FAUZIAH Nawi seniwati serba boleh

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

PADA usianya mencecah 71 tahun 26 Jun ini, Primadona Datuk Fauziah Nawi tidak pernah kenal erti lelah dalam berkarya dan melayari hidup sebagai anak seni apalagi meletakkan noktah pada kerjaya seninya.

Sebaliknya beliau yang telah menceburi bidang ini selama lima dekad dan pernah disenaraikan oleh akhbar Harian Metro pada tahun 2019 sebagai salah seorang daripada 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman.

BERDIRI dari kiri: Datuk Mustafa Fuzer, Mohd. Fauzi, Fauziah Nawi dan Fazidah.
DUDUK: Allahyarham Salmiah Sidek, Nasran Allahyarham Nawi Mukri.

Beliau dikatakan sentiasa mempunyai idea yang segar untuk meneruskan legasinya dalam bidang teater selain berlakon drama dan filem.

Betapa tidak, bekas juruhebah radio 4 yang pernah mengendalikan program ‘Selamat Pagi Malaysia, Morning Show, Your Host, Non Stop Music and Before We Say Goodnite’ dan Radio 3 Ibu Kota ‘Fascinating Malaysia’ dan ‘Manis-Manis Garam’ di Radio 1, bukan sahaja sibuk di lokasi memenuhi undangan berlakon malah tidak pernah serik untuk terus mengarah teater yang menjadi minatnya.

FAUZIAH Nawi ketika menjadi penari (dua dari kanan) bersama Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Fauziah pernah mengarah teater “Dari Bintang Ke Bintang 1 dan 2, Opera Ayu Cendana dan Muzikal Tok Rimau 1, Salina, Angin Kering, Malam Gelap Bukit Damansara, Korporat, Si Bereng Bereng, Jiwa Pulang dan Tali.”

Malah ketika negara dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021, sebagai pemilik Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefanie), beliau telah menerbit dan mengarah teater hybrid pertama di Malaysia “Matinya Seorang Pahlawan.”

FAUZIAH Nawi di awal penglibatannya sebagai penyanyi.
COVER album Fauziah Nawi “Si hitam manis berseri.”

Dengan dana hanya RM100,000 beliau tetap menerbitkan teater berkenaan tanpa sebarang keuntungan dengan bayaran pelakon terlalu kecil dan bersiaran secara maya selama lima hari bermula 12 Disember 2021.

Itulah Fauziah Nawi bekas juruhebah radio, pelakon, penyanyi, pengarah, penari dan pemilik Stefanie.

WAJAH seorang juruhebah, penyanyi, pelakon dan pengarah…Fauziah Nawi yang berbakat besar

Beliau berkahwin dengan Mohamad Hanif Gedek pada tahun 1975 dan menjadi ibu tunggal pada tahun 1996 apabila suami tercinta meninggal dunia.

Meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan, Fauziah Nawi membesarkan dua orang anaknya iaitu Mohamad Firdaus atau Pitt Hanif (meninggal dunia pada 26 Oktober 2019 kerana lemas apabila bot yang dinaiki terbelah dua di Jembatan Gemuncur, Kampung Mela, di Lipis) dan Siti Nor Fateha.

FAUZIAH Nawi bersama Rubiah Suparman (kiri) dalam sebuah lakonan mereka

Selepas meninggalkan RTM, Fauziah menceburi bidang lakonan dengan filem pertama lakonannya “Bintang Pujaan” (1981) sebagai Fauziah diikuti filem “Mawar Merah”(1987).

Sehingga kini beliau telah membintangi hampir 40 filem, lebih 100 drama dengan drama pertama lakonannya “Tahan Kinabalu”(1973) dan puluhan telefilem untuk siaran televisyen.

FAUZIAH Nawi sebagai Sharifah, ibu kepada Raja Ema dalam satu babak filem “Mawar Merah” arahan Rosnani Jamil terbitan RJ Filem yang diterbitkan pada tahun 1987.
Turut berlakon dalam filem berkenaan Mustafa Noor, Noraini Hashim, Razis Ismail, Zu Ghairi, Isma Aliff dan Halim Sabir.

Namun pada usianya akan mencecah 71 tahun, tidak pernah sedetik terlintas di mindanya untuk meletakkan noktah pada dunia seni yang telah mengenalkannya erti sebuah kehidupan yang penuh warna-warni.

“Saya masih ingat lagi, ketika itu, saya mengandungkan anak sulung, Pitt. Lama juga saya bekerja sehinggalah pada tahun 1995 saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga emak, bapak dan suami yang sakit.

FAUZIAH Nawi…primadona yang sentiasa memburu kejayaan.

“Diari saya sebagai pelakon bermula apabila saya menemani kawan saya berlakon drama ‘Tahan Kinabalu’ arahan Roslee Jalil.

