YUSNI Jaafar sering muncul bersama dalam video Klip Sudirman dan ini salah satu babak klip video lagu “Serba Salah.”

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

APABILA sebut nama Yusni Jaafar pasti terbayang di mata anda artis berbadan gempal yang memiliki seraut wajah yang cantik menawan serta tidak jemu mata memandang.

Kehadiran Yusni Jaafar, adik kepada Seniwati Kasma Booty dalam bidang seni bukan sekadar menumpang populariti Seniwati yang cukup terkenal pada tahun 1950-an itu tetapi beliau datang dengan ‘package’ tersendiri.

YUSNI Jaafar bersama kakaknya, Allahyarham Seniwati Legenda Kasma Booty.

Jika tidak mana mungkin beliau sering muncul atau diundang sebagai artis dalam setiap program hiburan yang dihoskan oleh Penghibur No: 1 Asia, Datuk Sudirman Haji Arshad.

Bagi anda yang sering menonton rancangan hiburan terbitan RTM pada tahun 1980-an, pasti masih ingat dan tertanya-tanya kenapa dan mengapa program yang dihoskan Allahyarham Sudirman pasti ada Yusni Jaafar.

SUARA Yusni Jaafar berbakat sebagai penyanyi dan
memang lunak didengar apabila menyanyi.
YUSNI Jaafar sentiasa menjaga penampilan dan nampak cantik dengan fesyen kebaya pendek.

Tidak kira apa program hiburan walaupun sempena Hari Deepavali, bila mana ada Sudirman pasti Yusni Jaafar akan muncul. Mereka berdua bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan.

Bagaimanapun apabila anda menelusuri perjalanan seni ibu kepada Raja Ema ini, anda akan mendapat jawapannya kerana Allahyarham Yusni Jaafar sebenarnya bukan calang-calang artis!

YUSNI Jaafar bukan setakat boleh menyanyi malah beliau juga berbakat sebagai penari.
YUSNI Jaafar dalam satu sketsa rancangan komedi terbitan RTM.
PADA awal kemunculannya Yusni Jaafar dan AR Badul pernah menjadi penghias muka depan Majalah Lagu-Lagu Filem & TV pada tahun 1978.
YUSNI Jaafar, S. Shamsuddin, Ibrahim Pendek dan Sukarni Jaafar antara pelakon utama yang
membintangi filem “Setinggan” arahan Datuk Aziz Sattar terbitan tahun 1981.

Yusni adalah seorang artis yang ‘supertalented,’ cantik, ‘original’ sebab itu, walaupun berbadan besar tetapi kebolehan beliau menyanyi, menari, berlakon dan berlawak membuatkan nama beliau cukup terkenal!

Bersandarkan bakat dan popularitinya beliau bukan sahaja menjadi pilihan untuk persembahan TV dan pentas malah namanya sentiasa ‘lekat’ di ingatan Sudirman!

RAJA Ema mewarisi bakat seni ibunya, Yusni Jaafar.
KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak dan ibu yang sama cantik dan berbakat dalam bidang seni!
YUSNI Jaafar bukan setakat boleh menyanyi, berlakon, melawak malah beliau juga boleh menari dengan baik.
Begitu juga Raja Ema…berbakat sebagai penyanyi dan pelakon.
YUSNI Jaafar menari bersama anaknya, Raja Ema dalam satu program terbitan RTM.
KEDUA-duanya memiliki suara yang lunak…itulah Yusni Jaafar dan anaknya, Raja Ema.

Disebabkan itu, tidak hairanlah Yusni Jaafar menjadi ‘kesayangan’ Sudirman bila mana beliau akan muncul bukan sahaja menyanyi malah dalam Sketsa Komedi Hari Raya, Yusni Jaafar bersamanya.

Beliau diundang dalam setiap program hiburan yang dihoskan Sudirman bukan untuk menjadi bahan ketawa tetapi bakat yang dia ada.

YUSNI Jaafar dan Sudirman dalam satu sketsa komedi sempena Hari Raya.
YUSNI Jaafar dan Sudirman dalam satu babak sketsa Hari Raya terbitan RTM pada tahun 1980-an.

Itulah artis serba boleh Yusni Jaafar Siddik atau lebih dikenali Yusni Jaafar yang dilahirkan di Tumpat, Kelantan pada tahun 1945 dan cukup popular dengan watak komedi dalam filem-filem era 1980-an.

Bersama Sudirman, Yusni telah merakamkan lebih daripada lima video klip antaranya “Bercanda Di Pasiran Pantai” di Port Dickson dan “Bila Wajahmu Kubayangkan” di funfare dan “Hidup Sederhana (Basikal Tua).”

WALAUPUN bertubuh kecil tetapi semangat Sudirman memang ‘besar’ dan sanggup mengayuh basikal dalam satu babak klip video lagu “Hidup Sederhana” (Basikal Tua).
WALAUPUN banyak dugaan, Yusni Jaafar jatuh beberapa kali dan mengalami kecederaan ketika jatuh dari basikal, beliau tetap mahu membonceng basikal bersama Sudirman dalam klip video “Hidup Sederhana” (Basikal Tua).

