Oleh Nury Kadir
Adakah anda bahagia? Bahagia itu terlalu sederhana dan sangat subjektif. Pada mata yang memandang apabila anda memiliki harta banyak, kaya dan keluarga yang sempurna, itulah erti bahagia. Namun bagi diri yang merasa belum tentu bahagia yang orang luar lihat itu adalah bahagia yang hakiki.
Lain orang lain nilai bahagianya. Ada bait-bait syair yang dinisbahkan kepada al-Hati’ah iaitu Jarwal bin Aus bin Malik al-‘Absi Abu Mulaikah, penyair Mukhadram yang hidup pada zaman Jahiliyyah dan Islam. “Dan aku tidak melihat kebahagiaan hakiki dengan himpunan harta. Tetapi orang yang bertakwa itulah sebenarnya orang bahagia”
Ada sebuah nukilan di dalam www.muftiw.gov.my. yang berkisah tentang kebahagiaan hakiki. Pernah ditanya kepada ahli hikmah: “Siapakah manusia yang paling bahagia?” Jawabnya: “Orang yang membahagiakan orang lain.”
Dengan sebab itu tidak pelik apabila Rasulullah SAW menyebut tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam, Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.” (Riwayat al-Bukhari)
Al-Mubarakfuri berkata: “Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang di bawah ialah yang meminta.”
Dalam Islam, terlalu banyak kalimah yang sama makna dengan kebahagiaan seperti lafaz al-Falah, al-Fauz, al-Najah, al-Sa’adah dan lain-lain. Dijelaskan di sini erti sa’adah berdasarkan sebuah hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas, Rasulullah SAW bersabda, “Empat tanda kebahagiaan; Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala empat tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)
Pada artikel akan datang kita huraikan tanda bahagia yang dimaksudkan dalam hadis tersebut. Sementara ini, kita cari dahulu erti bahagia yang didambakan oleh semua manusia. Bahagia itu sangat penting dalam kehidupan hari ini yang penuh dengan tekanan. Alasan tidak bahagia digunakan unuk bercerai, kerana tidak bahagia juga nekad melakukan cubaan bunuh diri dan tiada kebahagiaan dalam diri juga jadi punca kita saling menyakiti sesama manusia.
Sebenarnya Rasulullah SAW telah tunjukkan sifat-sifat yang membawa bahagia kepada sekelian alam. Hal itu disebut dalam firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminun, 1-10)
Syeikh al-Maraghi berkata di dalam tafsir ai-Maraghi: “menurut sebuah riwayat, sebahagian sahabat bertanya kepada Aisyah, “Bagaimanakah akhlak Rasulullah?” Aisyah menjawab: “Akhlak baginda adalah al-Quran.” Kemudian Aisyah membaca ayat: “قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ” hinggalah ke ayat “وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ”. Aisyah menambah, “Demikianlah akhlak Rasulullah SAW.”
Apa sebenarnya bahagia itu?
Al-Mutanabbi berkata, “Orang berakal akan menderita dalam kenikmatan kerana akalnya sedangkan orang bodoh akan bahagia dalam kesusahan.” Ini kerana fungsi dan sifat akal itu boleh membuatkan syurga menjadi neraka dan neraka menjadi syurga:-seperti dalam syair Milton.
Dr. Aidh al-Qarani dalam bukunya La Tahzan mengatakan, bukan suatu yang aneh jika ada orang yang memilih duduk di atas bebatuan. Mereka adalah pekerja yang mendapatkan upah sekadar secukupnya. Meski demikian, mereka menghadapi kehidupan seperti itu dengan senyum. Dada mereka terasa lapang, tubuh sangat kuat dan hatinya tenang. Semua itu disebabkan kesedaran mereka bahawa kehidupan yang sebenarnya adalah hari ini.Mereka tidak menyibukkan diri dengan mengenang masa lalu dan tidak cemas dengan bayang-bayang masa depan. Seluruh umur mereka dihabiskan untuk bekerja kerana kebahagiaan itu adalah kurniaan Ilahi.
Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.” (Riwayat al-Bukhari, Ibn Majah dan al-Tirmizi)
Kebahagiaan itu bukan pada istana Abdul Malik bin Marwan, bukan pula pada pasukan Harun al-Rasyid, bukan pada rumah mewah al-Jassas dan tidak juga pada harta simpanan Qarun. Kebahagiaan juga bukan terletak pada kitab al-Syifa’ karya Ibnu Sina, bukan juga dalam koleksi syair-syair al-Mutanabbi (diwan), dan tidak juga pada taman-taman Cordova atau kebun-kebun lainnya.