“Kalau sudah ditakdirkan rezeki, ketika itu pengarah mencari pelakon tambahan dan saya dipanggil untuk menjalani ujibakat…akhirnya berjaya dan saya berlakon disamping Zaiton Hussain (Opah), Aziz Singah dan Seniwati Rosnani Jamil,” cerita Fauziah Nawi yang pernah menganggotai Suara F bersama Uji Rashid dan menyertai Bintang RTM sehingga semi-final, bagaimana bermulanya perjalanan seni beliau yang kekal sehingga hari ini.

FAUZIAH Nawi dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-12 (FFM12) kerana lakonannya dalam filem “Sayang Salmah” skrip dan arahan Mahadi J. Murat.
SATU babak daripada telefilem “Pondok Buruk” dengan pelakon utamanya Fauziah Nawi dan Allahyarham Ismail Din. Drama terbitan Opera Klasik arahan Rashid Sibir ini diterbitkan pada tahun 2002.

Meskipun sibuk dengan berlakon, namun Fauziah Nawi tidak pernah melupakan impiannya untuk menggenggam segulung ijazah.

Beliau merupakan graduan Sarjana (Master) dan berjaya menamatkan pascasiswazah dalam jurusan Ijazah Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) daripada Universiti Terbuka Malaydis (OUM) pada September 2018.

BERJAYA merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2018 menerusi lakonannya dalam “Pendosa Ingin Ke Syurga”
FAUZIAH Nawi bersama Trofi Tokoh Anugerah Sri Angkasa 2020 (ASA2020)

Bersandarkan penglibatannya dalam industri seni selama 50 tahun, beliau mendapat pengiktirafan negara apabila menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk yang dianugerahkan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 Julai 2023.

Sebelum ini, bintang versatile yang sinonim dengan watak airmata itu menerima Tokoh Seni Angkasa, Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) pada 30 Oktober 2022.

FAUZIAH Nawi bersama Sabri Yunus dalam satu babak drama lakonan mereka.

Selain itu, Fauziah Nawi pernah menerima Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-12 (FFM12) 1995 kerana lakonannya dalam filem “Sayang Salmah” dan pada Anugerah Skrin 2018 beliau memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama.

Pada Festival Filem Malaysia ke-31 tahun 2021, beliau menerima Anugerah Sepanjang Zaman.

LAKONAN mantap Fauziah Nawi

Sementara itu pada 7 Mei lalu, Fauziah Nawi diiktiraf sebagai bintang veteran dan aktivitis teater dengan menerima Anugerah Khas KARVITER pada Anugerah KARVITER 24 di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM).

Beliau diiktiraf kerana kecemerlangan dan ketokohannya dalam bidang seni dan teater sesuai dengan acara KARVITER iaitu pertandingan teater tahunan anjuran UM.

FAUZIAH Nawi dan Nabila Huda…dua watak utama telefilem drama “Jeti” arahan Janna Nick yang disiarkan di TV3 sempena Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 2021.
TIGA pelakon utama drama Hari Raya yang disiarkan baru-baru ini dengan pelakon utamanya Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi dan Azri Safix.

Kini walaupun usianya hampir mencecah 71 tahun, impian Fauziah Nawi mahu memburu PhD (Ijazah Doktor Falsafah) kerana baginya walaupun mempunyai pengalaman 50 tahun dalam bidang seni tetapi jika tiada sijil tidak akan mendapat bayaran setaraf dengan pengalaman sebaliknya hanya menerima token.

“Saya mahukan bayaran yang sepatutnya apabila bekerjasama dengan kerajaan ataupun sesetengah pihak berdasarkan pengalaman.

FAUZIAH Nawi ketika menjalani penggambaran dalam satu babak drama lakonannya.
FAUZIAH Nawi mengabadikan kenangan bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada majlis penganugerahan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) di Istana Negara pada 4 Julai 2023.

“Saya terkilan apabila bayaran saya dengan mereka yang ada sijil jauh berbeza.

“Saya pernah bercakap dengan seorang doktor di Universiti Sains Malaysia dan beliau beritahu kenapa orang lebih mendengar cakapnya berbanding saya yang mempunyai pengalaman 50 tahun. Sebabnya nama beliau ada gelaran ‘Doktor.’

KELUARGA bahagia…Fauziah Nawi (tiga dari kanan) bersama (dari kiri) Mhia Farhana (cucu), Siti Nor Fateha, Dhia Farhana, Thia Farhana, Allahyarham Pitt Haniff dan isteri, Farah Ahmad.
FAUZIAH Nawi bersama anaknya, Allahyarham Pitt Haniff.

“Saya tidak berkecil hati kerana itu adalah kenyataan tetapi pada waktu yang sama saya menerima penjelasannya sebagai cabaran,” kata Fauziah Nawi.

Kami di Ladybosz mendoakan agar impian Fauziah Nawi untuk memilik PhD dalam bidang lakonan akan tercapai. Amin.

KENANGAN indah Wafa bersama seniwati legenda Fauziah Nawi
Previous articleYakin Dengan Diri Anda Untuk Berjaya!
Next articleNana, Tomok bersatu selepas 25 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here