Photo by Febry Arya: https://www.pexels.com/photo/a-woman-leaning-on-her-husband-s-shoulder-6639380/

Oleh : Nury Kadir

Sekali pun isteri redha untuk menyara keluarga namun tanggungjawab suami menafkahi isteri tetap tidak gugur. Apa yang isteri lakukan adalah sekadar membantu suami dan ia adalah ihsan dari isteri yang dijanjikan pahala oleh Allah. Namun itu bukan bermakna suami boleh mengambil kesempatan dan menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab tersebut kepada isteri.

Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (surah al-Baqarah:233)

Menurut Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, wajib bagi suami berusaha sedaya mungkin memberikan nafkah kepada keluarganya tanpa mengharap kepada pendapatan isteri semata-mata. Sekurang-kurangnya berusahalah menyediakan tempat tinggal yang selamat dengan peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak. Begitu juga dengan makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan melengkapkan rumah dengan produk penjagaan kebersihan untuk isteri serta anak-anaknya. Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan oleh syarak untuk menjaga keluarganya.

Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dengan menyediakan keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abi Hurairah RA, katanya:
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafkah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.” (Riwayat al-Daraqutni)

Jika suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak, ia dianggap sebagai satu dosa berdalilkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada bawah penjagaannya.”

Ada juga situasi, suami bukannya tidak berduit atau malas bekerja malah duitnya banyak tetapi kedekut untuk menyediakan nafkah bagi keluarga. Jika keadaan seperti itu bolehkah isteri mengambil duit suami sekadar perlu agar anak-anak tidak kelaparan tanpa pengetahuan suami? Boleh! Hal tersebut berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنْ هِنْدًا بِنْتُ عُتْبَةَ قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وهو لا يَعْلَم، فقال: خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوف
Maksudnya: “Hindun binti ‘Utbah berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan ialah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberi aku belanja yang mencukupi untukku dan anakku melainkan yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah perbelanjaan untukmu dan anakmu secukupnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tapi, ingat wahai isteri ambil sekadar perlu untuk mencukupkan keperluan asas nafkah keluarga sahaja dan bukannya untuk beli beg tangan berharga RM3000. Hal-hal yang di luar keperluan itu bukan nafkah namanya, jangan salah guna istilah. Kena tanya diri sendiri adakah beg tangan semahal itu satu keperluan?

Kemudian apabila disentuh apa yang lebih utama antara nafkah isteri dan anak-anak? Sudah tentu jawabnya, nafkah isteri itu adalah lebih utama berbanding anak. Dalil firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 34.
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.”

Juga perhatikan hadis ini daripada Jabir r.a katanya Rasulullah SAW bersabda,
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ …وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah. Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.” (Riwayat Muslim).

Photo by Mikhail Nilov: https://www.pexels.com/photo/man-pouring-a-coffee-on-a-white-mug-7593508/

Suami jadi suri rumah

Baru-baru ini dilaporkan trend suami memilh menjadi suri rumah berbanding bekerja mencari nafkah meningkat 70 peratus berbanding sepuluh tahun lalu. Alasannya, ramai golongan isteri yang bekerja dan mempunyai gaji jauh lebih tinggi berbanding suami.

Selain, faktor ekonomi dan desakan kos sara hidup yang semakin tinggi terutamanya untuk mengupah pengasuh anak. Jalan yang dipilih, salah seorang kena berkorban berhenti kerja untuk menguruskan anak dan rumah tangga. Malah ada juga yang memberi suami RM2000 sebulan untuk menguruskan anak dan rumah tangga.

Mengenai hal itu pula, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri cenderung mengatakan bahawa suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika isteri tidak redha. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.

Hendak ambil masa sedikit untuk terangkan hukum mahar. Mahar adalah apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab akad nikah. Persoalan ini pernah dibincangkan dalam www.muftiwp.gov.my. Hukum suami memakan mahar isteri ini terpakai untuk hukum suami menjadi suri rumah.

Perbahasannya adalah berdasarkan surah al-Dalil pensyariatan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Quran:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Maksudnya: Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya. (Surah al-Nisa’: 4)

Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 4 Surah an-Nisa’ di atas mengatakan: “Seorang suami wajib memberikan mahar untuk isterinya dengan penuh kerelaan dan jika wanita tersebut merelakan seluruh atau sebahagian maharnya untuk suaminya setelah disebutkan maka suaminya berhak memakannya (mengambilnya) sebagai sesuatu yang halal dan baik.”

