Mak Mah seniwati legenda yang sentiasa dirindui

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

SENIWATI Ruminah Sidek atau lebih dikenali Mak Mah bukan calang-calang ‘bintang filem’ sejak zaman kegemilangan filem Melayu pada era 1960-an dan sehingga hari ini beliau masih dikenali, diminati serta diundang berlakon dalam filem dan drama tempatan.

Walaupun beliau mula diperkenalkan dalam “Anak Bapak” filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang turut dibintangi AR Tompel, Roseyatimah dan Ibrahim Din terbitan Merdeka Studio pada tahun 1968, apa yang pasti sehingga hari ini nama ‘Mak Mah’ tetap kekal dan dalam industri filem hari ini.

FILEM “Anak Bapak” terbitan Merdeka Film Production telah melahirkan Mak Mah…sebutir bintang yang masih kekal hingga hari ini.
RUMINAH Sidek atau lebih dikenali ‘Mak Mah’ bersama P. Ramlee dalam satu babak filem pertama lakonannya “Anak Bapak.” Filem arahan P. Ramlee itu diterbitkan pada tahun 1968.

Bintang yang ‘dilahirkan’ dengan filem arahan Seniman Agong itu bukan hadir untuk mengejar populariti semata-mata sebaliknya dia datang dengan ‘package’ sebagai Seniwati!

Meskipun itu adalah filem pertama Mak Mah tetapi dengan bakat dan personalitinya yang menarik Mak Mah masih kekal sebagai Seniwati walaupun hampir enam dekad dalam industri.

MAK Mah dalam satu babak dari filem “Anak Bapak.”
P. Ramlee dan Mak Mah dalam satu babak dari filem “Anak Bapak.”

Realitinya sebagai Cik Norma yang tergila-gilakan Encik Harun (P. Ramlee) dalam filem berkenaan bukan sahaja membuatkan penonton ‘marah-marah sayang’ terhadap Cik Norma malah filem ini berjaya melahirkan sebutir bintang yang terus bersinar sehingga hari ini.

Itulah Seniwati Ruminah Sidek yang dilahirkan di Klang, Selangor pada 7 Disember 1946.

“GERIMIS” filem kedua lakonan Mak Mah diterbitkan pada tahun 1968 juga diarahkan oleh P. Ramlee sebagai bintang utama berpasangan dengan Chandra Shamugam.

Sejak memulakan kerjayanya sebagai anak seni pada tahun 1968, Mak Mah telah membintangi lebih 60 filem dengan filem terbaharu lakonannya “Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu” (2024) terbitan Metrowealth Sdn. Bhd.

Menjejakki kerjaya seni Mak Mah, apa yang pasti selepas filem pertama itu, beliau muncul dengan filem kedua “Gerimis” yang juga diarahkan P. Ramlee.

SELAIN Mak Mah, AR Tompel turut berlakon dalam filem “Gerimis.”
MAK Mah bersama Karim Latiff dan P. Ramlee dalam filem “Gerimis.”

Selain filem, Mak Mah juga banyak berlakon drama bersiri terbitan RTM antaranya Drama Minggu Ini: Hikayat Si Putera (1980) diikuti “Santan Berlada” selama dua tahun mulai 1985 diikuti “Hikayat Hang Setia”(1988).

Kini pada usianya 77 tahun, Mak Mah, ibu kepada enam orang anak termasuk Adlin Aman Ramli (melalui perkahwinan dengan AR Tompel) kini bahagia menjalani kehidupan melalui perkahwinan kelima pada 17 Mei 2014 bersama suaminya, Al Fatah Rahim Ismail, 79, peneroka di Felda Jelai, Negeri Sembilan.

ALLAHYARHAM A.R Tompel atau Aman Ramlie Jaafar adalah suami ketiga Mak Mah dan ayah kepada Adlin Aman Ramlie.
Beliau meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya pada 30 Januari 1973.

Walaupun sejak berkahwin beliau menjalani rutin hariannya sebagai penoreh getah bersama suaminya namun tawaran berlakon masih tetap ada.

“Menoreh merupakan rutin harian kami setiap pagi. Bersama suami, kami keluar rumah seawal 6.30 pagi dan balik kira-kira pukul 9 pagi.

FILEM “Toyol” arahan Malek Selamat terbitan Sabah Film Productions pada tahun 1980.
Selain Mak Mah filem ini turut dibintangi Sidek Hussain sebagai pelakon utama dan Rohani Yahya serta Sharifah Hasnor.

“Walaupun pada mulanya saya tidak tahu bagaiaman cara menoreh getah tetapi saya belajar daripada suami kerana saya ingin menemaninya setiap pagi ke kebun getah.

“Tetapi jika ada undangan berlakon yang mana kebanyakan lokasi penggambaran di Kuala Lumpur, suami akan menemani saya,” cerita Mak Mah yang kini hidup bahagia bersama suaminya peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan.

“KOLUMPO” sebuah filem
Sheikh Munasar, Rozi Izma dan Bront Palare dibintangi Sharifah Amani, Azad Jasmin, Nell Ng, Ruminah Sidek (Mak Mah) dan Soffi Jikan, Mano Maniam dan Radhi Khalid.

