artis sezamannya.

Kehebatan Jay Jay dengan lontaran vokalnya yang mantap membuatkan beliau memenangi pelbagai anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH-1988), Vokal Terbaik Lelaki pada Anugerah Industri Muzik (AIM-1998) dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu (1998) menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Jay Jay telah menghasilkan beberapa buah album ketika bersama kumpulan Carefree dan sebagai penyanyi solo.

Jay Jay (kiri) ketika menjayakan Konsert Satu Suara vol 3 bersama Ernie Zakri dan Datuk Siti Nurhaliza

Ketika bersama Kumpulan Carefree mereka tampil dengan album Kebebasan pada tahun 1979. Kebebasan II (1979), Kebebasan III (1980) dan album kompilasi The Best of Carefree (1993).

Manakala album solonya pula Jay Jay (1984), Kau Yang Tersendiri (1985), Keasingan Dalam Luka (1986), Kurnia (1988), Bersama (1990), Jay Jay ’97 (1997) dan Emosi (2009).

Gaya seorang artis yang versatile

Jay Jay bersyukur

Memandangkan sekarang ramai yang sakit seiring dengan pertambahan usia membuatkan Jay Jay yang popular dengan lagu Joget Angan Tak Sudah melahirkan rasa syukur kerana masih diberi kesihatan yang baik untuk mengizinkan dirinya terus beraksi di atas pentas

“Nak ikut dah usia-usia begini memang macam tak larat. Tapi minat yang mendalam dengan bidang nyanyian ini yang menguatkan semangat saya untuk terus menyanyi selagi peminat ingin melihat saya beraksi diatas pentas.

Jay Jay dan isterinya ( kanan sekali) bergambar kenangan bersama penyanyi, Dayangku Intan dan suami.

“Lagipun jika kita tidak sihat dan bila sudah berada di atas pentas, hilang semua rasa sakit. Itulah ajaibnya bila berada di atas pentas. Kalau dah namanya penyanyi, itulah dunia kami untuk melepaskan segala rasa dan perasaan ketika menyanyi,”ujar Jay Jay lagi.

Bercakap mengenai kenangan paling berharganya, Jay Jay menambah, sebenarnya dia mempunyai banyak kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar penyanyi.

Rakan seperjuangan…Jay Jay ( kiri ) bersama pelakon Amran Nasruddin dan Mubarak Majid.

“Antara kenangan paling membanggakan bila Siti Nurhaliza mengajak saya dan Ernie Zakri bergandingan dengannya dalam sebuah konsert. Dah lama saya pendam hasrat nak menyanyi bersama-sama Siti Nurhaliza di dalam konsertnya. Alhamdulillah, rezeki saya terlibat sama dalam Konsert Satu Suara Vol 3. Siti, kalau menyanyi, suaranya begitu sedap didengar. Apa saja lagu, Siti mampu nyanyikannya dengan begitu baik sekali.”

Wajah terkini penyanyi versatile Jay Jay menjamu selera di gerai sahabatnya Johan di Ampang.
Previous articleAmelina bahagia lihat anak-anak membesar
Next articleSuhaimi Sulaiman memberi sinar baru di RTM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here