Norlia Ghani dari Ratu Cantik ke dunia seni

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Norlia Ghani/Koleksi Syed Wafa

Bertuah pelakon veteran, Norlia Ghani kerana bakatnya dicungkil Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1969 membuatkan Norlia Ghani, 76, terus bertahan dalam dunia lakonan sehingga ke hari ini.

Bercakap mengenai pembabitan awalnya terbabit sebagai pelakon, Norlia yang mesra menggelar dirinya Mama berkata, semuanya bermula kerana minatnya sebagai penyanyi dan sering menerima upah antara RM5 hingga RM10.

Norlia sewaktu remaja

“Masa remaja berumur 17 tahun, Allahyarham Datuk M. Daud, Bekas Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), ajak Mama ikut bandnya Pasukan Bomba dan Penyelamat menyanyi di majlis-majlis keramaian mahupun perkahwinan. Mereka juga suka ajak Mama menyanyi bila ada hari tentera mahupun hari polis.

“Selalunya bila ada majlis hari Tentera atau Polis sudah pasti ada Pertandingan Ratu Cantik dan selalunya, ahli band suruh Mama masuk pertandingan tersebut. Mama, pantang di suruh…Mama memang tak malu. Mama masuk semua pertandingan tersebut. Biasalah adat bertanding, ada yang Mama menang dan ada yang kalah.

Kenangan Norlia (paling kiri) bersama P.Ramlee dan Saloma.
Filem Kanchan Tirana merupakan filem pertama lakonan Norlia Ghani

“Mama pernah menang pertandingan Ratu Selangor dan waktu masuk pertandingan Ratu Cantik Pandilongan di bangunan MARA, rupanya jurinya adalah orang filem seperti Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Allahyarham Omar Rojik, Allahyarham S.Kadarisman dan Datuk Sarimah Ahmad.”

Norlia yang kini menetap di PPR Desa Tun Razak Cheras menambah, “Walaupun tidak menang gelaran ratu, namun Mama dinobatkan sebagai ‘Ratu Fotogenik’. Selesai pertandingan, P.Ramlee mintak gambar dan Mama di suruh datang uji bakat di Studio Merdeka (sekarang Finas) pada keesokan harinya. Mungkin dah rezeki, uji bakat pagi dan petang itu Mama terus berlakon filem Kanchan Tirana bergandingan dengan Jins Shamsudin sebagai Cempaka.

Wajah ayu Norlia sebagai Cempaka dalam filem Kanchan Tirana.
Norlia sebagai Cempaka dalam filem Kanchan Tirana telah menjadikan beliau seorang anak seni
Filem pertama lakonan Norlia bergandingan dengan Jins Shamsuddin dalam Kanchan Tirana.

“Masa uji bakat tersebut, Mama buat macam biasa saja. Mama memang muka tak tahu malu, jadi Mama beraksi macam biasa saja. Waktu itu, Mama tak terfikir apa orang suruh buat atau lakukan, Mama ikut saja. Ialah mana Mama tahu erti popular atau glamour… Mama anggap uji bakat itu macam kita bekerja dan kenalah kita buat kerja bersungguh-sungguh.

“Bila fikir balik, P Ramlee ini seorang pengarah yang berpengalaman. Dia pandai naikkan mood. Waktu tu Mama berusia 17 tahun, apalah yang Mama tahu dan asas lakonan pun tak ada. Namun Allahyarham sabar dan pandai layan Mama hingga beliau dapat apa yang seorang pengarah inginkan daripada pelakonnya.”

Kenangan Norlia bersama pelakon Ismail Mahmud.
Norlia turut terlibat dalam filem.Dr. Rushdi hingga nama anak pertamanya diberi nama watak tersebut iaitu Rushdi Ramli.

Norlia Abdul Ghani anak kelahiran Jalan Raja Uda, Klang ini merupakan anak ke-5 dari 11 orang adik –beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Methodist, Klang dan pernah berkahwin sebanyak dua kali termasuk perkongsian hidup bersama Ramli Ismail yang dikurniakan empat orang anak termasuk pelakon terkenal Rusdi Ramli.

Norlia juga tidak menyangka daripada minat suka menyanyi, beliau beralih ke dunia lakonan pula. Sepanjang kariernya bersama P.Ramlee, Norlia berasa bangga dan bertuah kerana pernah bergandingan dengan P.Ramlee dalam tiga atau empat buah filem.

Norlia turut membintangi filem Panglima Badol.
Norlia ketika membintangi filem Panglima Badol.

Ternyata bakat lakonan beliau telah menarik perhatian pengarah S.Kadarisman untuk melamar beliau berlakon untuk filem kedua, Panglima Harimau Berantai (1969). Begitu juga dengan pengarah Sudarmaji yang begitu kagum dengan bakat lakonan Norlia.

Sepanjang pembabitannya sebagai pelakon, Norlia Ghani telah muncul dalam 20 filem, lebih 30 drama dan 22 telefilem. Pada usia 76 tahun, Norlia masih diberi kudrat dan kekuatan untuk terus menjadi pelakon.

Tuan Badul antara filem lakonan Norlia
Pesona wajah, bekas Ratu cantik Norlia Ghani.

“Sambil berlakon, dalam waktu yang sama, Mama masih juga menyanyi. Bila Studio Merdeka semakin muram, Mama beralih berlakon dalam radio dan drama televisyen pula. Bila tak berlakon, Mama juga menyanyi di kelab-kelab malam, pub dan lounge.