Menurut Mak Mah, walaupun beliau masih menerima tawaran berlakon namun terkilan dengan syarikat penerbitan yang mengamalkan sikap ‘double standard’ terhadap para pelakon lama.

Walaupun usianya mencecah 77 tahun, Mak Mah yang masih menerima tawaran berlakon sentiasa berpegang pada prinsip tegas terutama dari segi bayaran yang ditawarkan kepadanya sebelum membintangi sesebuah drama atau filem.

FILEM “Puteri Gunung Ledang” arahan Saw Teong Hin dengan skrip Allahyarham Mamat Khalid selain bintang utamanya Datuk M. Nasir dan Puan Seri Tiara Jacquelina, Mak Mah berlakon sebagai Nenek Kebayan.
Mak Mah sebagai Puteri Gunung Ledang yang menjelma menjadi seorang nenek tua dan M. Nasir sebagai Laksamna Hang Tuah dalam filem “Puteri Gunung Ledang.”

Baru-baru ini ketika menghadiri Minggu P. Ramlee di sebuah hotel terkenal di Pulau Pinang, Mak Mah yang saya temui dan bertanya mengenai isu ‘double standard’ bayaran antara pelakon lama dan baharu, tanpa berselindung meluahkan rasa terkilannya sambil berkata;

“Saya terkilan, sedih dan kecewa sangat dengan sikap pihak penerbitan yang memandang rendah pada artis lama dengan membezakan bayaran kami dengan artis baru.

MAK Mah dalam satu babak filem “Jangan Pandang Belakang” arahan Ahmad Idham terbitan Metrowealth Pictures pada tahun 2007.
Selain Mak Mah turut berlakon dalam filem ini ialah Pierre Andre, Intan Ladyana dan Khatijah Tan.

“Saya bukan orang baru dalam industri ini. Saya berlakon sejak zaman P. Ramlee tetapi ada yang menawarkan bayaran terlalu rendah untuk saya berlakon dalam sesebuah drama atau filem.

“Isu ini bukanlah baru, saya berharap pihak ‘berwajib’ harus pantau produksi yang cekik darah dan tidak bertanggungjawab ini.

MAK Mah dianugerahkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (2008) kerana lakonannya sebagai Mak Nek dalam filem “Pensil.”

“Jika mereka menawarkan bayaran setakat RM50 atau RM100 saya akan protes. Apa yang kita boleh buat dengan bayaran sebanyak itu?

“Apabila kita bekerja kita mahukan bayaran yang setimpal dengan hasil kerja kita. Tetapi kalau bayaran yang diterima hanya cukup untuk isi minyak kereta dan minum semangkuk cendol apa maknanya?

FILEM bisu pertama di Malaysia oleh M. subash “Jendela” dibintangi oleh Mak Mah.
MAK Mah turut berlakon dalam filem “Redha.”

“Saya tidak akan bertolak ansur dari segi bayaran dan jika berdepan dengan situasi dibayar murah saya akan mengadu kepada anak saya, Adlin Aman Ramli.”

Menurut Mak Mah, anaknya aktor Adlin memang tidak mahu ada orang yang ‘membulinya’ dan jika berdepan dengan isu bayaran beliau akan mencari anaknya itu.

“WARUGA” Kutukan Ilmu Hitam arahan Azaromi Ghozali filem terbaru lakonan Mah Mah.
Filem ini telah menemui para peminat pada 15 Februari 2024.

Mak Mah berkata, beliau pernah menasihat beberapa orang pelakon seangkatan dengannya agar tidak berlakon jika bayarannya tidak setimpal!

“Saya sering berpesan kepada artis lama sekurang-kurangnya pihak produksi mesti bayar RM700. Kalau kurang daripada itu tak payah ambil. Cakap kepada orang yang menawarkan berlakon ini pesanan daripada Ruminah Sidek.

MAK Mah bersama anak tercinta, Adlin Aman Ramlie.

“Saya tidak mahu pelakon menjadi mangsa! Pihak penerbit dibayar berpuluh ribu ringgit, kita pelakon lama dibayar ciput!” luah Mak Mah yang terkilan dengan sikap segelintir penerbit yang tidak berhati perut.

Malah beliau memberitahu bersama rakan artis veteran beliau pernah berpakat meletakkan harga standard sesuai dengan usia dan pengalaman mereka dalam bidang lakonan.

PASANGAN bahagia…Mak Mah bersama suaminya, Al Fatah Rahim Ismail.

“Artis dulu-dulu berpakat macam Arwah Datuk Aziz Satar. Saya bukan suka-suka letak harga tetapi ia sesuai dan lojik!,” kata Mak Mah.

Apabila ditanya mengenai tawaran berlakon, Mak Mah yang masih menerima undangan berlakon berkata;

WALAUPUN usianya sudah mencecah 77 tahun tetapi Mak Mah masih diundang berlakon drama dan filem.

“Jika ada undangan berlakon dengan bayaran yang sesuai saya terima.”

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Mak Mah sentiasa diberi kesihatan yang baik dan dirahmati oleh Allah SWT…Amin

SYED Wafa (Penulis) bersama Mak Mah ketika menghadiri Minggu P. Ramlee di Pulau Pinang baru-baru ini.
Previous articleWow!..Karyawan Anjur “Konsert Amal The Legends’ Bantu Insan Seni!
Next articleDaulat Tuanku!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here