Oleh: Wawa Najwa
SELEPAS 25 tahun dalam bidang seni, baru sekarang penyanyi Siti Nordiana dan Tomok berkesempatan bekerjasama dalam sebuah karya.
Siti Nordiana atau Nana yang pada era awal kemunculannya popular dengan lagu Memori Berkasih duet bersama Acik Spin, sementara Tomok, vokalis kumpulan New Boyz cukup sinonim dengan lagu Sejarah Mungkin Berulang, kini bersatu dalam lagu Memori Mungkin Berulang.
Idea untuk berkolaborasi timbul apabila kedua-dua mereka berbual secara tidak sengaja dalam satu persembahan pentas.
Sudah pasti gandingan mereka dinanti oleh peminat kerana sepanjang mereka berada dalam bidang nyanyian, Nana dan Tomok tidak pernah hasilkan lagu duet bersama-sama.
Lagu Memori Mungkin Berulang masih mengekalkan ritma dan irama 90-an untuk mengembalikan zaman kegemilangan dunia muzik ketika itu.
Tempoh untuk merakam lagu baharu ini juga mengambil masa kira-kira setahun kerana kedua-dua penyanyi ini sibuk dengan pelbagai tugasan termasuklah fokus bertanding All Star Gegar Vaganza tahun lalu.
Untuk muzik video pula, suasana 90-an juga dikekalkan bertujuan untuk mengembalikan memori silam pendengar yang tidak henti-henti menyokong karier mereka di usia remaja hingga saat ini.
Antara yang diketengahkan termasuklah gaya pemakaian, aksesori serta lokasi penggambaran tetap kekal dengan era 90-an.
Muzik video ini diarahkan oleh pengarah drama tersohor Hadith Omar yang pernah mengarahkan beberapa drama popular lakonan Siti Nordiana seperti Dia Semanis Honey.
Tempoh pengambaran hanya mengambil masa selama dua hari iaitu bertempat di sekitar Bandaraya Melaka.
Memori Mungkin Berulang boleh didengar di platform digital muzik sejak 7 Jun lalu. Manakala video muzik (MV) boleh di strim di YouTube rasmi Siti Nordiana.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.