Image by wirestock on Freepik

Oleh Nury Kadir

Perkataan childfree mula digunakan pada 1901 yang memberikan gambaran hidup bebas pasangan suami isteri tanpa anak atau keturunan. Kemudian istilah tersebut digunakan secara meluas oleh golongan feminist sekitar tahun 1970an. Ideanya adalah pasangan memilih cara hidup tanpa anak sama ada atas desakan hidup atau memang suka-suka.

Dalam kajian yang dilakukan oleh sarjana, istilah childfree ini juga merujuk kepada ibu bapa yang tinggal sendirian tanpa anak-anak di sisi. Konsep cara hidup childfree menjadi trend bermula 2014 seiring dengan ledakan capaian internet di seluruh dunia.

Asalnya ia dipopularkan oleh Barat yang berfikiran bahawa memiliki anak adalah sesuatu yang menyusahkan dan menganggap membawa satu kelahiran ke dunia adalah satu perkara yang salah. Alasannya dunia dan hidup ini penuh dengan kesukaran dan mendedahkan anak kepada kesukaran adalah satu kesalahan.

Kajian yang dijalankan di Belanda pada 2020, kebanyakan wanita berkerjaya dan mempunyia taraf pendidikan tinggi cenderung memilih cara hidup childfree. Di China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Eropah, Belgium, Belanda, Kanada, United Kingdom, Amerika Syarikat, Sweden, Rusia dan New Zealand kebanyakan wanita yang berpendidikan tinggi memlilih untuk tidak mempunyai anak.

Di negara China misalnya, apabila kerajaan mengubah dasar sistem pendidikan tinggi maka ramai wanita yang berjaya mendapat ijazah dan mempunyai kerjaya setara dengan lelaki. Dasar diskriminasi majikan menyebabkan wanita berkahwin memilih untuk tidak memiliki anak. Majikan skeptikal kepada wanita berkahwin akan mengandung anak pertama dan tahun berikutnya melahirkan anak ke-2. Wanita yang melahirkan anak terpaksa mengambil cuti bersalin. Ditambah dengan kos kehidupan yang tinggi telah memaksa pasangan memilih cara hidup tanpa anak.

Manakala di Taiwan, memiliki haiwan peliharaan itu lebih baik berbanding mempunyai anak. Kajian pada 2020, mendapati isi rumah di Taiwan lebih banyak haiwan peliharaan berbanding anak. Begitu juga dengan Korea Selatan, faktor ekonomi dan budaya kebanyakan orang muda memliih untuk tidak berkahwin jauh sekali memiliki anak.

 

Cara hidup itu berjangkit ke Vietnam, pada 2023 kebanyakan pasangan memilih untuk tidak memiliki anak demi memfokuskan pada kerjaya dan kehidupan yang selesa.

 

Di Barat dan Eropah, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak adalah sesuatu yang normal. Malah dijadikan perbandingan pula bahawa wanita yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak lebih berjaya dan kaya berbanding lelaki tanpa anak dan wanita yang mempunyai anak.

Image by wirestock on Freepik
Image by pch.vector on Freepik

Peranan internet dan media sosial telah membawa gaya hidup itu ke negara-negara Islam dan Asia Tenggara. Bukan Malaysia sahaja yang berdepan dengan masalah pasangan muda berbangga dengan gaya hidup childfree tetapi Indonesia juga menghadapi masalah yang sama.

 

Sebelum berbincang lebih lanjut apa hukumnya pasangan memilih gaya hidup childfree, mari sejukkan hati dahulu dengan untaian kata daripada ulama, ayat al-Quran dan hadis. Daripada ayat al-Quran dan hadis itu ada ulama yang menghukumkan childfree itu dilarang dan ada yang mengatakan ia diharuskan.

 

Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulûmuddin mengungkapkan, “Usaha meneruskan keturunan merupakan suatu yang bernilai ibadah dalam empat sudut. Semuanya merupakan pokok anjuran menikah, kerana didalamnya terdapat rasa aman dari gejolak syahwat, sehingga tidak ada seorang yang suka bila bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak menikah.