“Bila mereka tengok Mama boleh menyanyi, syarikat rakaman Life Rekod turut merakamkan lagu, Suami Isteri untuk Mama bergandingan dengan penyanyi Hang Mokhtar. Mama juga pernah muncul dalam album lagu komedi bersama Allahyarham Yahya Sulong dan Hamid Gurkha,” ujar Norlia lagi.

Drama Opah juga berjaya mengangkat nama Norlia di persada seni
Keluarga bahagia dalam drama Opah
Penampilan Norlia dalam drama bersiri Opah.
Watak Norlia sebagai Joyah sentiasa dirindui dalam drama bersiri Opah.

Ditanya serapat mana hubungannya dengan P Ramlee, tambah Norlia,“Kami rapat kerana arwah bekas suami Mama, Ramli Ismail macam PA dan adik angkat P Ramlee. Jadi kami selalu ke rumah P Ramlee di Setapak dan Mama pula tinggal di Ulu Klang. Kami dah macam keluarga dan bila P Ramlee meninggal dunia tahun 1973, kami pindah untuk tinggal bersama Saloma.”

Walaupun sudah terlalu lama Norlia memulakan kariernya sejak tahun 1969 berbakti dalam dunia lakonan dan ketika ditanya sehingga bila beliau akan terus berlakon, jelas Norlia sambil ketawa,“Mama tak pernah tetapkan masa sehingga bila nak terus berlakon. Selagi orang percaya lakonan dan bagi tawaran, selagi itu Mama akan terus berlakon.

Norlia tampil dengan gaya tersendiri
Norlia bersama rakan artis Nash Lefthanded

“Lakonan inilah punca rezeki Mama sejak dulu hinggalah sekarang ini. Tapi tengoklah, kalau satu hari nanti, Mama dah tak berdaya nak berdiri pun, melampaulah kalau nak terus berlakon lagi.”

Antara filem yang pernah dibintangi Norlia adalah Panglima Harimau Berantai pada tahun 1969, Dr. Rushdi, Kembang Layu (1970), Asmara Kirana, Pedang Sakti, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1971), Belang Pertanda (1972),Panglima Badol (1979), Tuan Badul, Adik Manja (1980), Sikit Punya Gila (1982), Mekanik, Bertunang dan Aku Yang Berhormat (1983).

Gambar kenangan Norlia Ghani bersama anak- anaknya ketika kecil.
Norlia ibu yang penyayang dan baik hati bersama anak-anaknya.
Rushdi mengikut jejak langkah ibunya bergelar pelakon.

Seterusnya filem Marah-Marah Sayang (1987), Tarik-Tarik, Bisikan Cinta, Siapa Dia?, Anak Mami The Movie, Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Cinta Luar BIasa, Bujang Senang, Jalang dan lain-lain lagi.

Norlia turut berlakon dalam filem Anak Mami The Movie
Lakonan mantap Norlia dalam filem Mami Jarum
Norlia masih diberi kepercayaan melakonkan watak ibu dalam drama Terbuka Pintu Syurga.
Gandingan mantap Norlia (tengah) bersama Nabila Huda (kanan) dan Fauziah Nawi dalam drama Syawal Untuk Semah.

Impian Norlia yang belum kesampaian

Mungkin nama Norlia Ghani tidak segah pelakon popular zaman sekarang, pada golongan generasi baru, Namun lakonan watak ‘Joyah’ dalam drama bersiri terkenal Opah berjaya mempopularkan serta menaikkan nama Norlia sehingga hari ini.

Menyentuh mengenai impiannya yang masih belum kesampaian, kata Norlia lagi, Impiannya yang masih belum kesampaian adalah untuk bergelar dan mendapat Anugerah Pelakon Terbaik.

Babak menyentuh jiwa Norlia (tengah) bersama Nabila Huda (kanan) dan Fauziah Nawi dalam drama Syawal Untuk Semah.
Norlia dalam filem Tilam Perca
Allahyarham Fetty Dzul antara rakan artis yang rapat dengan Norlia

“Tanyalah mana-mana pelakon, setiap pelakon impikan gelaran Pelakon Terbaik…begitu juga dengan Mama dan setakat ini gelaran itu saja yang belum Mama dapat. Gelaran Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH-2018) tu Mama dah dapat…tapi Mama nak diiktiraf Pelakon Terbaik…ibarat macam kita pergi periksa dan dapat keputusan bagus termasuk sijil.”

Menurut Norlia lagi,“Opah adalah drama pertama Mama dan watak Joyah turut melonjakkan nama Mama, sekali gus memperkenalkan Mama kepada kepada kelompok peminat terutamanya penduduk di pedalaman dan ceruk kampung juga kenal Mama dengan nama tersebut.

Keluarga bahagia Norlia Ghani.
Keluarga besar Norlia Ghani berama anak, menantu dan cucu.

“Sampai sekarang masih ada yang memanggil Mama dengan nama Joyah, lebih-lebih lagi penonton luar bandar. Mama bertuah kerana dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Zaiton Hussain, Khatijah Abu Hassan, Zami Ismail dan ramai lagi,” katanya mengenai drama terbitan 1983 ini.

Wajah terkini Norlia Ghani yang masih cantik dan menawan.
Previous articleJadikan Hidup Anda Selalu Ceria!
Next articleRM5,000 menanti pemenang Pertandingan ‘Bey Sobar Bey’ Freestyle Dance

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here