Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Afee Utopia /Koleksi Syed Wafa
26 November ini genaplah usia Afee Utopia 60 tahun. Sejajar dengan pertambahan usia ini, Afee yang popular dengan lagu Mithali Cintaku dan Maya Percintaan merasakan cukup untuk dirinya untuk berhenti daripada terus berkarya menghasilkan lagu-lagu baru.
“Tiba saatnya Abang akan berhenti dari merakamkan single baru. Insya-Allah tahun ini akan keluar single terakhir daripada Abang kerana rasanya dah cukuplah Abang buat lagu baru…lebih 15 lagu kerana Abang dah ada lebih 40 lagu ketika bersama Utopia. Lagu baru Sampai Bila Rindu sedap dan doa-doakan ia `meletup’. Lagu dan liriknya Abang yang buat.
“Sebenarnya, Abang kecewa. Kami artis-artis otai legend ini macam tidak dihargai langsung stesyen radio. Susah sangat ke mereka nak mainkan lagu kami bila kami buat lagu-lagu baru.
“Sementara kami ada dan sihat ini…hargailah kami yang masih ada ini. Jangan sampai bila dah tak ada, baru nak hargai kami… mainkan lagu-lagu kami. Ialah kebanyakan rakan-rakan seperjuangan Abang, lebih dari setengah anggota kumpulan rock tahun 90-an…ada yang `hilang’, sakit dan meninggal dunia.
“Hargailah kami yang tinggal beberapa kerat saja sewaktu masih hidup ini. Stesyen radio bagilah peluang mainkan lagu baru kami pada peminat-peminat kami. Sememangnya lagu- lagu kami sesuai dengan selera remaja masa kini,” kata Afee yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Abang mengenai kumpulan rock yang pernah mewarnai industri seni tanahair bersama kumpulan Desire, Figures, Olan, Gamma, Mega, Fotograf, Dinamik dan beratus lagi kumpulan rock yang muncul masa zaman itu.
Afee atau nama sebenarnya, Mohamad Safee Soefjan menambah,“Abang tengok trend muzik sekarang, muziknya dah kembali pada muzik 90-an. Walaupun anak-anak muda tak hidup masa zaman itu tapi Abang nampak mereka suka dengan lagu-lagu muzik 90-an yang walaupun rock tapi ia lebih kepada irama kemelayuan.
“Bagilah peluang pada kami yang masih ada ini. Ialah masing-masing cari rezeki. Walaupun kami dah otai…masa kami sihat ini hargailah kami. Jangan nanti bila Abang dah tak sihat baru nak suruh abang nyanyi.”
Sebelum menyertai kumpulan Utopia, Afee pernah bersama kumpulan Fotograf namun Afee menarik diri kerana merasakan citarasa muzik dan imej mereka berbeza sebelum Afee menyertai kumpulan Utopia yang membawa maksud ‘mencari kesempurnaan,”
Sebelum muncul solo, Afee adalah vokalis kumpulan Utopia yang turut dianggotai Rano (Drummer) Husni (gitar) dan Iwan (Bass). Ketika nama sudah di puncak, pembikinan album ketiga Utopia pada 1994 akhirnya tertangguh atas sebab-sebab teknikal.
Setahun kemudian anggota kumpulan Utopia sebulat suara membawa haluan masing-masing. Namun ketika ingin melakukan konsert reunion semula, pemain drum, Rano meninggal dunia dan sejak itu mereka terus menyepikan diri, melainkan Afee yang terus bergerak solo selepas beberapa tahun menyepikan diri.
“Sepanjang 35 tahun dalam industri, memang banyak ranjau duri jatuh,bangun dan kena banyak sabar ketika industri zaman rock jatuh merudum… Abang memang kena banyak bersabar. Waktu tu, Abang kena cari cara bagaimana nak teruskan kehidupan. Itu sebabnya Abang belajar meniaga
“Tahun 2008 Abang buat comeback. Boleh kata tiap-tiap tahun Abang akan keluarkan single baru. Kadang-kadang dalam setahun, dua single yang Abang buat. Abang kena aktif kerana nak tunjukkan pada peminat yang Abang masih ada dalam industri. Bila dah buat comeback itu sebabnya kena pastikan ada lagu baru setiap tahun
“Lagu-lagu Abang kebanyakannya berbentuk ketuhanan, kemasyarakatan seperti lagu Buai tentang pembuangan bayi…sedangkan bayi bukan untuk dibuang sebaliknya untuk dibuai,’’ kata Afee lagi.
