Oleh : Nury Kadir

Jadi, jangan dipersoalkan sama ada Nabi SAW pernah azan atau tidak kerana yang penting adalah azan itu sendiri. Setiap sesuatu yang Nabi Muhammad SAW lakukan atau tidak melakukannya ada hikmah dan rahsia tersendiri yang besar kesannya kepada umat Baginda SAW. Yang paling penting hayati tujuan disyariatkan azan seperti yang disebutkan Mufti Wilayah Persekutuan. Antaranya:

1. Memberitahu telah masuknya waktu solat.
2. Seruan untuk didirikan solat secara berjemaah.
3. Memberitahu tempat didirikan solat berjemaah.
4. Menzahirkan syiar Islam di tempat tersebut.

Syeikh Hasan al-Kaff telah membahagikan sama ada disunatkan azan dan iqamat, disunatkan iqamat sahaja atau disunatkan azan sahaja, dan juga tidak disunatkan azan dan iqamat seperti berikut:

1. Disunatkan azan dan iqamat: Solat wajib yang lima dan solat Jumaat.
2. Disunatkan iqamat sahaja dan tidak azan: Jika sekiranya dilakukan solat Jamak atau menqadha solat fardu secara berturut-turut, maka diazankan bagi solat yang pertama dan iqamat pada solat yang kedua.
3.Disunatkan seruan sahaja, tidak azan dan iqamat: Solat-solat sunat yang digalakkan untuk berjemaah seperti solat Hari Raya, solat sunat gerhana, dan diseru bagi solat Hari Raya contohnya dengan sebutan.Disunatkan seruan sahaja, tidak azan dan iqamat: Solat-solat sunat yang digalakkan untuk berjemaah seperti solat Hari Raya, solat sunat gerhana, dan diseru bagi solat Hari Raya contohnya dengan sebutan:
“صلاةُ العَيْدِ رَحِمَكًم الله”
4. Tidak disunatkan azan, iqamat dan seruan juga: solat-solat sunat yang tidak disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah seperti solat sunat Dhuha dan solat sunat Rawatib.

SELAIN SOLAT

Azan juga sunat dilaungkan di luar solat di dalam beberapa keadaan seperti yang dinukilkan oleh Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Berikut adalah beberapa keadaan dan berserta dalilnya:

1. Azan di telinga bayi yang baru dilahirkan.
Ini adalah pendapat golongan mutaakhirin dari al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah dan ianya juga adalah qaul dari al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah. Berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Abi Rafi’ daripada ayahnya. Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah mengazankan pada telinga al-Hasan bin ‘Ali iaitu setelah Fatimah melahirkannya dengan azan solat.” (Riwayat Abu Daud)-Dinilai sahih oleh Al al-Baani & Al-Tirmizi

2. Ketika diganggu jin dan syaitan.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah. Maksudnya: “Sekiranya al-ghilaan (jin dan syaitan) mengganggu (dengan bertukar rupa bentuk) maka laungkanlah azan.” (Riwayat Al-Nasa’ie). Ada ulama yang mengatakan bahawa hadis ini dhoif (lemah) kerana terputus sanadnya.
Meskipun asal pensyariatan azan adalah untuk pemberitahuan masuknya waktu solat namun, terdapat juga keadaan-keadaan yang lain, yang mana disebutkan oleh para fuqaha’ mengenai melaungkan azan selain dari waktu solat. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Disunatkan azan bukan pada waktu solat sepertimana azan ke telinga bayi yang baru lahir, orang yang dirundum kesedihan dan gundah gulana, orang yang terkena sawan, ketika marah, azan ke telinga orang ataupun haiwan yang buruk perangainya, ketika berlaku pergolakan (aktiviti ketenteraan), ketika berlakunya kebakaran…”

Begitu juga terdapat di dalam hasyiah-hasyiah kitab fiqh seperti Hasyiah al-Syabramallisi dan Hasyiah al-Qalyubi namun tidak didatangkan bersamanya dalil. Namun, setakat pemerhatian kami mungkin sebab dari azan yang dapat menjauhkan syaitan, ianya dikiaskan pada keadaan-keadaan yang lain selain dari solat seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim juag ada menyebutkan bagaimana syaitan lari menjauhkan diri apabila terdengar laungan azan. Maksudnya, “Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut…”(Riwayat Muslim
Mengenai hal tersebut al-Syabramallisi mempunyai pendapatnya yang tersendiri dengan mengatakan bahawa tidak ternafi juga bahawa syaitan akan melarikan diri sekiranya terdengar azan dan tidak semestinya azan untuk solat.

3. Ketika huru-hara
Ketika berlaku cubaan bagi merampas kuasa (kudeta) kerajaan Turki sedia ada melalui gerakan ketenteraan, masjid-masjid di sekitar Turki melaungkan azan meskipun bukan pada waktu solat. Adakah ketika keadaan huru-hara dibolehkan azan?

Menurut Ibn Hajar al-Haitami, “Disunatkan azan bukan pada waktu solat sepertimana azan ke telinga bayi yang baru lahir, orang yang dirundum kesedihan dan gundah- gulana, orang yang terkena sawan, ketika marah, azan ke telinga orang ataupun haiwan yang buruk perangainya, ketika berlaku pergolakan (aktiviti ketenteraan), ketika berlakunya kebakaran…”

Berdasarkan pendapat Ibn Hajar al-Haitami maka dibolehkan untuk azan sekiranya berlaku huru-hara dan lebih spesifik lagi dengan keadaan yang pernah berlaku di Turki. Mungkin dalam keadaan huru-hara tersebut dengan berkumandangnya azan dapat mententeramkan keadaan. Begitu juga dengan azan dapat memberikan kekuatan kepada umat Islam dan bergantung kepada Allah SWT di samping menggerunkan musuh-musuh Allah.