Melihat video klip yang dihasilkan dari idea Sudirman memang menyeronokkan tetapi tahukah anda cerita di sebaliknya?

Dalam satu segmen program hiburan terbitan RTM yang menggabungkan Datuk Habsah Hassan, Jaafar Onn dan Yusni Jaafar selepas Sudirman meninggal dunia, Yusni menceritakan pengalamannya menjalani rakaman video klip “Hidup Sederhana” walaupun ‘penat dan sakit’ tetapi ianya menyeronokkan.

YUSNI Jaafar, Datin Paduka Julie Sudiro dan Sudirman dalam satu segmen rancangan hiburan terbitan RTM.
SUDIRMAN dan Yusni Jaafar dalam satu babak komedi rancangan hiburan sempena Hari Raya.
WALAU dimekap ‘comot’ Yusni Jaafar tetap nampak comel!

“Saya tak boleh lupa rakaman video klip Basikal Tua. Maklumlah dia tu dahlah kecik tetapi semangatnya memang kuat!

“Tiga empat kali saya jatuh. Kain saya koyak dan kaki berdarah.

APABILA Yusni Jaafar menjadi ‘baby girl’ Sudirman dan puting sentiasa di mulutnya.
SUDIRMAN dan Yusni Jaafar ketika menjalani rakaman klip video “Bercanda Di Pasiran Pantai” yang dirakamkan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Disebabkan ‘geram’ sampai saya cakap engkau ni tak padan kecik ada hati nak tolak kita yang besar,” cerita Yusni Jaafar pengalaman menjalani penggambaran klip video berkenaan di Port Dickson.

Menurut Yusni Jaafar, walaupun penat tetapi beliau dan Sudirman puashati dengan hasilnya.

YUSNI Jaafar bersama Sudirman dalam satu babak di funfare ketika rakaman klip video lagu “Bila Wajahmu Kubayangkan.”
YUSNI Jaafar bersama Sudirman dan Atai dalam rancangan hiburan terbitan RTM pada akhir tahun 1980-an.

Yusni Jaafar yang dikahirkan dalam keluarga seni mula berlakon sebagai ekstra dalam filem “Keris Sempena Riau”(1961) diikuti “Tangkap Basah”(1963).

Bagaimanapun filem “Panglima Badol”(1979) wataknya sebagai Keembong arahan Hussein Abu Hassan telah memperkenalkan Yusni Jaafar sebagai pelakon berbakat dan diminati ramai.

GANDINGAN mantap …. Sudirman, Noor Kumalasari dan Yusni Jaafar dalam program hiburan terbitan RTM pada tahun 1980-an.
SUDIRMAN bersama sahabat baiknya Noor Kumalasari dan Yusni Jaafar ketika menerima Anugerah Dayausaha Guiness pada tahun 1989.
YUSNI Jaafar turut berlakon dalam filem “Pening-Pening Lalat” arahan AR Badul diterbitkan pada tahun 1990.

Sejak itu satu persatu tawaran berlakon yang diterima dan sepanjang empat dekad, beliau telah membintangi lebih 40 filem, siri komedi TV disamping drama bersiri siaran televisyen.

YUSNI Jaafar bukan sahaja mempunyai suara yang lunak didengar malah beliau juga mampu membuat penonton ketawa!

Yusni Jaafar yang berkahwin dengan Raja Ibrahim Raja Mansor mempunyai lima orang anak iaitu Raja Iskandar, Raja Ema, Raja Izat, Raja Emy dan Raja Irna. Hanya Raja Ema yang mengikut jejak beliau sebagai penyanyi dan pelakon popular pada akhir 1980-an dan awal 1990-an.

Sepanjang penglibatannya sebagai pelakon dengan filem terakhir lakonannya “Los dan Faun,” Yusni Jaafar telah dianugerahkan Pelakon Wanita Komedi Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-8 pada tahun 1989.

DHARMA Harun Al-Rashid, Hamid Gurkha, Nora Shamsudin, Norlia Ramlee, Ibrahim Pendek dan Yusni Jaafar antara pelakon yang membintangi filem “Sikit Punya Gila.”
YUSNI Jaafar turut berlakon dalam filem “Laila Isabella” filem arahan Rashid Sibir yang diterbitkan pada tahun 2003.
YUSNI Jaafar dan Rosyam Nor dalam satu babak filem “Laila Isabella.”

Yusni Jaafar menghembuskan nafas terakhir kerana kegagalan hati pada usia 63 tahun pada 1 April 2008 di Hospital Selayang.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ, Selangor.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

YUSNI Jaafar hadir dalam dunia seni dengan package tersendiri … berbakat, menarik dan suaranya memang ‘sedap’ didengar.
KENANGAN indah Wafa bersama Yusni Jaafar.
Previous article“Masa” Amat Berharga!
Next articleSelamat Hari Raya Aidiladha!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here