Manakala dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula dinyatakan: “Majoriti fuqaha’ menyatakan bahwa suami tidak boleh mengambil manfaat (menggunakan) apapun yang dimiliki isteri seperti katil, wadah, dan lain-lain tanpa persetujuan isteri, sama ada harta itu hasil pemberian suami atau pemberian daripada orang lain, sama ada isteri menerima mahar atau tidak. Isteri berhak menggunakan harta yang dimilikinya sesuka hatinya sama ada untuk bersedekah, memberi hadiah atau tukar-menukar, selagi ia tidak membawa kepada kemudaratan.”

Boleh disimpulkan bahawa haram, hukumnya bagi suami memakan, menggunakan, mengambil manfaat daripada mahar isteri jika tanpa kerelaan dan kebenaran isteri, kerana mahar merupakan hak milik isteri yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Harus hukumnya bagi suami memakan, menggunakan, mengambil manfaat daripada mahar isteri jika dengan kerelaan dan kebenaran isteri.

Berbalik pada persoalan asal suami jadi suri rumah, boleh tetapi tidak digalakkan. Menurut kitab-kitab fiqh, semua tanggungan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami. Walaupun berlaku keredhaan dari pihak isteri, untuk menenangkan hati, berilah ganjaran yang setimpal kepada isteri yang telah memulakan rumah tangga dengan berjaya.

Apa yang suami boleh lakukan sebagai membalas jasa isteri kerana sanggup membantu meringankan tanggungjawab suami? Kerana, perempuan itu manusia emosi akan sampai ketikanya dia berasa tidak puashati dan terbeban. Sebelum itu terjadi…
1. Alangkah baik sekiranya suami tersebut memberikan kredit dan penghargaan di atas pengorbanan besar yang isteri lakukan selama ini. Sifat isteri yang sentiasa membantu suami adalah sangat terpuji. Berilah hadiah kepada isteri tersebut.
2. Suami janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada si isteri sedangkan pada hakikatnya, ia berada pada tangan suami.
3. Tanggungjawab yang sebenarnya tidak berpindah kepada isteri. Isteri hanya bersifat menolong dan membantu. Jika isteri tidak mahu membantu pun tidak menjadi kesalahan.
4. Suami wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada isteri dan inilah yang sebenarnya. Suami hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahi isteri serta keluarganya.
5. Tindakan isteri membantu keluarga adalah satu tindakan terpuji dan pengorbanan yang wajib suami berterimakasih kepada isterinya.
6. Bersyukur nescaya dicukupkan nikmat. Apa yang ada di depan mata dahulukan dengan syukur kerana nikmat itu bukan dalam bentuk kekayaan sahaja. Dikurniakan suami yang baik juga satu nikmat walaupun diuji tanpa pekerjaan. Ini kerana, ada juga terdapat musibah dalam kehidupan berkeluarga apabila suami bukan dari kalangan yang baik.
7. Sabar…senang pada ucapan tapi hendak melaksanakannya sukar. Tapi, tidak mengapa buat perlahan-lahan sentiasa berbincang kerana matlamat kehidupan adalah mencari mardhatillah dan kebahagiaan.
8. Jangan pernah putus berdoa. Hidup ini memang sukar. Namun walau sesukar mana, ia perlu dihadapi. Insya Allah, setelah kesusahan pasti datang kesenangan.
9. Perbanyakkan istighfar- Hadis riwayat at-Tabrani, daripada Abudullah bin Amru r.a. Nabi SAW bersabda maksudnya; “Zikir yang paling afdal ialah La ilaha illallah dan doa yang paling afdal adalah istighfar.” Kemudian Baginda SAW membaca ayat; Fa’lam annahu la ilaha illallaah was taghfir lizanbika (surah Muhammad: 19. Maksudnya, “Maka ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan yang patut disembah selain Allah, dan mohonlah keampunan ke atas dosamu…”)

Sebelum mengakhiri artikel ini dititipkan sepotong doa yang diambil dari al-Quran surah al-Furqan ayat 74,
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Previous articleSuara lemak merdu Rafeah Buang banyak digunakan Seniwati filem Melayu
Next articleKonsert Andy Lau empat malam berturut-turut

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here