4. Azan ketika kebakaran
Hukum melaungkan azan ketika berlakunya kebakaran, maka di sisi tokoh-tokoh mazhab Imam al-Syafie menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat. Pendapat ini berhujahkan kepada qiyas kepada azan untuk solat, kerana syaitan lari bertempiaran ketika azan dikumandangkan.

Dengan bersandarkan kepada pendapat Ibn Hajar al-Haitami serta Syeikh al-Syabramallisi maka dibolehkan untuk azan sekiranya berlaku kebakaran. Selain, perbanyakkanlah juga ucapan takbir apabila melihat kebakaran. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang mengatakan: Maksudnya: “Apabila kamu melihat kebakaran, maka bertakbirlah. Sesungguhnya takbir itu akan memadamkan api.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kaamil fi Al-Dhu’afa’, demikian juga diriwayatkan oleh al-Daraquthni, serta Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Fathul Bari.

5. Azan ketika sedih dan gusar
Dalam sesetengah keadaan, disunatkan azan untuk selain solat sebagai tabarruk (mengambil keberkatan) untuk menenangkan atau untuk menghilangkan dukacita. (seperti yang dicatatkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).
Syeikh Abu Bakar al-Dimyati menyebut dalam I’anah al-Talibin, “Sesungguhnya disunatkan untuk azan pada selain solat, sebagaimana disunatkan azan untuk solat seperti azan kepada seseorang yang berada dalam keadaan dukacita atau kegusaran. Ini kerana, kegusaran dan kesedihan akan hilang apabila dilaungkan azan. Sekiranya ia tidak hilang dengan sekali azan, maka dituntut untuk mengulangi semula azan.”

6. Sewaktu Marah
Demikian juga azan ketika dalam keadaan marah dan juga kepada orang yang buruk akhlak atau peribadinya. Abu Bakar al-Dimyathi menyebutkan dalam kitabnya I’anah al-Thalibin, “Sesiapa yang buruk peribadinya dari kalangan manusia atau haiwan, hendaklah diazankan pada telinganya.”

7.Ketika memulakan musafir
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Demikian juga disunatkan azan ketika terdapat gangguan jin atau syaitan dan azan atau iqamah bagi mereka yang hendak bermusafir.”

Dengan syarat musafir itu bukan dengan tujuan maksiat seperti yang disebutkan Hawasyi al-Syarwani dan Ibn Qasim al-‘Abbadi. Sekiranya musafir dengan tujuan maksiat, maka tidak disunatkan. Begitu juga, Syeikh al-Bujairimi mengatakan, disunatkan juga azan dan iqamah bagi seseorang yang hendak bermusafir.

Berdasarkan kepada pandangan ulama maka dibolehkan melakukan azan ketika hendak memulakan musafir. Kadang-kadang, lafaz azan dan kalimat yang terkandung padanya banyak menginsafkan seseorang musafir serta boleh membantu dalam menentukan niat ke arah yang lebih baik.

TIDAK BOLEH PADA JENAZAH

Para ulama mazhab Syafi’e tidak menghukumkan sunat untuk mengalunkan azan ketika pengebumian jenazah, bahkan ia dianggap sebagai bidaah oleh Ibn Hajar al-Haitami menurut fatwa beliau dalam kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Mengiyaskan hukum sunat mengalunkan azan dengan saat sejurus kelahiran bayi sebagai alasan untuk mengalunkan azan ketika pengebumian juga ialah pandangan yang lemah dan salah dari sudut penghujahannya.

Menurutnya, perbuatan tersebut (mengalunkan azan ketika pengebumian jenazah) ialah bidaah, dan sesiapa yang menganggap azan ketika membawa turun jenazah ke dalam liang lahad sebagai satu sunnah, sebagai qiyas dengan hukum sunatnya azan saat kelahiran bayi, kerana menyamakan pengakhiran suatu perkara (kematian) dengan permulaannya (kelahiran), maka dia salah. Apakah perkara yang menggabungkan antara dua perkara itu? Hanya semata-mata suatu perkara itu merupakan permulaan dan suatu yang lain itu ialah pengakhiran, tidak semestinya kedua-duanya itu boleh diqiyaskan.

Syeikh Abu Bakr al-Dimyati menyatakan tidak disunatkan azan ketika mengebumikan jenazah ke dalam kubur; hal ini berbeza dengan ulama yang mensunatkan hal yang demikian, dengan alasan qiyas terhadap hukum sunatnya mengalunkan azan ketika kelahirannya. (petikan www.muftiwp.gov.)

Semoga kita lebih faham tentang azan bukan sekadar seruan solat sahaja. Daripada kita meratip kata-kata yang tidak baik ketika melihat bencana dan musibah lebih baik kita azan. Tidak perlu tunggu lelaki untuk azan, kita orang perempuan pun boleh azan walaupun dengan suara yang lembut dan perlahan.

 

Previous article“Tangis” Nabila Razali membawa rezeki
Next articleCara hilangkan bau badan! (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here