Demi kelangsungan hidup selain menyanyi, Afeee juga pernah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ketika berlakunya pendemik. Afee bersama rakan-rakan artis seperti Shidi Data dan Wom UG14 berniaga di Santai Selebriti, Cabin 8, Padang Awam, Batu Caves.
Kini Afee sibuk meniaga kafenya di kolam pancing GP Templer Saujana. Kafe ini merupakan tempat Afee dan peminatnya yang merupakan kaki pancing bersantai.
“Rasanya cukuplah kafe kat sini…Alhamdulillah. Dengan usia begini cukuplah apa yang Abang ada sudah memadai…tak perlu nak kejar-kejar keduniaan lagi. Bila dah berumur ini, dah cukup dapat satu tempat yang beri Abang ketenangan sambil teruskan karier menyanyi.
“Kafe kami dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 12 malam. Manakala kolam pancing pula setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 2 pagi. Manakala hari Jumaat pula, kolam dibuka selepas sembahyang jumaat.
“Kolam pancing yang berkonsepkan hutan rimba Taman Templer ini paling dengan Kuala Lumpur dan sesuai untuk seisi keluarga. Walaupun berada di pinggiran hutan rimba namun seekor nyamuk pun tak ada disini. Tak percaya datanglah sendiri memancing ikan siakap dan ikan kaci (macam jenahak merah).
Afee kini bahagia bersama isterinya, Fauziah Hasan @ Che Ahmad, 53, yang dikahwininya pada 9 Februari 1992. Pasangan ini kini bahagia dengan tiga orang cahayamata iaitu Nurul Nafasha, Mohd Khairul Nizam dan Syahrul Iman serta dua orang cucu, Farrel Ardani Fauzi Afiq, 3, dan Malleq Mohd Khairul Nizam 1 tahun setengah.
Afee gembira bersaing dengan BBNU
Walaupun namanya hanya tercalon bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2013, namun Afee sudah cukup berbangga dengan pencapaiannya sebagai penyanyi otai pada waktu itu.
“Populariti lagu Maafkan Aku, bersama Wani Mentor Milenia membuatkan nama Abang naik kembali dan secara tidak langsung dicalonkan bersama artis BBNU. Rasa bangga sangat sebab nama ada tercalon bersama BBNU seperti Tomok, Black, Hafiz Shuip, Hazama dan Shahir,’’ kata Afee lagi.
Selain itu, Afee yang juga popular dengan lagu Cintaku Tak Pernah Mati juga turut tercalon dan menerima medal Anugerah Sri Angkasa 1991 antara 5 kumpulan Terbaik di Malaysia. Bagi kategori ini mereka bersaing dengan kumpulan May dan Kumpulan Bumiputra Rocker (BPR).
Bukan itu saja, lagu Maya Percintaan mendapat tempat ketiga carta Dataran Merdeka bagi setiap minggu bertanding. Mithali Cintaku pula tujuh minggu berturut-turut menjadi juara carta Pujaan 10 Nescafe. Manakala Suria Rock mengiktiraf Afee sebagai Rockers Sepanjang Zaman 2011.
Album pertama berjudul Utopia yang diterbitkan pada penghujung 1989 berjaya mencatat jualan 50,000 unit, sekali gus melayakkan mereka mendapat Anugerah Gold Disc. Album kedua Utopia diterbitkan pada 1991 di Singapura. Ketika itu lagu Maya Percintaan dan lagu 60-an berjudul La O Be juga turut popular. Utopia juga merupakan kumpulan pertama di Malaysia yang menukar lagu 60-an kepada versi rock sebelum diikuti oleh kumpulan-kumpulan lain.
Manakala pada 2004, Ttopia kembali mencipta nama di pentas apabila menyertai Pertandingan Rentak Juara yang dianjurkan oleh RTM.
Nama Utopia kembali menjadi sebutan dan merupakan antara kumpulan yang mempunyai pengikut paling ramai ketika itu.
Lagu-lagu terbaik dan popular yang pernah dihasilkan kumpulan Utopia dalam album Koleksi Terbaik (2006) ialah Di Sini Pasti, Bercinta Tak Bersatu, Malam Satu Suro, Jemala Kasih, Pening, Fenomena Rock ‘N’ Roll, Mithali Cintaku, Di Bawah Malam, Satria, Disini Pasti, Maya Percintaan, Pesta Nazak, Maya Percintaan, La O Be, Rela Ku Menanti, Terima Kasih Cinta, Suku Sakat, Mekar Liar, Mama, Lontarkan Sepatu Ku, Wira Lapan Dunia, Hempedu Bisa, Inikah Cinta Kita (lagu Baru), Terima Kasih Cinta (Rakaman Baru) dan Maya Percintaan (Rakaman Baru).
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.