Kebahagiaan itu menurut para sahabat adalah sesuatu yang tidak banyak menyibukkan, kehidupan yang sangat sederhana dan penghasilan yang secukupnya sahaja.
Kebahagiaan ada pada Ibn al-Musayyib dengan ilahiyatnya (ketauhidan), Imam al-Bukhari dengan kitab Sahihnya, Hasan al-Basri dengan sifat kejujurannya, Imam al-Syafi’e dengan kesimpulan hukumnya, Imam Malik dengan sikap muraqabahnya (merasa sentiasa dalam pengawasan Allah), Imam Ahmad dengan sikap warakya dan Thabit al-Bunaniy dengan ibadahnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 120, maksudnya: “Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh.”
Kebahagiaan itu bukan berupa cek yang dapat ditunaikan, bukan berupa kenderaan yang dapat dijual beli, bukan berupa bunga yang dapat dicium harum semerbak baunya, tidak juga berupa gandum yang dapat ditumbuk dan bukan pula berupa kain yang dapat dibentangkan.
Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, adalah kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya dan adalah ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya.
Pernilaian normal, apabila kita memiliki banyak harta kemewahan dalam rumah, berlimpah segala sesuatunya serta dipenuhi semua bentuk kemudahan dan hal-hal yang disukai dan diminati, kita akan bahagia, senang, gembira dan hidup kaya. Justeru, semua itu menjadi sebab jiwa resah, tertekan dan hanya menambah masalah sahaja. Kerana bagaimanapun segala sesuatu itu pasti membawa keresahan, kesusahan dan kos yang mesti dibayar untuk mendapatkannya.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan janganlah engkau menunjukkan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Taha:131)
Sedangkan Rasulullah SAW, ternyata hidup dalam kefakiran, sering membolak-balikkan tubuhnya di tempat tidur kerana kelaparan disebabkan tidak ada sebiji kurma pun yang Baginda SAW dapati untuk menahan kelaparannya. Sekalipun demikian, Baginda hidup bahagia, tidak mempunyai banyak tekanan, jiwanya damai dan tiada yang mengetahuinya selain Allah SWT.
Dalam surah al-Syarh ayat 2-3, Allah berfirman, maksudnya:”Dan Kami telah meringankan daripadamu bebanmu (menyiarkan Islam). Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?”
Firman Allah SWT, maksudnya: “Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.” (Surah al-An’am:124)
Dalam sebuah hadis daripada Nawwas bin Sam’an, Nabi SAW bersabda, “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda, “Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.” (Riwayat Ahmad)
Jelaslah, orang yang berbuat baik akan selalu tenang. Sedangkan yang curiga akan selalu sibuk ingin tahu apa yang terjadi, apa yang terdetik di dalam hati orang lain dan benda apa saja yang bergerak adalah orang yang tidak bahagia?
Sepertimana firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 4, maksudnya: “Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.”
Mengapa? Kerana mereka melakukan kesalahan. Sesungguhnya orang yang melakukan kesalahan pasti merasa khuatir, curiga, goyah dan selalu dirundung oleh rasa takut. Jika perbuatan orang itu buruk, maka buruk pulalah prasangkanya. Dan, yang biasanya dia anggap sebagai khayalan adalah benar.
Jalan keluar bagi orang yang ingin bahagia ialah hendaklah selalu melakukan kebaikan dan menjauhi segala keburukan agar sentiasa aman. Firman Allah, maksudnya: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-An’am:82)
Dengan sebab itulah, doa yang kita dambakan kedua-dua kebahagiaan dunia dan akhirat menjadi kehendak dan tuntutan kita. Benarlah firman Allah SWT:
وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)
Inilah doa yang selalu kita baca setiap kali lepas solat tetapi kenapa masih tidak bahagia? Kita bagaikan berada di dalam terowong gelap yang meraba-raba mencari cahaya. Sebenarnya kita lupa kunci untuk membuka pintu bahagia. Apa itu kunci bahagia?
Untuk mengetahui kisah selanjutnya ikuti sambungan di Bahagian 2 erti sebuah kunci bahagia.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.