 

Pertama, menggapai redha Allah dengan berusaha melahirkan anak keturunan untuk mengembangkan umat manusia. Kedua, mencari redha Rasulullah SAW dengan meramaikan keturunan yang membanggakan. Ketiga, mengharapkan keberkahan dari doa anak yang soleh selepas kematiannya. Keempat, mengharapkan pertolongan (syafa’at) dengan sebab kematian anak yang mendahuluinya.”

 

Ada sebahagian ulama yang menjadikannya hujah untuk mengatakan bahawa childfree dalam Islam merupakan sesuatu yang dilarang. Kemudian hayati apa ertinya sebuah pernikahan yang tertulis dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Nisa ayat 1, maksudnya: “Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakanmu dari diri yang satu (Adam) dan Dia menciptakan darinya pasangannya (Hawa). Dari kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.

 

Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

 

Juga Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 189, maksudnya: “Dialah yang menciptakan kamu dari jiwa yang satu (Adam) dan darinya Dia menjadikan pasangannya agar dia cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Kemudian, setelah ia mencampurinya, dia (isterinya) mengandung dengan ringan. Maka, ia pun melewatinya dengan mudah. Kemudian, ketika dia merasa berat, keduanya (suami isteri) memohon kepada Allah, Tuhan mereka, “Sungguh, jika Engkau memberi kami anak yang soleh, pasti kami termasuk orang-orang yang bersyukur.”

 

Kemudian perhatikan pula Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21, maksudnya: “Di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah bahawa Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari (jenis) dirimu sendiri agar kamu merasa tenteram kepadanya. Dia menjadikan di antaramu rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya ada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir.”

 

Selain ayat di atas, Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya untuk menikah dan memiliki ramai keturunan. Ini berdasarkan hadis Dari Ma’qil bin Yasar berkata: Seseorang telah mendatangi Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, saya mengenal seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik namun dia mandul, apakah saya boleh menikahinya?, maka baginda melarangnya, kemudian dia mendatangi baginda untuk yang kedua kali, Rasulullah pun melarangnya lagi, kemudian dia mendatangi baginda lagi, maka baginda pun tetap melarangnya. Akhirnya Rasulullah SAW bersabda: “Menikahlah kalian dengan wanita yang penyayang dan subur, kerana aku bangga dengan jumlah kalian yang banyak” (Riwayat Abu Dawud).

 

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, kajian yang dilakukan oleh Jalaludin, Muhammad Taufiki, Hikmah Mutiara Tsani, Siti Hanna dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, berpendapat Childfree dengan niat untuk membatasi keturunan (tahdîd al-nasl) adalah bertentangan dengan syariat Islam dan tujuan pernikahan. Syariat Islam menganjurkan umatnya untuk menikah dan memperbanyakkan keturunan. Dan, banyaknya keturunan tersebut tentunya harus disertai dengan kualiti umat yang baik demi menunjang tegaknya agama Islam hingga hari kiamat.

 

Sakinah, mawaddah dan rahmah sebagai tujuan pernikahan dapat digapai dengan hadirnya anak dalam kehidupan rumah tangga, meskipun anak merupakan rezeki dari Allah SWT akan tetapi sebagai hamba yang taat sentiasa berusaha memilikinya.

 

Selain itu, berusaha memiliki keturunan merupakan sesuatu yang bernilai ibadah dan sunnah para nabi. Juga, anak soleh yang dilahirkan dari pernikahan merupakan maksud syariat bagi mukallaf. Oleh sebab itu, jika melihat banyaknya keutamaan yang didapati dengan hadirnya anak, maka membatasi keturunan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan sesuatu yang tidak sejalan dengan tujuan pernikahan.

 

* Ikuti sambungan artikel akan datang dalam bahagian ke-2 mengenai Childfree ini. Haram atau harus kita mempunyai anak?

Previous articleZaleha Hamid… Ratu Dangdut Paling Legenda
Next articleEddie Hamid, Aris Kapilla, Man Khan dan Kamarool bercerita pasal “Poligami”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here